46 Individu Kena Kompaun, Berkumpul Di Kedai Makan
ALOR SETAR: Seramai 46 pelanggan kedai makan di Tebengau di sini, semalam, ditahan polis selepas mereka didapati ingkar serta tidak patuh kepada Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Dalam pemeriksaan pada jam 5 petang itu, pelanggan didapati berkumpul di dalam pondok kedai dalam jumlah terlalu ramai tanpa mengamalkan penjarakan sosial.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintendan Mohd Redzuan Salleh, berkata kedai makan itu juga didapati gagal menyediakan penyukat suhu badan dan mengambil butir pelanggan.
Katanya, berikutan itu kesemua pelanggan berusia antara 19 hingga 67 tahun dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar untuk tindakan lanjut.
“Mereka dikenakan kompaun RM1,000 setiap seorang kerana melakukan kesalahan melanggar PKPP dan diambil tindakan mengikut Peraturan 7 Jadual Aktiviti Terlarang bil 11(No 7) 2020.
“Dalam tempoh dua hari, kita mengeluarkan kompaun terhadap 90 individu yang ingkar PKPP dalam beberapa pemeriksaan dan operasi di daerah ini,” katanya ketika ditemui malam tadi.
Sumber BH Online