Komuniti |Membudayakan Kepedulian Harta Awam
Semalam YBM Hajah Zuraida Kamaruddin telah mengumumkan satu inisiatif baru yang bakal dilaksanakan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) iaitu pemasangan kemudahan kamera litar di PPR Lembah Subang 2, Petaling Jaya.
Mungkin segelintir pihak akan sinis dengan usaha KPKT ini, apalah sangat setakat pasang kamera litar tetapi tidak relevan melaksanakan pemantauan.
Namun langkah yang diumumkan ini bertujuan membudayakan kepedulian masyarakat terhadap harta bersama dan harta awam. Sudah tiba masanya masyarakat dididik meletakkan rasa kepedulian yang tinggi ke atas harta awam dan bersama ini supaya kekal berfungsi, terjaga dan dapat memberi manfaat kesejahteraan rakyat.
Pemasangan kemudahan kamera litar ini juga akan mendisiplinkan rakyat khusus hal kebersihan. Isu utama di kawasan-kawasan PPR adalah sikap ketidakpedulian segelintir masyarakat menjaga kebersihan. Selalu berlaku sampah dibuang merata atau bungkusan sampah ditinggalkan di tangga atau koridor. Malah lebih buruk, ada yang berperangai seperti haiwan yang kencing di tangga atau dalam lif.
Sesetengah PPR turut mengalami isu ‘vandalisme’ yang merosakkan kemudahan-kemudahan bersama. Kita akan selalu mendengar rungutan komuniti PPR tentang kerosakan lif, pondok menunggu bas diconteng, tong sampah dipecahkan dan sebagainya hingga mendatangkan kesusahan pada komuniti.
Langkah pemasangan kemudahan kamera litar oleh KPKT ini berupaya meningkatkan tahap kesejahteraan hidup dan mendisiplinkan komuniti PPR.
Selain pemantauan hal kebersihan, kerosakan dan sikap, inisiatif ini juga berperanan dalam aspek keselamatan.
Semoga inisiatif kesejahteraan rakyat ini mampu mempertingkatkan tahap urus selia di PPR seluruh negara.

_PPI