Pejabat Al Jazeera di Kuala Lumpur didesak tutup

Veteran UMNO mendesak supaya kerajaan menutup pejabat agensi berita antarabangsa, Al Jazeera di Kuala Lumpur kerana terbukti laporan dokumentari yang disiarkan melalui slot 101 East adalah fitnah dan cuba memburukkan nama Malaysia.

Setiausaha Agungnya, Datuk Mustapha Yaakub berkata, laporan bertajuk ‘Locked Up in Malaysia’s Lockdown’ yang mendakwa terdapat diskriminasi perkauman ketika negara ini mengendalikan pandemik koronavirus (Covid-19) membabitkan warga asing jelas menunjukkan bahawa Al Jazeera cuba menyelewengkan fakta sebenar dan berniat jahat.

Menurutnya, laporan terbaharu agensi itu membuktikan bahawa kebenaran yang diberikan kerajaan kepada mereka untuk meletakkan wakil dan membuka pejabat mereka di Malaysia ternyata tidak menguntungkan negara.

Katanya, ia bukan bermaksud Malaysia mengawal supaya agensi berita itu hanya melaporkan perkara yang baik sahaja tentang negara ini kerana negara mengamalkan kebebasan akhbar dan kebebasan bersuara.

“Laporan tentang Covid-19 ini jelas menunjukkan mereka ini berniat jahat hingga nama Malaysia menjadi buruk di mata dunia sedangkan Malaysia hakikatnya adalah salah satu negara yang terbaik dalam melaksanakan kerja-kerja menangani penularan Covid-19.

“Atas dasar itulah Veteran UMNO merasakan kerajaan wajar menutup pejabat Al Jazeera di Kuala Lumpur ini daripada membiarkan mereka ini terus menerus membuat laporan negatif tentang Malaysia,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Dokumentari Al Jazeera bertajuk ‘Locked Up in Malaysia’s Lockdown’ berdurasi 25 minit 50 saat yang mendakwa terdapat isu perkauman dalam mengendalikan Covid-19 di Malaysia.
Sebelum ini laporan dokumentari berdurasi 25 minit 50 saat itu menerima kecaman rakyat negara ini dan rentetan laporan tidak tepat yang dilaporkan, Jabatan Imigresen Malaysia dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) memburu wakil Al Jazeera dan lelaki warganegara Bangladesh, Md Rayhan Kabir yang muncul dalam dokumentari agensi itu.

Mengulas lanjut, Mustapha mendakwa, perbuatan Al Jazeera itu umpama mereka cuba menjadi ejen kepada sekumpulan orang luar yang memang tidak senang dengan kejayaan negara dan apa yang dicapai Malaysia khususnya dalam menangani Covid-19.

Tegas beliau, Al Jazeera tidak diperlukan di negara ini memandangkan Malaysia sudah mempunyai Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) yang merupakan agensi kerajaan yang diiktiraf seluruh dunia dan mampu untuk menjadi sumber laporan kepada kerajaan yang lebih tepat dan lebih adil.

Justeru, katanya, sekiranya agensi berita luar seperti CNN, BBC dan Bloomberg, mereka boleh memetik atau mendapatkan berita itu daripada Bernama.

Tambah Mustapha, seperti yang diketahui ramai, Al Jazeera bekerja untuk Israel walaupun mereka beribu pejabat di Qatar, Doha.

“Al Jazeera cuba mengaburi mata dunia Islam dengan nama Al Jazeera dan meletakkan ibu pejabatnya di Qatar konon katanya untuk menandingi CNN dan sebagainya tapi terbukti Al Jazeera sedari dulu memang bekerja atas arahan pihak Zionis Yahudi,” katanya.

Mustapha mendakwa, kehadiran Al Jazeera di negara juga seperti diketahui mempunyai kaitan dengan kerajaan Pakatan Harapan (PH) kerana sejak dari dahulu lagi mereka cenderung melaporkan perkara-perkara yang menguntungkan PH tetapi merugikan kerajaan terdahulu Barisan Nasional.

Bagaimanapun, anggapan bahawa agensi berita tersebut ketika itu terpengaruh dengan situasi politik semasa meleset sama sekali kerana apabila diberikan ruang dan peluang untuk membetulkannya, ternyata agensi itu tidak mahu membetulkannya.

Dalam perkembangan sama, Mustapha berkata, Veteran UMNO turut mendesak supaya Jabatan Imigresen dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak berkompromi dalam usaha memburu dan mengenakan tindakan tegas ke atas wakil Al Jazeera dan lelaki Bangladesh berkenaan.

“Kita tahu Jabatan Imigresen dan PDRM sedang memburu wakil Al Jazeera dan pemuda Bangladesh jadi kita harap selepas tindakan dikenakan ke atas mereka mengikut undang-undang yang ditetapkan, mereka juga perlu dihalau dari Malaysia,” katanya.

Sumber : Sinar Harian

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: