Rencana |Lewat umum calon, PKR dilihat bermasalah

Semalam (9 September 2020) PKR Sabah telah mengeluarkan kenyataan media bahawa parti itu akan bertanding 14 kerusi dun. Kenyataan oleh ketua penerangan PKR Sabah itu juga memberi bayangan bahawa rundingan kerusi antara PKR dan Warisan selesai.

Namun hari ini, semasa majlis pengumuman calon-calon Warisan Plus, hanya senarai nama calon dari Warisan, UPKO, DAP dan Amanah yang diumumkan oleh Shafie Afdal. Manakala nama-nama calon PKR tidak diumum dan tiada dalam senarai rasmi yang diedarkan kepada media.

Ini telah menimbulkan spekulasi bahawa memang benar wujud masalah politik antara PKR dan Warisan. Beberapa hari lepas, Presiden PKR Anwar Ibrahim telah mengadakan pertemuan dengan Shafie Afdal bagi merundingkan isu kerusi PKR bagi PRN Sabah kali ini.

Khabar awal sebelum ini telah dikatakan PKR hanya diberi bertanding dua kerusi iaitu Api-api dan Klias. Ia telah membangkitkan kemarahan sebahagian besar pimpinan akar umbi PKR Sabah kerana kelemahan pengerusi PKR negeri, Christina Liew merundingkan kouta kerusi yang munasabah buat PKR. Rata-rata pimpinan PKR akar umbi Sabah hilang peluang untuk bertanding.

PKR Sabah mempunyai lebih kurang 150 ribu ahli parti dan ia menjadi ukuran politik bahawa PKR adalah antara parti terbesar di Negeri Bawah Bayu selepas Warisan, PBS dan Umno.

PKR telah bertanding pilihanraya di Sabah sejak tahun 2004 (PRU-11). Ketika itu PKR telah bertanding 19 kerusi dun tetapi tidak memenangi sebarang kerusi. Kemudian dalam PRU-12 pada tahun 2008, PKR bertanding 55 kerusi dun juga tidak memenangi sebarang kerusi.

Hanya pada tahun 2013 semasa PRU-13, barulah PKR berjaya memenangi buat pertama kali tujuh kerusi dun dan satu parlimen (Penampang). Ketika itu PKR telah bertanding 43 daripada 60 kerusi keseluruhan dun Sabah.

Akibat dipimpin oleh watak politik yang lemah dan tidak mempunyai karisma politik, PKR Sabah dilihat sebagai parti kerdil dan populariti merosot walaupun pada PRU-14 lalu ada memenangi kerusi dun Inanam dan Api-api daripada lapan kerusi dun ditandingi.

Gelombang ‘Perubahan Sabah’ yang digerakkan pada tahun 2013 bagi merampas Sabah daripada BN gagal membawa kemenangan besar kepada Pakatan Rakyat waktu itu. Anwar Ibrahim belum ke Penjara Sungai Buloh lagi. Namun itulah tahap kemampuan ombakan politik semasa itu yang berjaya dicapai oleh PKR dan Pakatan Rakyat. Mereka tidak berjaya memenangi sepertiga jumlah kerusi daripada 60 dun keseluruhan.

Maka prestasi lampau itu menjadi penilaian penting dan strategik oleh Shafie Afdal, keupayaan PKR setakat menang tujuh kerusi. Selepas kemenangan pertama kali itu, dua adun PKR (Matunggong dan Kadamaian) keluar PKR menjadi wakil rakyat bebas pro BN. Pada tahun 2016 pula, adun Klias (Lajim Ukin, bekas pengerusi PKR 2013-2016) telah keluar PKR dan menubuhkan Parti Harapan Rakyat Sabah, manakala Wilfred Bumburing keluar PKR untuk menubuhkan Parti Cinta Sabah. Adun Moyog pula keluar PKR menyertai Warisan. Tinggallah adun Inanam (Roland Chia) dan Api-api (Christina Liew). Itu pun Roland dicantas oleh Anwar Ibrahim sebagai calon pada PRU-14 dan meletakkan Kenny Chua sebagai calon Inanam. Beliau menang tetapi pada bulan penghujung Ogos lepas beliau telah melompat keluar menyokong Musa Aman bagi gerakan kudeta kerajaan negeri Sabah.

Apa sudah jadi dengan PKR Sabah? Adakah mereka akan melanggar Warisan Plus dengan kekal bertanding di 14 kerusi dun yang dituntut?

Agak lucu apabila PKR mengadakan majlis pelancaran jentera pilihanraya secara besar-besaran seolah mereka bakal bertanding 20 kerusi dun. Ucapan setiausaha agung PKR yang menyatakan kekuatan ahli berjumlah 150 ribu orang sebagai yang kedua teramai selepas Selangor sebagai fakta relevan kewajaran PKR bertanding 20 kerusi.

Akan tetapi Shafie Afdal telah menunjukkan seni politik warlord gaya Sabah kepada Anwar dan PKR. Mungkin gerak politik Anwar hebat di peringkat nasional tetapi tidak untuk Sabah.

Anwar dan PKR wajib mencontohi DAP dan Amanah, akur kepada politik warlord Warisan asalkan kekal dalam radar politik Sabah. Namun semua orang tau, Anwar Ibrahim ada ‘bongkak politik’ takkan mahu tunduk apatah lagi akur kepada Shafie Afdal. DAP dan Amanah ‘rela’ menggadaikan populariti demi kelangsungan politik. Kedua-dua parti ini sedar populariti PH sudah jauh menjunam.

Hanya PKR yang masih dibuai mimpi tanpa sedar sudah menjadi si kerdil yang lagak bak gergasi.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: