Info PBT: Majlis Perbandaran Kangar, PBT tunggal di Perlis
Pada 1 Januari 1980, kesemua Penguasa Tempatan di Perlis disusun semula. Pihak Kerajaan telah menyarankan agar kesemua Penguasa Tempatan di Perlis disatukan bagi memastikan sistem pentadbiran dan perkhidmatan dapat diberikan dengan lebih cemerlang.

Memandangkan Negeri Perlis adalah negeri yang kecil dari segi keluasannya, hanya satu pusat pihak Penguasa Tempatan yang harus diwujudkan. Sehubungan dengan itu, Penguasa tempatan yang diwujudkan telah diberi taraf otonomi dan dinamakan Majlis Perbandaran Kangar (MPK).

Peringkat awalnya, kawasan operasi MPK meliputi kawasan seluas 40 batu persegi.
Seterusnya dalam tahun 1989, kawasan operasi ini telah diperluaskan sehingga meliputi 118 km persegi.

Malah kawasan operasi MPK juga telah dikaji semula oleh pihak Kerajaan Negeri dan melalui Warta Kerajaan Negeri Bilangan 5 Jilid 42 yang bertarikh 4 Mac 1999 berkuatkuasa mulai 22 Oktober 1997 telah sebulat suara meluluskan pindaan ke atas kawasan Majlis di mana seluruh Negeri Perlis kecuali Kawasan Hutan Simpan diisytiharkan sebagai Kawasan Majlis Perbandaran Kangar dengan keluasan 795 km persegi.