Balai bomba baru: Ali Biju suarakan hasrat rakyat
6 November, KUALA LUMPUR: Susulan daripada kejadian kebakaran di Kampung Hilir Sungai Pala, Kabong pada 2 November lepas, Ahli Parlimen Saratok YB Ali Biju telah mengadakan pertemuan dengan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB Hajah Zuraida Kamarudin sebelum bermulanya Sesi Pembentangan Belanjawan 2021 di Parlimen.

Semasa pertemuan selama 30 minit bersama Menteri KPKT, beliau telah menyuarakan agar pertimbangan untuk pembinaan balai bomba di Kabong diluluskan. Ia disebabkan kedudukan Balai Bomba Saratok iaitu balai bomba yang terdekat adalah sejauh 50 kilometer dan mengambil masa satu jam perjalanan untuk sampai ke Daerah Kabong.
Menurut Ali lagi, Daerah Kabong amat memerlukan sebuah balai bomba sekurang-kurangnya Balai Bomba Kelas C. Antara 2015 hingga 2020 telah berlaku enam kebakaran di daerah Kabong yang melibatkan kerugian ratusan ribu ringgit.

“Bersempena dengan Pembentangan Belanjawan 2021, saya meletakkan harapan tinggi agar banyak pembangunan dapat dijalankan di Daerah Kabong dan Saratok terutamanya.” ujar Ali.

“Semoga pertemuan bersama dengan Menteri KPKT akan membawa berita baik atas permohonan pembinaan Balai Bomba di Kabong.” tambah beliau.