‘Berhenti jadi pengecut, beri gambaran Dr M musuh lebih besar dari PN’
Pemimpin Amanah itu berkata demikian sebagai membidas setiausaha politik Anwar yang menyifatkan DAP dan Amanah tidak berdiri di belakang presiden PKR itu dalam soal calon PM.
Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad hari ini mengecam setiausaha politik Anwar Ibrahim, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak yang mempersoalkan kesetiaan Amanah dan DAP terhadap Presiden PKR Anwar Ibrahim.
Semalam, Farhash membidas DAP dan Amanah yang disifatkannya sebagai tidak berdiri di belakang Anwar dalam soal calon perdana menteri.
Khalid bagaimanapun berkata, sebagai pemimpin muda, Farhash seharusnya berhenti bertindak seperti “pengecut” dan menggambarkan Mahathir sebagai musuh lebih besar berbanding Perikatan Nasional (PN).
“Berhentilah berkelakuan seperti pengecut yang takut untuk menangani cabaran.
“Sekiranya kamu tidak dapat menangani Tun (Mahathir) yang kini sedang lemah, bagaimana kamu dapat menangani negara, yang jauh lebih mencabar daripada seorang lelaki berusia 95 tahun yang ditinggalkan oleh parti dan sekutunya?
Sumber Malaysiakini