5 remaja dituduh rogol gadis bawah umur

AYER KEROH: Lima remaja lelaki termasuk tiga di bawah umur didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas pertuduhan merogol secara berkumpulan dan melakukan amang seksual terhadap seorang remaja perempuan berusia 16 tahun, Mac lalu.

Mereka yang berusia antara 15 hingga 19 tahun itu, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Mengikut pertuduhan pertama, semua tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal dengan cara memeluk dan meraba badan mangsa yang berusia 16 tahun empat bulan ketika kejadian.

Mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 14 (A) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, empat daripada tertuduh yang berusia antara 15 hingga 18 tahun didakwa melakukan rogol berkumpulan ke atas mangsa sama dan didakwa dibawah Seksyen 375B kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 30 tahun.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Taman Seri Mas, dalam daerah Melaka Tengah kira-kira jam 12.12 tengah malam hingga 7 pagi, 12 Mac lalu.

Sementara bagi pertuduhan ketiga pula, tertuduh berusia 19 tahun didakwa melakukan persetubuhan ke atas mangsa sama di lokasi yang sama tanpa kerelaan mangsa, sembilan hari selepas kejadian pertama.

Justeru, dia didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Prosiding yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hayatul Wirdah Mohd Yunos mencadangkan jaminan RM30,000 bagi setiap tertuduh berusia 18 dan 19 tahun, manakala RM15,000 bagi setiap tertuduh di bawah umur dengan syarat tambahan semua mereka dilarang menganggu mangsa serta saksi selain melapor diri di balai polis berdekatan setiap bulan.

Terdahulu, tertuduh yang diwakili Peguam, Cassian Anthony merayu supaya jumlah jaminan rendah diberikan kepada tertuduh.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh berusia 18 dan 19 tahun dijamin sebanyak RM7,000 setiap seorang manakala tiga yang lain RM5,000 setiap seorang.

Kes akan disebut semula pada 27 Julai depan.

Sumber : Berita Harian online

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: