Berita | Bersatu dahaga kerusi menteri?

KUALA LUMPUR: Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi yang juga ahli MPT Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Zuraida Kamaruddin hari ini melepaskan jawatannya sebagai menteri dan juga ahli BERSATU bagi menyambut 6 teras perjuangan Parti Bangsa Malaysia yang dilihat lebih serius memperjuangkan hak Keluarga Malaysia.
Beliau yang diserang secara langsung oleh ahli partinya sendiri membuat keputusan tersebut memandangkan keberadaannya dirasakan menggangu-gugat parti itu.
Kesibukannya sebagai menteri yang mempunyai tugasan di luar negara bagi menaikkan imej industri sawit Malaysia dijadikan alasan oleh ahli BERSATU yang lain sebagai tidak berdisiplin kerana gagal hadir mesyuarat parti.
Berani dengan tidak merasakan jawatan sebagai menteri itu menjadi penghalang untuk beliau memperjuangkan karier politik yang telah dilalui selama 24 tahun, mengemudi Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi dengan nilai keuntungan meningkat RM128 bilion atau 40 peratus dari tahun sebelumnya, Zuraida dikatakan antara menteri yang terbaik dalam portfolio yang dipegang sekarang dan menjadi harapan pekebun kecil serta pemain industri komoditi negara.
Oleh: Muhd Zubir Alias
Kredit foto: Utusan Borneo
Berita | Ringgit lemah: Harga kereta dijangka naik

KUALA LUMPUR: Harga kenderaan di Malaysia dijangka meningkat berikutan kenaikan harga bahan mentah susulan kelemahan nilai ringgit dan isu kekurangan bekalan cip komputer yang berterusan.
Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad, berkata wujud kemungkinan besar akan berlaku kenaikan harga kereta di Malaysia berikutan peningkatan kos yang terpaksa ditanggung oleh pengeluar.
Katanya, bagaimanapun, pengeluar kenderaan di Malaysia belum lagi memutuskan kenaikan harga kenderaan atau terus menyerap semua kos yang perlu ditanggung.
“Kenaikan harga bahan mentah, kos logistik, kejatuhan ringgit antara lain akan menjadi penyebab pengeluar terpaksa menaikkan harga kenderaan. Namun, ia belum diputuskan lagi.
“Jika pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang akan tamat akhir Jun ini tidak disambung, ia akan memburukkan keadaan sekali gus meningkatkan lagi harga kenderaan jika pengeluar memutuskan menaikkan harga produk mereka,” katanya ketika dihubungi BH
Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton Holdings Bhd (PROTON), Roslan Abdullah berkata, pengeluar kereta nasional itu masih cuba untuk menyerap kenaikan kos bahan mentah supaya harga kenderaan keluaran PROTON dapat dikekalkan.
Bagaimanapun, katanya, jika keadaan memaksa selain mengambil kira pembabitan vendor, PROTON berkemungkinan terpaksa berkongsi kenaikan harga berkenaan dengan pelanggan.
“PROTON belum putuskan apa-apa lagi buat masa sekarang. Jika ada (kenaikan atau sebaliknya), kami akan umumkan dalam masa terdekat. Buat masa ini kita masih lagi cuba menyerap kenaikan kos,” katanya.
Bagaimanapun, Penganalisis AmInvestment Bank, Muhammad Afif Zulkaplly dalam nota penyelidikan, berkata dua pengeluar kenderaan sudah pun membuat pelarasan semula harga beberapa model keluarannya setakat ini dengan harga meningkat sehingga tujuh peratus.
“Langkah ini dilihat boleh mencetuskan kenaikan harga oleh pengeluar kereta lain, terutamanya jika trend kos input yang tinggi berterusan,” katanya dalam nota penyelidikan.
Muhammad Afif berkata, memandangkan permintaan yang kukuh ketika ini dan pesanan tertunggak yang berada pada tahap sihat selama dua hingga empat bulan, bank pelaburan itu menjangkakan kenaikan harga jika berlaku berkemungkinan memberi kesan kecil kepada jumlah jualan pada masa depan.
Baru-baru ini, MAA mendedahkan jumlah keseluruhan industri (TIV) mencecah paras tertinggi dalam sejarah pada Mac kepada 73,222 unit, melonjak 63 peratus bulan ke bulan atau 13 peratus tahun ke tahun.
Lonjakan ketara itu didorong terutamanya oleh peningkatan pengeluaran oleh pengeluar disokong pesanan tertunggak yang kukuh.
Secara kumulatif, TIV tiga bulan pertama tahun ini melonjak 13 peratus kepada 159,752 unit.
“Kami mengekalkan saranan ‘OVERWEIGHT’ ke atas sektor automotif dan kekalkan unjuran TIV 2022 sebanyak 555,000 unit.
“AmInvestment Bank juga kekal positif dengan prospek sektor automotif memandangkan pendapatan syarikat berkaitan secara relatifnya terlindung daripada kesan konflik geopolitik kerana kebanyakan firma ini bergantung kepada permintaan domestik.
“Unjuran berhubung TIV tahun ini yang lebih kukuh berdasarkan normalisasi rantaian bekalan dan pemulihan beransur-ansur dalam keyakinan pengguna,” tambah Muhammad Afif. – Berita Harian
oleh: Mohd Zaky Zainuddin
Berita | Diskriminasi minyak sawit: Delegasi Malaysia ke Geneva

KUALA LUMPUR: Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK), Datuk Ravi Muthayah mengetuai delegasi Malaysia ke Geneva, Switzerland bagi mesyuarat substantif pertama berkaitan tindakan Malaysia terhadap Kesatuan Eropah (EU) berhubung isu diskriminasi industri minyak sawit negara.
Menurut KPPK dalam catatan di laman Facebook hari ini, tindakan terbabit adalah melalui mekanisme Penyelesaian Pertikaian di bawah Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).
“Mesyuarat Penyelesaian Pertikaian 600 (Dispute Settlement 600) berlangsung selama 10 hari mulai 6 hingga 15 Mei, 2022,” kata kementerian berkenaan.
Menurut KPPK, Malaysia telah meminta rundingan dengan EU, Perancis dan Lithuania pada 15 Januari 2021 berhubung langkah tertentu yang dikenakan EU dan negara anggota berhubung minyak sawit dan biobahan api berasaskan tanaman sawit dari Malaysia.
Baru-baru ini, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin dilaporkan berkata, kementeriannya akan mengadakan pertemuan dengan EU pada Mei untuk membincangkan isu berkaitan buruh paksa dan minyak sawit.
Bagaimanapun, ia belum mendapat tarikh untuk bertemu wakil Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat.
Malaysia memfailkan kes berhubung diskriminasi minyak sawit kepada WTO melalui mekanisme Penyelesaian Pertikaian 600 pada tahun lalu, susulan tindakan antiminyak sawit oleh EU dan negara anggotanya. – BERNAMA
Berita | Polis pastikan PATI Rohingya tidak masuk Perlis

KANGAR: Polis Perlis melakukan pemantauan rapi dalam memastikan tidak ada seorang daripada pendatang asing tanpa izin (PATI) etnik Rohingya yang melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Relau pagi tadi, dapat melepaskan diri hingga ke Perlis.
Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad berkata, sehingga kini pihaknya terus membuat memantau keadaan semasa yang berlaku di negeri jiran, Kedah selain melakukan pemantauan rapi serta risikan di sempadan negeri berkenaan.
“Kita akan terus membuat pemantauan rapi serta risikan di sempadan negeri dan akan membantu dalam usaha menahan sekiranya ada yang cuba melepaskan diri ke negeri Perlis.
“Setakat ini, pemantauan dilakukan menerusi rondaan biasa seperti rutin yang dijalankan setiap hari,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Pada masa sama juga, beliau berkata, kerjasama masyarakat dalam memberi maklumat mengenai keberadaan PATI itu jika didapati berada di tempat mereka juga adalah penting supaya keselamatan masyarakat di negeri ini sentiasa terjaga.
Daripada 528 yang melarikan diri dari depot yang menempatkan 664 orang tahanan itu, seramai 357 sudah ditemui termasuk enam yang maut akibat dilanggar kenderaan semasa melintasi Kilometer 168 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) menghala selatan iaitu berhampiran kawasan Jawi.
Polis Pulau Pinang, Kedah dan Perak turut memperhebatkan gerakan operasi bagi memburu baki 171 pendatang tanpa izin (PATI) etnik Rohingya yang masih bebas. – Berita Harian
oleh: Aizat Sharif
kredit foto: Danial Saad