Rencana |PRN Sabah penentu kelangsungan politik Shafie Afdal

Selepas anjakan luarbiasa politik tanahair yang berlaku dalam PRU-14 9 Mei 2018, Sabah menjadi negeri yang berada dalam ‘darjah kehangatan’ politik sesudah PH ditumbangkan pada 29 Febuari lalu.

Kesan perubahan drastik politik nasional pada 29 Febuari 2020, beberapa kerajaan negeri yang diperintah oleh PH turut tumbang dan bertukar tampuk kuasa oleh Perikatan Nasional di Perak, Johor, Melaka, Perak dan Kedah. PH masih bertahan di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

Tekanan luarbiasa turut dilalui oleh pemerintah kerajaan negeri Sabah, Parti Warisan Sabah bersama sekutunya UPKO dan PH yang secara hakikatnya telah dirampas ‘mandat’ oleh Blok Musa Aman. Shafie Afdal selaku KM Sabah menggunakan kedudukan kuasa yang ada telah segera melaksanakan pelan pembubaran DUN Sabah.

‘Snap Election’ menjadi pilihan utama Shafie bagi menyelamatkan Warisan. Langkah politik ini telah mencatat satu lagi peristiwa politik Sabah. Ini bukan kali pertama Sabah melalui ‘snap election’ tetapi sudah kali kedua selepas yang pertama berlaku pada tahun 1986.

Apakah Shafie dan Warisan Sabah mampu memperolehi mandat baru rakyat negeri tersebut?

Ini persoalan menarik. Kita harus membuat bandingan sejarah lepas untuk suatu jangkaan baru yang mungkin terjadi.

Sejarah PRN Sabah

Sudah lima kali Sabah melalui pertukaran parti pemerintah sejak 1967 iaitu tahun pertama berlangsung pilihan raya negeri. PRN pertama pada tahun 1967 menyaksikan USNO dan UPKO membentuk kerajaan campuran (1967-1971).

Kemudian PRN kedua (1971), USNO mendominasi kemenangan dengan 29 kerusi daripada 32 kerusi dun keseluruhan. Lawan yang ada waktu itu Sabah Chinese Association (SCA) pula menang tiga kerusi. USNO menjadi parti pemerintah negeri dominan antara 1971 hingga 1976.

Dominasi USNO kemudiannya dilenturkan semasa PRN ketiga (1976) melalui Parti Berjaya Sabah (Berjaya) yang dipimpin oleh Harris Saleh. Tun Fuad Stephen turut menyertai Berjaya. USNO telah diatasi oleh Berjaya dengan memenangi 28 daripada 48 kerusi keseluruhan. Manakala USNO mampu menang 20 kerusi, kurang lapan kerusi berbanding Berjaya.

Berjaya menjadi pemerintah baru kerajaan negeri Sabah (1976-1981), parti ini mendominasi kemenangan PRN keempat (1981) dengan 44 daripada 48 kerusi dun keseluruhan. USNO hanya menang tiga kerusi dan parti baru, Sabah Chinese Consolidated Party (SCCP) meraih kemenangan satu kerusi.

Ketika mandat keempat (1981-1985) inilah telah berlaku pertembungan sengit politik dalaman Berjaya antara Harris Saleh dan Joseph Pairin Kitingan. Berjaya ketika itu dilihat menjadi ‘alat politik’ BN di Sabah. Situasi itu begitu tak disenangi oleh Pairin dan penyokongnya. Selepas beliau disingkirkan daripada Berjaya pada 1985, Pairin kemudiannya menubuhkan Parti Bersatu Sabah (PBS) dan sebulan selepas itu menyertai PRN kelima Sabah pada tahun tersebut.

PRN kelima (1985) menjadi giliran buat Berjaya menerima kejutan politik sebagaimana USNO pada PRN ketiga 1976. Kali ini, PBS telah menewaskan Harris Saleh dan Berjaya dengan menang 25 kerusi, manakala Berjaya hanya menang enam kerusi! USNO pula kembali melonjak pengaruh dengan memenangi 16 kerusi dan Pasok menang satu kerusi. Kemenangan PBS dengan angka majoriti mudah (25 daripada 48 kerusi dun) telah memberi tamparan hebat kepada Harris Saleh dan Berjaya.

Keputusan PRN kelima ini sangat kontroversi, malah USNO melalui presidennya waktu Tun Datu Mustapha Harun mempertikai kemenangan PBS. Tun Datu Mustapha mengisytiharkan diri sebagai KM Sabah. Krisis politik ini terheret ke mahkamah tinggi Sabah dan keputusan memihak kepada Pairin sebagai KM Sabah yang sah.

Akibat tekanan luarbiasa oleh USNO dan Berjaya sehingga mencetuskan rusuhan di Kota Kinabalu, Pairin telah membubarkan Dun Sabah. ‘Snap Election’ Sabah berlangsung pada tahun 1986 yang juga PRN keenam negeri.

Pelan pembubaran oleh Pairin ini menjadi. PBS kemudiannya memenangi PRN dengan 34 kerusi, berkelebihan dua pertiga dalam DUN Sabah. Pesaing utama, USNO mampu menang 12 kerusi, manakala Berjaya hanya menang satu kerusi. PRN ini juga menjadi ‘killing zone’ ke atas Berjaya yang selepas itu terus pudar dalam radar politik Sabah. PBS mempertahankan kemenangan ini dengan jumlah kerusi sama pada PRN ketujuh (1990).

PBS kekal berkerajaan sehingga tahun 1994 sebelum ditumbangkan pada penghujung Febuari tahun tersebut melalui gerakan kudeta BN. Semasa PRN kelapan (1994) PBS hanya menang 25 daripada 48 kerusi dun keseluruhan iaitu majoriti mudah. BN pula memperolehi 23 kerusi. Tujuh adun PBS melompat menyertai BN dan bermula era BN memerintah Sabah sehingga tahun 2018.

PRN kali ini agak istimewa dan berbeza. Apakah Shafie akan mendapat momentum sebagaimana PBS pada tahun 1986?

Jangan lupa, Warisan Sabah tidak memenangi PRU-14 dan membentuk kerajaan negeri kerana tidak cukup kerusi. BN telah menang 29 kerusi dan bergabung dengan STAR (2 kerusi) bagi membentuk kerajaan dengan majoriti mudah (31 kerusi).

Sehari selepas Musa Aman mengangkat sumpah sebagai KM, lima adun UPKO keluar BN dan menyokong Shafie & Warisan bagi membentuk kerajaan negeri. Warisan menang 21 kerusi telah bergabung dengan PH (8 kerusi) dan UPKO (5 kerusi) dengan angka 34 kerusi. Shafie menggunakan ‘Mandat Katak’ bagi membentuk kerajaan negeri Sabah.

Ia berbeza dengan situasi USNO, Berjaya dan PBS yang menang kali pertama PRN dengan mandat pilihanraya yang dipilih oleh rakyat.

Apakah Parti Cinta Sabah (PCS) yang kimi dipimpin oleh bekas Menteri Luar Negara, Anifah Aman bakal membuat kejutan? PCS telah mengumumkan bertanding di semua 73 kerusi dun. Ini gambaran PCS mahu melawan dominasi politik Warisan.

Perikatan Nasional juga boleh jadi memberi anjakan untuk kali pertama di Sabah. PRN Sabah nanti bakal menjadi ‘lapangan ujian’ sokongan dan kredibiliti Perikatan Nasional sebelum melalui PRU-15.

Sebagaimana USNO, Berjaya dan PBS, Shafie mengidamkan dominasi politik di Sabah. Gerakan itu memang berhasil sehinggakan rakan sekutu dari PH iaitu DAP dan PKR kian kerdil dengan kouta kecil kerusi bertanding. Shafie mahu melemahkan kedudukan politik PKR khususnya. Namun apakah dominasi Warisan ini mencetuskan kebencian majoriti rakyat seperti yang pernah dibuat oleh USNO dan Berjaya dulu?

Kita nantikan pertembungan sengit dan menarik PRN Sabah!

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: