Rencana |Mampukah Zuraida Kamaruddin Mempertahankan Ampang?

Anjakan bersejarah berlaku pada PRU-14 apabila Barisan Nasional ditumbangkan pada 9 Mei 2018. Ia menjadi titik penting bermulanya dinamik politik tanahair. Pakatan Harapan menjadi pemerintah kerajaan Persekutuan Malaysia.

Namun Pakatan Harapan hanya bertahan 22 bulan setelah Parti Pribumi Bersatu Malaysia dan sepuluh ahli parlimen Parti Keadilan Rakyat keluar daripada Pakatan Harapan. Kemudian berdirilah pemerintah baru kerajaan dinamai Perikatan Nasional.

Ini juga suatu dinamik politik yang mengejutkan rakyat Malaysia dan ia membuktikan hal mustahil boleh terjadi dalam politik. Jika di luar negara, situasi perubahan sokongan parti politik atau blok politik yang membentuk gabungan pemerintah baru adalah perkara biasa. Cuma ia agak drastik terjadi di sini.

Antara watak utama dalam ‘pembikinan’ Perikatan Nasional melalui ‘Sheraton Move’ adalah Zuraida Kamaruddin, yang merupakan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan iaitu jawatan sama yang disandang semasa Pakatan Harapan berkerajaan.

Jika dilihat komposisi pemilih di Parlimen Ampang berdasarkan data PRU-14, pemilih Ampang terdiri daripada Melayu (55%), Cina (35%), India (8.7%) dan Lain-lain (1.3%). Ini kawasan campuran yang menjadi pilihan Parti Keadilan Rakyat bertanding.

Ampang juga merupakan kouta kawasan untuk MCA mewakili Barisan Nasional. Antara sebab pada PRU-14 MCA masih lagi bertanding di sini.

Andaian sekiranya bentuk sokongan rakyat masih sama seperti ‘mood’ PRU-14, Zuraida pasti ‘berkubur’ di Ampang pada PRU15 nanti. Akan tetapi dengan keadaan politik semasa ‘dinaungi’ Perikatan Nasional, ‘mood’ semasa rakyat Malaysia sudah ada perubahan. Maka corak permainan politik turut berubah.

Setelah pemecatan Zuraida bersama Azmin oleh Parti Keadilan Rakyat pada 24 Febuari 2020, parti ini sebenarnya telah kehilangan tonggak penting yang menunjangi politik parti Reformasi tersebut. Maka tidak hairan, Pengerusinya di Selangor merangkap Menteri Besar Amirudin Shari diberi tugas khas mempertahankan kemenangan parti ini di Ampang.

Sudah kelihatan riak nyata, Amirudin dan pasukannya gigih menggali dan mengaut keluar sedaya mungkin ‘membunuh’ potensi Zuraida.

Apakah Zuraida Kamaruddin berupaya mempertahankan Ampang?

Gerakan politik Zuraida di Ampang sejujurnya tidak boleh dipandang mudah oleh Parti Keadilan Rakyat walaupun mereka ada keyakinan tinggi merampas kawasan ini berdasarkan komposisi pemilih parlimen bersifat campuran. Sudah pasti pemilih Cina menjadi ‘fix-deposit’ Parti Keadilan Rakyat kerana sokongan semasa Orang Cina masih kukuh kepada Pakatan Harapan sekitar 68 hingga 70 peratus semasa ini.

Ampang diklasifikasikan sebagai ‘kubu kuat’ Parti Keadilan Rakyat kerana konsisten memenanginya kali pertama pada PRU-12 tahun 2008, berkesinambungan pada PRU-13 (2013) dan PRU-14 lalu. Pemenangnya masih juga kekal iaitu Zuraida Kamaruddin!

Selama tiga penggal (menjangkau sepuluh tahun), Zuraida sudah memperkukuhkan akar umbi di Ampang. Ia terbukti dengan kemenangan selesa buat Zuraida semasa pemilihan Parti Keadilan Rakyat (2010, 2014 & 2018) dengan pemilihan tahun 2018 beliau menang tanpa bertanding bagi jawatan ketua cabang.

Pesaing politik Zuraida (samada dari Parti Keadilan Rakyat atau Parti Rakyat Malaysia atau Parti Tun Mahathir) harus melakukan gerakan politik luarbiasa bagi mencantas populariti Zuraida di Ampang.

Satu lagi kegigihan Zuraida walaupun sibuk sebagai menteri, urustadbir Pejabat Parlimen Ampang masih berjalan lancar dengan kelangsungan program-program kemasyarakatan dan kebajikan.

Cabaran besar menanti Zuraida pada PRU15 nanti di Dun Bukit Antarabangsa yang merupakan ‘zon selesa’ buat Parti Keadilan Rakyat kerana latarbelakang pemilih golongan elit dan M40. Kecenderungan kumpulan ini lebih kepada Pakatan Harapan. Manakala di Dun Lembah Jaya, faktor pemilih Melayu bakal menjadi sumbangan undi besar buat Zuraida.

Ketika ini, ‘kestabilan’ Perikatan Nasional masih menjadi perbincangan pemerhati politik. Situasi ini akan berubah sekiranya Perikatan Nasional menjadi gabungan berdaftar yang sah sebagaimana Barisan Nasional dan Pakatan Harapan.

Sudah ada khabar angin pelakon pro-Pakatan Harapan, Hans Isaac mahu menawarkan diri sebagai calon bertanding melawan Zuraida Kamaruddin pada PRU15 nanti. Ini suatu perkembangan menarik. Tetapi hal tersebut masih belum ada kepastian mutlak.

Pertembungan gerak kerja antara peringkat kerajaan negeri Selangor dengan Persekutuan di Ampang menjadi penilaian penduduk-penduduk parlimen ini. Prestasi Zuraida yang konsisten bakal disaingi untuk bulan-bulan seterusnya sebelum tiba PRU15.

Tidak mustahil juga bahawa Parti Keadilan Rakyat bakal meletakkan calon popular seperti Rafizi Ramli atau Fuziah Salleh melawan Zuraida. Sudah pasti parti ini tidak mahu mengorbankan Fuziah Salleh di Kuantan yang mungkin bukan kerusi selamat buat Parti Keadilan Rakyat di Pahang.

_PPI

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: