Tiada anggota MALBATT terbabit dalam letupan di Lubnan – ATM

KUALA LUMPUR, 5 Ogos — Angkatan Tentera Malaysia mengesahkan tiada anggotanya yang bertugas di Lubnan terbabit dalam insiden letupan di Beirut pada petang Selasa.

Panglima ATM Jen Tan Sri Affendi Buang berkata setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang laporan kecederaan membabitkan 216 anggota pasukan pengaman Batalion Malaysia 850-7 (MALBATT 850-7) yang menyertai Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) (UNIFIL) di Lubnan. 

“Buat masa ini tiada anggota yang terbabit,” katanya ringkas selepas majlis perasmian penyerahan al-Quran wakaf dan pelancaran  al-Quran corner di auditorium Hospital Angkatan Tentera (HAT) Tuanku Mizan di sini, hari ini. 

Beliau berkata anggota dan misi pengaman ATM di Lubnan adalah di bawah arahan PBB dan setakat ini tiada arahan baharu dikeluarkan. 

“Kami akan tunggu tanda arah daripada PBB, buat masa ini masih awal lagi tapi pihak ATM Malaysia sentiasa meneliti perkembangan terkini. Jika ada sesuatu yang mungkin boleh bahayakan misi, kita mungkin akan ambil tindakan selanjutnya,” kata beliau. 

Penugasan di Lubnan dilaksanakan pasukan pengaman MALBATT 850-7 yang menyertai misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) (UNIFIL) selama setahun sejak 1 Okt 2019.

Media antarabangsa hari ini melaporkan dua letupan besar menggegarkan Beirut, Lubnan pada Selasa, menyebabkan sekurang-kurangnya 73 orang terbunuh dan 3,000 yang lain cedera. 

Letupan berlaku di Pelabuhan Beirut lebih kurang 6.10 petang waktu tempatan, menggegarkan hampir kesemua bangunan di seluruh bandar selain menyebabkan banyak korban nyawa dan kerosakan.

Punca sebenar letupan masih belum diketahui, tetapi Menteri Dalam Negeri Mohammad Fahmi berkata ia mungkin disebabkan bahan kimia yang disimpan di gudang pelabuhan berkenaan meletup.

Terdahulu, Affendi menerima 12,060 naskah al-Quran wakaf daripada Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas Datuk Hussamuddin Yaacub untuk diagihkan di enam hospital dan 65 klinik ATM seluruh negara. 

Affendi berkata pihaknya, turut mewujudkan al-Quran corner di hospital ATM dalam usaha meningkatkan kerohanian sekali gus menambah baik kualiti dan prestasi di tempat kerja. 

“Ini bagi mendekatkan warga ATM dengan al-Quran sebagai usaha memperkasa kekuatan mental, fizikal, spiritual sebagai perwira dan perajurit negara,” katanya. 

— BERNAMA

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: