Baju, tulang manusia ditemui di dalam perut buaya
MUKAH: Beberapa anggota tubuh manusia antaranya tulang rusuk, tulang betis, tapak tangan dan serpihan dipercayai tengkorak serta sehelai baju ditemui di dalam perut buaya yang ditangkap di Batang Ulu Belawai, Tanjung Manis, di sini, hari ini.
Ia dipercayai milik seorang remaja lelaki, Ricky Ganya,14, Rumah Panjang Dadat, Tanjung Manis, yang dilaporkan dibaham buaya ketika dia mencari siput bersama ibu saudaranya di sungai pada 26 Julai lalu.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Tiong Ling Hii, berkata buaya sepanjang 4.5 meter itu berjaya ditangkap pada jam 9.15 pagi tadi, selepas reptilia itu tersangkut pada pancing berumpan ayam yang dipasang oleh Pasukan Tindakan Pantas Hidupan Liar (SWAT), Sarawak Forestry Corporation (SFC).
Beliau berkata, buaya berkenaan kemudian dibawa ke darat dan perutnya dibelah di depan pegawai polis, keluarga mangsa serta penduduk kampung.
“Baju serta beberapa bahagian anggota badan manusia ditemui di dalam perut pemangsa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sumber BH Online