Isytihar hari Jumaat hari tanpa rokok

Pihak kerajaan boleh memberi pertimbangan untuk menjadikan hari Jumaat sebagai hari bebas atau tanpa rokok sebagai salah satu usaha yang telah diambil bagi menghentikan masalah ketagihan orang ramai dalam negara kita khususnya dikalangan umat Islam terhadap rokok. Setiap hari dalam Islam mempunyai kelebihan dan keistimewaan masing – masing. Namun hari Jumaat dilihat oleh umat Islam sebagai sebagai “Penghulu Segala Hari” kerana banyak kejadian penting yang berlaku didalam hari berkenaan.

Oleh yang demikian, sebagai menghormati keunikan yang ada pada hari Jumaat, pihak kerajaan boleh memberi pertimbangan supaya rokok tidak dihisap terutamanya dikalangan umat Islam pada setiap hari Jumaat.

Walaupun rokok tidak sepatutnya dihisap langsung dalam mana-mana hari, namun cadangan yang dikemukakan ini boleh dijadikan sebagai langkah permulaan bagi melatih
pihak-pihak yang ketagih dengan rokok terutamanya dikalangan umat Islam supaya menghentikan masalah ketagihan mereka terhadap rokok sedikit demi sedikit sehingga mereka berjaya sepenuhnya menghentikan masalah ketagihan mereka terhadap rokok.

Cadangan yang dikemukakan ini juga selaras dengan fatwa yang telah lama dikeluarkan yang telah mengharamkan pengunaan rokok dalam negara kita. Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-37 yang telah bersidang buat Kali Ke – 37 di Dewan Syura, Tingkat 11 pada 23 Mac 1995 yang lalu telah membincangkan isu mengenai “Hukum Merokok Dari Pandangan Islam” dan telah bersetuju untuk memutuskan dengan jelas bahawa “Merokok adalah haram dari pandangan Islam kerana padanya terdapat kemudharatan”.

Pengharaman rokok terbabit telah dibuat berdasarkan tiga faktor utama iaitu merokok membahayakan kesihatan diri perokok itu sendiri, merokok mendatangkan kemudaratan
kepada orang di sekeliling yang terpaksa menghidu bau asap rokok berkenaan, serta sikap merokok itu sendiri yang menjurus kepada proses pembaziran wang, masa dan
tenaga serta merugikan perokok.

Merokok juga membawa kerosakan alam sekitar melalui pencemaran akibat daripada asap rokok yang dihasilkan serta proses pembuangan puntung-puntung rokok yang
merata-rata di atas jalan. Rokok juga berisiko tinggi untuk mencetuskan kebakaran sekiranya puntung rokok yang digunakan tidak dipadam sepenuhnya dan dicampak
dengan sesukahati di tempat yang mudah terbakar.

Berdasarkan pelbagai kajian yang telah dilakukan, wanita dan kanak-kanak antara golongan paling ramai menderita diserang penyakit bahaya kesan daripada pencemaran asap rokok daripada perokok tegar sekitar mereka. Bayi dan kanak -kanak yang terdedah kepada asap rokok berisiko mendapat pelbagai jenis penyakit yang berbahaya seperti
lelah, jangkitan paru – paru dan bagi wanita yang mengandung juga pula boleh melemahkan kandungan.

Semua keburukan yang dibawa oleh rokok ini perlu diberi perhatian serius oleh semua umat Islam dalam negara kita. Pengharaman rokok ini juga selaras dengan perintah Allah
SWT di dalam kitab suci Al – Qur’an seperti firman Allah SWT di dalam Surah Al – Baqarah: Ayat 195 yang bermaksud “Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan
diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan”. Allah SWT juga telah berfirman di dalam Surah Al – A’raf: Ayat 157 yang bermaksud “Ia menghalalkan bagi mereka segala benda
yang baik dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk…”.

Pada awal bulan Mac 2018 yang lalu pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendedahkan bahawa lebih tujuh juta manusia meninggal dunia setiap tahun, akibat
merokok atau menghidu asap rokok. Menurut pihak WHO, tabiat merokok dipercayai menyebabkan satu kematian bagi setiap enam saat. Pihak WHO juga menyatakan bahawa, kanser, serangan jantung, strok dan penyakit paru-paru adalah pelbagai penyakit yang dikaitkan dengan tembakau atau rokok. Sejak abad ke – 20, tembakau sudah meragut 100 juta nyawa, iaitu melebihi 60 juta hingga 80 juta kematian yang dicatatkan ketika Perang Dunia Kedua (1939 – 1945) serta 18 juta mangsa yang maut dalam Perang
Dunia Pertama (1914 – 1918).

Sekiranya tiada sebarang usaha keras dan berani yang diambil oleh mana-mana pihak dalam negara kita bagi menghentikan masalah berkaitan dengan rokok ini, amat
sukar untuk pihak kerajaan membendung jumlah perokok tegar dalam masyarakat kita khususnya generasi muda. Kempen berterusan mengenai isu rokok ini perlu dipergiatkan pada setiap masa kerana sudah ada ketetapan yang jelas mengenai penggunaan rokok itu sendiri seperti yang telah diputuskan melalui fatwa. Pihak-pihak yang berkaitan seperti Jabatan Agama Islam Negeri, Majlis Agama Islam, serta kerajaan-kerajaan negeri perlu memberi kerjasama bagi memastikan kesihatan masyarakat Islam dalam negara kita sentiasa terjaga dan dilindungi.

Sebarang bentuk pencanggah pendapat mengenai isu rokok ini perlu diselesaikan dengan segera bagi mengelakkan sebarang kekeliruan timbul mengenai isu berkenaan. Isu rokok ini juga perlu dibawa berbincang di dalam Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC) bagi mewujudkan satu penyelarasan di peringkat antarabangsa dalam kalangan negara-negara Islam seluruh dunia bagi memastikan kesihatan seluruh umat Islam di serata dunia
dapat dijaga dan dilindungi dengan baik.

Dr. Muzaffar Syah Mallow,
Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah & Undang – Undang (FSU),
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: