Rencana |DAP setuju guna logo Warisan, petanda PH hilang populariti
Keputusan DAP untuk menggunakan logo Warisan pada PRN Sabah nanti seakan membenarkan dapatan kajiselidik Merdeka Center terkini yang menunjukkan peratusan populariti PH telah merundum ke paras 25 peratus berbanding semasa memenangi PRU-14 lepas dengan 64 peratus.
Secara langsung ini juga membuktikan PH turut mengalami kemerosotan populariti di Sabah walaupun mereka adalah sekutu Warisan dan komponen parti pemerintah negeri.
DAP semasa PRU-14 pun bertanding dengan bendera sendiri di Sabah. Mereka akan mempertahankan kemenangan enam dun yang dimenangi lepas. Sebagaimana PKR, tiada tambahan kerusi diberikan oleh Warisan buat DAP. Lebih malang buat rakan komponen DAP, iaitu PKR yang hanya diberi kouta bertanding dua kerusi di Api-api dan Klias.
Shafie Afdal benar-benar menjalankan politik ala warlord, dengan mendominasi kouta kerusi tanpa memberi ‘ikhsan politik’ kepada PH. Anwar Ibrahim beberapa hari lepas telah pun bertemu Shafie bagi membincangkan rundingan kerusi PKR. PKR Sabah telah meletakkan sasaran 14 dun untuk ditandingi, tambahan enam kerusi berbanding lapan semasa PRU-14 lepas.
Shafie juga mahu mengajar Anwar ‘menghormati’ tuan tanah dan perlu akur kepada corak politik Sabah. Tambahan pula, Christina Liew lebih patuh kepada Shafie berbanding Anwar. Krisis kerusi dun ini telah mewujudkan episod baru pertembungan dalaman PKR. Anwar sudah hilang kaliber dan PKR menjadi kerdil.
Namun begitu, ‘akur’ DAP ini memberi kelebihan buat mereka asalkan survival politik DAP masih wujud di Negeri Bawah Bayu. DAP Sabah hanya bertumpu kepada kerusi-kerusi bandar majoriti Cina tanpa perlu bersusah payah masuk bertanding di kawasan luar radius pengaruh dan populariti semasa PH.

PRN Sabah juga menjadi penanda aras yang signifikan buat Warisan, Perikatan Nasional dan PH sebagai ujian pengaruh serta populariti di kalangan rakyat.
Umno mungkin menerima nasib seperti parti Berjaya Sabah yang ditamatkan dominasi pada PRN Sabah 1986 dulu yang hanya menang lima kerusi sahaja berbanding PBS yang mendominasi kemenangan dengan 35 kerusi daripada 48 kerusi keseluruhan.
Bersatu adalah watak politik baru di Sabah dan ia adalah parti pemerintah kerajaan Persekutuan. Jangan lupa bahawa dapatan kajiselidik Merdeka Center menunjukkan tahap kepuasan Bumiputera Muslim dan Bumiputera Bukan Muslim kepada Perikatan Nasional adalah di paras 78 peratus.
Perkembangan semasa ini sekali menunjukkan Perikatan Nasional berupaya menyaingi Warisan tanpa perlu risau kepada PH yang sudah pun dicabutkan taring oleh Shafie Afdal.

_PPI