Azalina pertahan pelantikan sebagai timbalan speaker
PETALING JAYA: Azalina Othman Said mempertahankan pelantikannya sebagai timbalan speaker Dewan Rakyat, susulan saman pemula yang difailkan Dr Mahathir Mohamad dan 4 ahli Parlimen lain.
Beliau yang juga seorang peguam berkata, Perkara 63 (1) Perlembagaan Persekutuan menyatakan kesahan prosiding di Parlimen atau jawatankuasanya tidak boleh dipersoalkan di mana-mana mahkamah.
Ahli Parlimen Pengerang itu memberi contoh keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes bekas speaker Dewan Undangan Negeri Perak, V Sivakumar dan R Ganesan yang Dewan mempunyai kuasa memilih atau memecat speaker serta isu siapa dilantik secara sah sebagai speaker terletak di luar bidang kuasa mahkamah.
“Malah, YB Teluk Intan (Nga Kor Ming) telah meletak jawatan timbalan yang dipertua Dewan Rakyat sebelum usul pelantikan saya di bawah Peraturan Mesyuarat 6 Dewan Rakyat dibacakan.
“Justeru, saya tidak melihat terdapat mana-mana pelanggaran Peraturan Mesyuarat atau Perlembagaan berlaku,” katanya dalam kenyataan hari ini.
“Bagaimanapun, memandangkan perkara pada masa ini berada dalam pertimbangan mahkamah, saya juga sebagai seorang pengamal undang-undang menyerahkan kepada mahkamah bagi mengadili perkara tersebut.”
Pada 23 Julai lalu, Mahathir bersama anaknya, Mukhriz Mahathir (Jerlun), Maszlee Malik (Simpang Renggam), Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu) dan Shahruddin Md Salleh (Sri Gading) memfailkan saman pemula bagi mencabar kesahihan pelantikan Azhar Harun dan Azalina di Dewan Rakyat.
Sumber Free Malaysia Today FMT