Keputusan mesyuarat Parlimen tak boleh dicabar mahkamah
KUALA LUMPUR: Keputusan mesyuarat atau persidangan yang diputuskan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara tidak boleh dipertikaikan di mahkamah mengikut Perkara 63 Perlembagaan Persekutuan, kata seorang pakar undang-undang.
Bagaimanapun, ada peruntukan di bawah perkara itu yang menyebut bahawa kalau ucapan dalam Parlimen mengandungi unsur hasutan, Ahli Parlimen boleh dituduh di bawah Akta Hasutan (1948).
“Itu saja pengecualian di mana mahkamah boleh campur tangan (dalam hal berkaitan Parlimen),” kata Pensyarah Undang-Undang, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood ketika dihubungi BH hari ini.
Sehubungan itu, katanya, bagi urusan selain daripada yang berkaitan hasutan, penelitian Perkara 63 Perlembagaan Persekutuan menunjukkan mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk mempersoalkan apa yang berlaku dalam Parlimen.
Beliau mengulas tindakan Dr Mahathir dan empat Ahli Parlimen lain yang mengemukakan saman pemula di mahkamah bagi mencabar pelantikan Datuk Azhar Azizan Harun dan Datuk Seri Azalina Othman Said sebagai Yang Dipertua dan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.
Sumber BH Online