KWSP tingkatkan pelaburan di luar negara

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan meningkatkan pelaburan di luar negara dalam usahanya mengatasi pulangan empat hingga lima peratus yang dicapai sebelum ini.

“Kami pasti menyasarkannya,” kata Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Tunku Alizakri Alias, dalam satu temubual Bloomberg TV bersama Haslinda Amin.

“Namun saya fikir anda juga tahu, masanya adalah amat mencabar.”

Beliau berkata, KWSP, yang asetnya melonjak 10.9 peratus kepada RM924.75 bilion tahun lalu, mengembangkan portfolio global untuk mengekalkan dividen tinggi kepada pencarum di tengah-tengah peluang yang terhad di dalam negara.

“Kadar pertumbuhan dana kami mengatasi kadar pertumbuhan ekonomi Malaysia,” katanya.

“Justeru, sama ada suka atau tidak, kami perlu mula meninjau ke luar negara.”

Dana persaraan pekerja swasta itu kini menempatkan 30 peratus pelaburannya di luar negara.

Malaysia bakal mengalami kemelesetan dengan kerajaan berdepan risiko penarafan kredit diturunkan selepas S&P Global Ratings serta Fitch Ratings menurunkan tinjauannya kepada negatif.

Bank Dunia mengunjurkan ekonomi Malaysia menguncup 3.1 peratus tahun ini, lebih rendah berbanding unjuran asal penguncupan 0.1 peratus, apabila pandemik COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyekat aktiviti ekonomi.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, memperkenalkan pakej rangsangan RM295 bilion untuk menyelamatkan pekerjaan dan mengukuhkan pertumbuhan.

Langkah yang dilaksanakan termasuk pengurangan automatik caruman KWSP pekerja kepada tujuh peratus daripada 11 peratus, bagi membantu meningkatkan perbelanjaan pengguna.

Tahun lalu, KWSP mengisytiharkan dividen terendah sejak 2008 pada 5.45 peratus, dengan dana patuh Syariah mengisytiharkan pulangan 5.0 peratus.

Ini berbanding penurunan enam peratus penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI Index (FBM KLCI) pada 2019.

“Kami mengatasi prestasi biasa pulangan sesebuah dana persaraan,” kata Alizakri.

KWSP juga akan melabur sebanyak mungkin dalam aset patuh Syariah selain aset tanggungjawab alam sekitar dan sosial, walaupun ia terhad, katanya.

Aset terbabit sepadan dengan profil dana itu kerana stabil dan lebih tertumpu kepada asas serta kemapanan jangka panjang, tambahnya.

“Sejujurnya, ini masa yang terbaik berada dalam sebuah dana persaraan,” kata Alizakri.

“Dari segi jangka pendek, saya tidak mahu berada dalam dana lain kerana terlalu banyak ketidaktentuan menuju ke hadapan.”

Sumber : BHOnline

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: