Sukan | Jailani Anggap BAM Berani

PRESIDEN Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria.

Oleh Helmi Talkah

KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria (gambar) dianggap berani susulan keputusan melantik pakar pengurusan sukan dari Amerika Syarikat (AS), Robert Gambardella sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Akademi Badminton Malaysia (ABM).

Legenda badminton negara, Datuk Seri Jalani Sidek, percaya langkah itu mampu mengangkat martabat sukan itu ke satu tahap lagi khususnya membabitkan pengurusan akademi dan kemudahan yang ada.

“Sebagai presiden, ini kriteria yang perlu ada dengan berani membuat keputusan yang drastik dan saya percaya Datuk Seri Norza nampak perubahan yang perlu beliau lakukan. Bagi saya perkara itu penting kerana kita mahu lihat sesuatu ke arah yang lebih positif.

“Berdasarkan latar belakang dan kepakaran yang dimiliki Gambardella ini, dia adalah calon yang sesuai untuk berada di situ,” kata pemenang pingat gangsa beregu lelaki Olimpik Barcelona 1992 itu kepada BH Sukan.

Bagaimanapun, Jalani sedar pasti akan ada segelintir pihak yang mempersoalkan mengenai pelantikan itu seolah-olah tiada calon tempatan yang layak selain dijangka dibayar gaji yang tinggi berdasarkan kepakaran dimilikinya.

“Untuk menghasilkan yang terbaik, kita perlukan yang terbaik. Sebagai presiden, sudah tentu beliau tahu mengenai kemampuan kewangan BAM dan mahukan yang terbaik.

“Selagi kita tak cuba, kita tak tahu. Namun, perlu ada tempoh yang ditetapkan bagi melihat keberkesanan tugasnya sebagai CEO ABM, kalau kata kontrak dua tahun beri beliau peluang buat kerja dan kita nilai selepas itu,” katanya.

Terdahulu, Norza ketika sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan BAM mengumumkan pelantikan Gambardella sebagai CEO ABM dan dijangka memulakan tugasnya pada 1 Ogos ini, tertakluk kelulusan daripada Jabatan Imigresen.

Beliau, berkata pemilihan Gambardella berbanding tiga lagi calon lain yang disenarai pendek dibuat berdasarkan pengetahuannya dalam industri sukan selain pengalaman luasnya yang memegang jawatan sebagai Ketua Institut Sukan Singapura selama tujuh bermula 2009 hingga 2016.

Malah, beliau turut diberi kepercayaan memegang jawatang CEO Interim Persatuan Menembak AS sebelum ini.

“Robert adalah calon yang paling layak dalam bidang ini. Dengan kemahiran kepimpinan yang dimiliki dan semangatnya terhadap sukan badminton, kami percaya kami sudah menemui individu yang tepat bagi mengetuai ABM dan menjadikan ABM sebagai pusat kecemerlangan badminton yang mampu beri pulangan,” kata Norza.

Katanya, Gambardella juga diberi tanggungjawab bagi memantau Unit Mini Sains Sukan yang ditempatkan di ABM dan akan memulakan operasi pada pertengahan Ogos ini.

Ditanya mengenai harga yang perlu dibayar bagi mendapatkan khidmat Gambardella terutamanya dengan situasi pandemik COVID-19 yang melanda ketika ini, Norza menjelaskan ia sangat munasabah dengan kepakaran yang dimilikinya.

Sumber BH Sukan

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: