Rencana |PKR Sabah-krisis kepimpinan & hilang kekuatan politik

Pengumuman rasmi senarai calon PRN Sabah oleh Parti Warisan Sabah (Warisan) pada hujung minggu lepas telah menyaksikan Shafie Afdal memperkuatkan kedudukan parti ini sebagai ‘warlord’ politik di Sabah.

Senarai calon itu ternyata didominasi 73 peratus calon Warisan, seramai 53 orang berbanding sekutu dari PH iaitu DAP (6 calon) dan PKR (2 calon), manakala UPKO mendapat kepercayaan Shafie Afdal bertanding 12 kerusi dun. PRN Sabah kali ini akan melibatkan 73 kerusi dun.

UPKO dilihat sebagai sekutu rapat Shafie Afdal berbanding PH. Lebih malang buat PKR menjadi parti kerdil kali ini. Semasa PRU-14, PKR bertanding di enam kerusi dun dengan memenangi dua kerusi iaitu Api-api dan Inanam.

PKR Sabah sudah menjadi bahan ketawa politik di negeri tersebut. Agak mengejutkan kerusi Inanam yang dimenangi semasa PRU-14 telah diberi kepada UPKO, PKR diberi kerusi dun Klias. Calon di Klias juga seorang veteran politik PKR iaitu John Ghani, seperti bayangan kekalahan sudah tergenggam di tangan kerana PKR Sabah ketiadaan tokoh politik yang lebih wibawa untuk menjadi calon.

PKR Sabah semasa di bawah pimpinan Lajim Ukin telah bertanding 45 kerusi dun daripada 60 kerusi keseluruhan bagi menghadapi PRU-13 tahun 2013. Beberapa nama besar politik seperti Maijol Mahap, Wilfred Bumburing dan Ibrahim Menudin dibawa masuk untuk memperkukuhkan PKR. Muncul dua gerakan waktu itu iaitu ‘Angkatan Perubahan Sabah’ (APS) diketuai Wilfred Bumburing dan ‘Gagasan Perubahan Sabah’ (GPS) yang dipimpin oleh Lajim Ukin.

Hasil ‘gerakan’ ini, PKR memenangi tujuh kerusi dun iaitu Matunggong, Kadamaian, Tamparuli, Inanam, Api-api, Moyog dan Klias serta satu parlimen (Penampang). PKR menjadi blok pembangkang terbesar dalam dun Sabah. Namun keadaan itu seketika, apabila Adun Kadamaian melompat keluar parti menjadi wakil rakyat bebas mesra BN, manakala pada penghujung tahun 2016, Adun Klias dan Tamparuli keluar PKR kemudian masing-masing menubuhkan parti lain iaitu Parti Gerakan Harapan Sabah (GHS) dan Parti Cinta Sabah (PCS). Manakala adun Moyog pula menyertai Warisan. Hanya Inanam (Dr Roland Chia), Api-api (Christina Liew) dan Matunggong (Jelani Desanap) kekal bersama PKR.

Selepas gerakan Invoke mendominasi gerakan dalaman PKR sejak 2016 hingga 2018, berlaku perubahan situasi PKR Sabah. Christina Liew telah diangkat sebagai pengerusi PKR Sabah. Suatu jawatan yang telah lama diidamkan sejak menjadi wakil rakyat Api-api. Christina bukan tokoh popular di kalangan orang-orang PKR Sabah. Beliau diketahui suka ‘mendampingi’ keluarga Anwar Ibrahim. Kredibiliti beliau untuk memimpin organisasi juga dilihat lemah dan mudah tunduk dengan tekanan.

Kegagalan Christina memimpin PKR Sabah menjadi parti terkuat menyebabkan ramai pimpinan akar umbi mulai mempertikaikan kedudukan beliau sebagai pengerusi negeri. Beliau bernasib baik kerana kedudukan sebagai Ahli Parlimen Tawau dan Timbalan KM Sabah masih menyelamatkan karier politiknya. Jika beliau adun biasa, sudah pasti Christina bakal menerima padah.

Krisis politik dalaman berbunga sejak Febuari 2020 apabila Ketua AMK Sabah, Raymond Ahuar dipecat sebagai setiausaha politik kepada Christina. Malah Christina turut bertegas bahawa pemecatan itu telah dibuat oleh jemaah menteri kerajaan Negeri Sabah.

Khabar lain juga tersebar dalam mesyuarat negeri PKR Sabah baru-baru ini berlangsung dengan suasana tegang apabila Raymond Ahuar membantah Christina tunduk kepada Shafie dan Warisan dengan persetujuan bertanding menggunakan logo Warisan pada PRN Sabah nanti. Malah beliau turut berang kerana PKR hanya diberi muka bertanding dua kerusi dun sahaja.

‘Kehendak’ dan persetujuan Christina Liew akur kepada Shafie dan Warisan ini telah dikhabarkan juga mendapat perhatian serius presiden PKR, Anwar Ibrahim yang tidak bersetuju PKR menggunakan logo Warisan sedangkan PH masih menjadi sekutu politik Warisan di Sabah.

Sebenarnya sudah ada suara-suara pimpinan akar umbi PKR Sabah agar kepimpinan negeri dirombak. Hakikatnya para pimpinan akar umbi ini tidak bersetuju PKR diperkecilkan peranan politik oleh Warisan di negeri itu kerana Warisan adalah parti baru sedangkan PKR sudah bertapak sejak tahun 1998 lagi.

Akan tetapi Shafie Afdal melihat politik PKR tidak akan membantu kelangsungan kuasa Warisan di Sabah. Shafie lebih mempercayai UPKO. Secara langsung, Shafie juga tidak menyakini Anwar Ibrahim lagi. Shafie mahu mengulangi sejarah yang pernah dilakukan oleh Parti Bersatu Sabah (PBS) yang diketuai oleh Joseph Pairin Kitingan. PBS ditubuhkan tak sampai sebulan sebelum PRN Sabah tahun 1985, kemudiannya parti ini telah berjaya memenangi 25 kerusi dun daripada 45 kerusi. Kemudian tahun 1986, Pairin telah membubarkan Dun Sabah dan mengadakan ‘snap election’ bagi memperkukuhkan kedudukan politik PBS. Pairin dan PBS menang besar dengan lebih dua pertiga kerusi dun dan kekal berkuasa sehingga tahun 1995.

Malang politik PKR terus melanda bukan setakat peringkat nasional tetapi di Sabah. Asalnya PKR wujud di Sabah sebagai parti terbesar yang dilihat mampu menyaingi BN, ironiknya kini kekuatan mereka bukan dibunuh dan dilemahkan oleh BN tetapi oleh sekutu mereka iaitu Parti Warisan Sabah. Lebih malang lagi, pemuka PKR Sabah pula tunduk kepada Shafie Afdal, tidak kepada Anwar Ibrahim!

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: