Rencana |Bersatu Tonjolkan Dinamik Politik

Hari ini, 8 September 2020 genap empat tahun kewujudan Pertubuhan Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Politik Malaysia kini sangat dinamik, berbeza era terdahulu kerana dominasi Umno telah ‘membeku’ dinamika tersebut. Ia bermaksud keanjalan politik tanahair melalui anjakan pantas tidak mungkin terjadi era dominasi Umno kerana sebarang perubahan drastik siasah akan menggugat kelangsungan Umno sebagai ‘kuasa mutlak’ di Malaysia.

Dulu, tarikh 8 Mac 2008 dianggap ‘titik majis’ politik Malaysia atas kejayaan blok pembangkang menafikan penguasaan dua pertiga Barisan Nasional (BN). Dua peristiwa besar politik terjadi penggal ke-12 iaitu kudeta kerajaan Pakatan Rakyat Perak dan Projek 16 September yang mencetuskan permulaan dinamik politik tanahair.

Kudeta BN di Perak itu cukup licik dan tersusun kemas. Manakala Projek 16 September adalah suatu idea menukar kerajaan oleh Anwar Ibrahim dan Pakatan Rakyat melalui sokongan 30 MP BN. Kedua-dua peristiwa besar ini adalah petanda aras seni kelicikan dan kebijaksanaan strategi politik.

Namun ‘Sheraton Move’ telah memancung sejarah penggal ke-12 tadi. Blok Azmin-Zuraida dan Bersatu telah melakar anjakan pantas dan drastik ke atas politik Malaysia. Pakatan Harapan ditumbangkan dan digantikan dengan Perikatan Nasional. Sebenarnya gerak langkah pada 29 Febuari lalu mirip Projek 16 September Anwar Ibrahim, cuma Anwar gagal menzahirkan sebab dia suka bergebang ‘kehebatan’ kepada umum. Ia berbeza dengan Azmin, dalam senyap dia menyusun langkah dan kerana itulah Azmin berjaya menjadi MB Selangor dan Anwar terpasung di Sungai Buloh. Begitu juga dengan ‘Sheraton Move’ dalam diam Azmin berjaya membentuk pakatan baru yang lebih diyakini rakyat dan Anwar sekali lagi gagal menjadi PM. Itu sebab Anwar sangat berang dan dia menghalalkan istilah ‘pengkhianat’ dilontarkan oleh anggota-anggota PKR ke atas Azmin dan Zuraida.

Bersatu walaupun sebuah pertubuhan siasah yang muda, tetapi telah berjaya mencipta dinamik politik. Azmin dan Muhyiddin telah menunjukkan seni politik serba mungkin, ia terlalu pening dan celaru untuk difahami orang awam tetapi itulah gerakan siasah. Kaedah dan mengatasi langkah lawan serta cetusan taktikal mendepani situasi ketika ini ‘dipandu’ oleh Muhyiddin dan Azmin.

Awalnya, gerakan Bersatu dikawal-pandu oleh Mahathir Mohamad pada tahun 2016 sehingga mencapai kejayaan bersama Pakatan Harapan menumbangkan BN. Hasrat politik bagi menumbangkan BN berjaya direalisasikan dengan peningkatan mendadak sokongan umum sebanyak 64 peratus kepada Pakatan Harapan semasa PRU-14 lepas.

Tindakan Mahathir selepas pengumuman Bersatu keluar PH dan beliau sendiri meletakkan jawatan sebagai PM termasuk semua jawatan penting dalam Bersatu begitu drastik. Sudah ada bayangan analisis politik bahawa Bersatu bakal berkubur selepas Mahathir memilih ‘jalan pemisahan mutlak’ dengan penubuhan parti baru, Parti Pejuang Tanahair. Langkah yang dijangka akan berlaku tindakan keluar beramai-ramai ahli Bersatu telah berlaku namun tidak menggugat keberadaan Bersatu untuk kekal berdiri.

Ketika yang sama, Azmin telah memulakan ‘langkah hijrah’ dengan membawa masuk sejumlah besar penyokong beliau dalam NGO Penggerak Komuniti Negara menyertai Bersatu secara ‘en-block’. Penganjuran Kongres Negara adalah isyarat ‘pertunjukan kekuatan’ oleh blok Azmin yang dikenali sebagai G10. Ia adalah pembuktian bahawa Azmin-Zuraida mempunyai sokongan akar umbi yang besar meliputi seluruh negara. Suatu pakej lengkap selain sejumlah 200 ribu ahli berdaftar NGO terbabit yang turut ditampilkan dengan barisan kepimpinan utama, sayap muda (Pemuda Negara & Wanita Muda) dan wanita (Nation Of Women). Ini kualiti dan kredibiliti merit politik yang mahu diketengahkan Azmin buat Bersatu.

Muhyiddin Yassin dianggap figura politik lemah Bersatu. Segelintir pihak beranggapan Muhyiddin tidak berupaya mengawal politik Bersatu selepas ketiadaan Mahathir. Tetapi tanggapan itu setakat ini telah berjaya dipatahkan. Muhyiddin menjadi insan politik yang disenangi oleh rakyat. Kajiselidik Merdeka Center terkini menunjukkan populariti Muhyiddin Yassin dikalangan rakyat adalah di paras 69 peratus. Ia sangat signifikan sebagai membuktikan arah tuju Muhyiddin selaku PM berada di landasan yang betul.

Wabak Covid-19 memberi bonus politik buat Perikatan Nasional dan Bersatu. Impak ‘peperangan’ melawan musuh ‘ghaib’ itu telah melonjakkan patriotisma rakyat, ditambah kejayaan kerajaan menangani wabak yang diiktiraf WHO antara lima negara terbaik di dunia. Mana-mana negara kini yang berhadapan Wabak Covid-19, tidak memberi kelebihan besar kepada parti-parti pembangkang untuk mengecam dan manuver politik parti pemerintah. Malah gerak langkah parti-parti pembangkang untuk melawan arus semasa bakal membunuh potensi dan populariti. Itu yang terjadi kepada Pakatan Harapan kini. Tahap sokongan dan populariti rakyat kepada mereka sudah merundum ke paras 25 peratus berbanding dua tahun sebelum itu.

Malah sokongan keseluruhan kepada Bersatu lebih tinggi berbanding PH iaitu 28 peratus walaupun itu peratusan rendah berbanding Pas dan Umno. Sokongan keseluruhan rakyat sebanyak 51 peratus kepada Perikatan Nasional memberi nafas lega buat Bersatu yang memimpin gabungan ini. Tahap sokongan Orang Melayu pada paras 74 peratus buat Perikatan Nasional memberi suatu harapan politik kepada Bersatu memperkukuhkan kedudukan peringkat akar umbi.

Cabaran besar dan kental yang dihadapi Bersatu sebagai parti baru dan muda mengharungi situasi dinamik politik negara akan menjadi tanda aras kelangsungan politik parti ini. Kesediaan Bersatu membuka keahlian kepada kaum lain dan menjadi parti multiracial dominan Bumiputera bakal memberi saingan besar kepada PKR.

Jika sifat baru organisasi ini mampu diurus secara bijak, Bersatu berupaya menjadi parti nasional yang kuat pada masa depan. Azmin dan Muhyiddin sedang mendepani masa dalam pencorakan baharu politik Malaysia.

_PPI

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: