Info PBT: Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya
Salah satu pihak berkuasa tempatan (PBT) yang wujud di Melaka adalah Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya. Nama PBT yang menginspirasikan lagenda pahlawan Melayu kelahiran Melaka iaitu Laksamana Hang Tuah.
Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) ditubuhkan di bawah Seksyen 3 Akta Kerajaan Tempatan 1976, (Akta 171) sebagai sebuah Pihak Berkuasa Tempatan bagi kawasan Hang Tuah Jaya. Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya mula beroperasi pada 1 Januari 2010.

Berkeluasan 35,733.04 ekar, Hang Tuah Jaya terletak di tengah-tengah Negeri Melaka meliputi kawasan Pusat Pentadbiran Kerajaan Negeri dan merangkumi 3 Daerah iaitu sebahagian Daerah Melaka Tengah, Alor Gajah dan Jasin.
Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya ini berperanan penting kerana Pusat Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka terletak di dalam kawasan pentadbirannya. Adalah menjadi aspirasi Kerajaan Negeri Melaka untuk menjadikan kawasan Perbandaran Hang Tuah Jaya ini sebagai kawasan kosmopolitan yang mampu menjana pembangunan pelbagai aspek meliputi Ekonomi, Sosial, Infrastruktur dan Rekreasi menerusi penerapan konsep K-Ekonomi, I-Village, K-Komuniti dan Bandar Siber.

Kawasan Pentadbiran ini mengandungi Sembilan Mukim seperti yang dinyatakan dibawah :Enam (6) di Daerah Melaka Tengah
- Sebahagian Mukim Batu Berendam
- Sebahagian Mukim Bukit Baru
- Sebahagian Mukim Bukit Katil
- Sebahagian Mukim Bachang
- Sebahagian Mukim Peringgit
- Sebahagian Mukim Ayer Molek
Satu (1) di Daerah Alor Gajah
- Sebahagian Mukim Durian Tunggal
Dua (2) di Daerah Jasin
- Sebahagian Mukim Ayer Panas
- Sebahagian Mukim Kesang
