MOF beri jaminan Belanjawan 2021 akan fokus aspek kelangsungan ekonomi

KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan memberi jaminan Belanjawan 2021 yang dijangka dibentangkan pada 6 November ini, akan terus menumpukan aspek kelangsungan ekonomi bagi memastikan momentum pemulihan ekonomi dapat dikekalkan.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, berkata pihaknya kini giat merangka Belanjawan 2021, termasuk mengadakan sesi perbincangan bersama kementerian-kementerian lain bagi mempertimbangkan cadangan serta keperluan pengoperasian serta pembangunan.

Beliau berkata, sebagaimana dinyatakan sebelum ini, Belanjawan 2021 itu mempunyai tiga matlamat utama untuk melindungi, memulih dan menjamin perkara seperti kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan dan ketahanan ekonomi.

“Pada masa sama, kerajaan juga menggesa rakyat juga dapat bersama-sama dalam usaha memerangi penularan COVID-19 dengan sentiasa mematuhi amalan norma baharu.

“Ini seperti mempraktikkan amalan penjarakan fizikal, menjaga kebersihan dan kesihatan serta kawalan kendiri dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan bersempena laporan ke-26 Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) mengenai pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang dikeluarkan hari ini.

Tengku Zafrul berkata, kerajaan turut sentiasa memantau perkembangan semasa dan bersedia untuk menambah peruntukan bagi memerangi penularan COVID-19 sekiranya diperlukan.

Setakat ini, kerajaan sudah memperuntukkan sebanyak RM1.7 bilion bagi memerangi penularan pandemik yang disalurkan menerusi 14 kementerian dan kerajaan negeri.

Malah, katanya, kerajaan menerusi Kementerian Kesihatan (KKM) juga sudah menyalurkan peruntukan tambahan sebanyak RM44 juta bagi memperkukuh usaha di peringkat barisan hadapan kesihatan di negeri Sabah.

Selain itu, Tengku Zafrul juga berkata, kerajaan melalui Majlis Keselamatan Negara juga telah meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM50 juta kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

“Kedua-dua peruntukan tambahan ini selaras dengan komitmen bagi memastikan kesiapsiagaan dalam menghadapi peningkatan jangkitan COVID-19 di seluruh negara,” katanya.Dalam perkembangan lain, beliau berkata, seramai 11.36 juta rakyat telah menerima RM50 dalam e-dompet yang berjumlah RM567.9 juta menerusi program yang bermula 31 Julai, 2020 dan tamat pada 30 September lalu.

Katanya, penyedia khidmat e-dompet seperti Boost, GrabPay dan Touch n Go eWallet juga telah menyumbang manfaat dalam bentuk padanan kredit serta pelbagai insentif lain berjumlah RM433.8 juta dalam usaha merancakkan lagi ekonomi Malaysia. – BERNAMA

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: