Politics |Tiga Individu Fail Semakan Kehakiman Halang PRN Sabah
PETALING JAYA: Tiga individu memfailkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu untuk menghentikan Pilihan Raya Negeri akan datang susulan penularan Covid-19.
The Star melaporkan peguam Marcel Jude bersama ahli perniagaan Magret Binsing dan Tessa Romana mahu mahkamah membatalkan persetujuan diberikan Yang di-Pertua Sabah, Juhar Mahiruddin untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri.
Mereka turut memohon perintah bagi menghalang pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengadakan PRN, kecuali peruntukan perintah kawalan pergerakan (PKP) ditarik balik.
“Ini bukan masa atau tempatnya mengadakan PRN kerana ia akan menghimpunkan rakyat, menyebabkan ruang sesak dan kawasan terbatas, serta menghapuskan penjarakan fizikal secara besar-besaran untuk populasi Sabah,” kata mereka dalam semakan kehakiman itu.
Mereka turut memohon perisytiharan mengadakan PRN ketika PKP pemulihan menyalahi undang-undang, terbatal dan tidak sah.
Mereka mahu mahkamah mempertimbangkan injunksi Erinford terhadap Juhar dan pengerusi SPR sehingga rayuan bekas ketua menteri Sabah, Musa Aman mengenai pemimpin sah negeri itu selesai di Mahkamah Persekutuan.
Juhar dinamakan responden pertama dan pengerusi SPR sebagai responden ke-2.
Permohonan itu difailkan melalui sistem e-filing dengan 14 Sept ditetapkan untuk pendengaran.
SPR belum mengumumkan tarikh mengundi, tetapi ia perlu diadakan dalam tempoh 60 hari daripada pembubaran DUN pada 30 Julai lalu.
_PPI