17 Ogos untuk putuskan sama ada pembubaran DUN Sabah boleh diadili

07/08/2020 02:43 PM

KOTA KINABALU, 7 Ogos  — Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 17 Ogos ini untuk menentukan sama ada keputusan Yang Dipertua Sabah membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini boleh diadili, iaitu boleh dibicarakan di mahkamah. 

Pesuruhjaya Kehakiman Leonard David Shim menetapkan tarikh itu selepas mendengar permohonan kebenaran untuk semakan kehakiman terhadap keputusan membubarkan DUN Sabah. 

Perkara itu dibawa ke mahkamah oleh Tengku Fuad Ahmad, peguam bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman dan 32 lagi ahli DUN yang memohon kebenaran mahkamah untuk semakan kehakiman.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Tengku Fuad berkata mahkamah juga menetapkan 10 Ogos ini untuk hujahan bertulis daripada Peguam Besar Negeri Sabah Brenndon Keith Soh dan 12 Ogos bagi pihak beliau (Tengku Fuad) memfailkan hujahan balas.   

Beliau berkata permohonan kebenaran untuk semakan kehakiman itu bagi menentukan sama ada Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin, sebagai responden pertama, telah bertindak mengikut undang-undang semasa membubarkan DUN atas nasihat Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, responden kedua. 

“Kita akan bersidang semula di sini pada 17 Ogos ini untuk hujahan tambahan atau keputusan,” kata Tengku Fuad yang ditemui di kompleks mahkamah di sini.

Permohonan itu juga menamakan Suruhanjaya Pilihan Raya dan kerajaan negeri Sabah sebagai responden ketiga dan keempat masing-masing.

Tengku Fuad menjelaskan hujahan yang dikemukakan di hadapan Shim ialah Tun Juhar tidak dinasihati secara betul oleh Mohd Shafie dalam menggunakan kuasanya untuk membubarkan DUN di bawah perlembagaan negeri.

Pada 30 Julai, Mohd Shafie mengumumkan yang beliau menerima kebenaran Tun Juhar untuk membubarkan DUN berkuat kuasa serta-merta bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri dalam tempoh 60 hari.

Ketua menteri itu mendapatkan kebenaran membubarkan DUN selepas Musa, pada sidang media, mengumumkan yang beliau mendapat sokongan 33 ADUN untuk membentuk kerajaan negeri baharu.

DUN yang dibubarkan itu mempunyai 65 ADUN.

— BERNAMA

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: