Anwar baru sedar tertipu dengan Mahathir
PETALING JAYA – Perletakan jawatan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad merupakan antara penyebab berakhirnya pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang hanya bertahan selama 22 bulan, kata Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, PH masih merupakan kerajaan jika Dr. Mahathir tidak meletak jawatan pada masa itu.
“Jika Dr. Mahathir tidak meletak jawatan, maka semua masalah dalaman boleh diselesaikan secara dalaman,” katanya dalam wawancara bersama Sinchew Daily.
Anwar hanya menyedari tertipu selepas sekian lama kerana beliau sebelum ini memang percaya Dr. Mahathir akan menyerah jawatan PM kepadanya.
Menurut Anwar, beliau bagaimanapun sedar ramai orang menentangnya menjadi PM.
“Banyak orang dan ramai jutawan, termasuk seorang hartawan Melayu yang saya kenali, telah membantah (saya menjadi PM), saya tahu golongan yang rasuah turut menentang.
“Adakah anda percaya semua orang akan menyokong jika anda berbicara tentang kebebasan kehakiman? Tidak semua orang akan sokong jika anda bercakap tentang keadilan,” katanya.
Mengenai jawatan PM yang tidak kesampaian hingga hari ini, Anwar berkata, sebagai manusia biasa, beliau kadangkala juga merenung kenapa keadaan tidak saksama itu boleh berlaku.
Sumber Malaysia Gazette