Teori Kamal Hatta: PKR dibuai keangkuhan
Aku tak mau cerita panjang pasal Reformasi 1998. Benda yang diulang-ulang sampai orang ramai dah tepu otak tak peduli.
Ada macai-macai PKR dibuai keangkuhan kerana mereka berkeyakinan tinggi PKR akan kukuh kuat di bawah Anwar dan parti bersih daripada ‘kartel’.
Mereka memainkan sentimen politik PKR era 2004 pada penggal ke-11 dulu yang hanya tinggal satu kerusi parlimen iaitu Permatang Pauh.
Aku nak sebut mereka ini bodoh membaca jangkaan politik sekiranya berpegang kepada sejarah 2004 itu. PKR waktu itu tak sama dengan PKR sekarang.
Penyokong dan pentaksub PKR mengeji dan menyindir sial kawan-kawan mereka yang keluar parti sebagai pengkhianat. Ini masalah sikap yang merbahaya kepada parti politik apabila penyokong dan pentaksub berperangai macam orang BN sebelum PRU-14. Angkuh.
Dulu yang banyak meninggalkan PKR adalah penjawat pimpinan parti. Sekarang bukan setakat pemimpin akar umbi tetapi wakil-wakil rakyat pun angkat kaki tinggalkan Anwar dan PKR.
Ironiknya, menang PRU14 kemudian jadi parti pemerintah, Anwar bebas, menang tanpa bertanding sebagai presiden parti, jadi MP Port Dickson, kemudian berperang dengan Azmin sampai tindakan pecat Azmin dan Zuraida daripada PKR.
Hasrat pembersihan PKR daripada anasir ‘kartel’ berlangsung tanpa peduli.
Ini petanda keangkuhan yang sama seperti BN dulu. Anwar dan kartel Invoke sebenarnya telah menyemarakkan dasar autokratik dan pecah-perintah yang lebih teruk daripada Umno.
Ketika ini tiap penyokong, pentaksub dan pimpinan PKR meraikan langkah ‘genoside politik’ tetapi mereka buta membaca situasi ke depan.
PKR boleh jadi kembali menjadi parti kerdil. Ketika ini PKR bukan lagi watak politik sebelum PRU14. Mereka telah mulai pudar dinamik politik.
PKR umpama istana di lereng bukit yang sedang runtuh dilanda hakisan tanah. Bila-bila masa boleh rebah. Kalau kau orang tak percaya cakap aku, kita sama-sama tengok.
