Noh Omar letak jawatan Pengerusi MISC
KUALA LUMPUR: MISC Bhd (MISC) mengumumkan Tan Sri Noh Omar yang dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah pada 1 Jun lalu, telah meletak jawatannya, berkuatkuasa semalam.null
MISC dalam satu kenyataan berkata, Noh membuat keputusan meletak jawatannya setelah berbincang dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Tan Sri Noh Omar mengucapkan selamat maju jaya kepada Lembaga Pengarah MISC dan pihak pengurusan untuk membawa syarikat ke peringkat lebih tinggi. Begitu juga, Lembaga Pengarah MISC mengucapkan yang terbaik dalam apa juga yang diceburi beliau pada masa hadapan,” kata kenyataan itu.
Noh, 62, adalah Ahli Parlimen Tanjung Karang, pernah berkhidmat sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi mulai 2008 hingga 2009.
Noh kemudiannya menjadi Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani dari 2009 hingga 2013.
Dari 2014 hingga 2016, beliau menjadi Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Selangor sebelum kembali ke kabinet sebagai Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan dari 2016 sehingga 2018.
MISC, adalah syarikat perkapalan 57.56 peratus milik PETRONAS, menyediakan penyelesaian dan perkhidmatan maritim berkaitan dengan bahan api.
Sumber : BHOnline