INDUSTRI KREATIF NEGARA: PERANAN DAN USAHA PEMERKASAAN

Industri kreatif adalah sektor yang sedang berkembang maju di Malaysia. Sehingga 31 Mac 2019, terdapat 345 syarikat berstatus MSC Malaysia di bawah kluster kandungan kreatif dan teknologi daripada jumlah keseluruhan 2,986 syarikat berstatus MSC Malaysia yang aktif.

Pada 2018 syarikat berstatus MSC Malaysia di bawah kluster ini telah mencatatkan nilai jualan sebanyak RM7.69 bilion dengan nilai eksport sebanyak RM1.4 bilion dan telah menyediakan sebanyak 11,471 peluang pekerjaan
Industri kreatif walaupun sebuah bidang yang baru muncul namun mewakili satu bahagian penting ekonomi baru yang berpotensi besar menjana pendapatan tinggi dan menjadikan ekonomi negara lebih dinamik.

Penelitian ke atas perkembangan ekonomi global semasa menunjukkan industri kreatif merupakan salah satu sumber penting pertumbuhan ekonomi dan budaya khususnya di negara-negara maju. Sebagai contoh, industri ini telah menyumbang sebanyak USD$3 trilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Amerika Syarikat (KPKK, 2008) dan sebanyak £112.5 billion kepada ekonomi United Kingdom (DCMS Creative Industries Mapping Document, 2001).

Industri kreatif juga telah mewujudkan peluang pekerjaan yang luas, berdasarkan statistik guna tenaga di negara-negara maju seperti United Kingdom 4.5%, Hong Kong 5.3%, Amerika Syarikat 5.9%, Taiwan 3.6%, Australia 3.8% dan Singapura 3.4% (Baseline Study on Hong Kong Creative Industries, 2003).

Manakala di Malaysia, Kajian Asas industri Kreatif oleh MDEC (2008) menunjukkan Industri Kreatif menyumbangkan sebanyak 5.8 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), mewakili 1.0 peratus daripada eksport negara dan 7.5 peratus peluang pekerjaan di seluruh negara.

Peluang pekerjaan dalam industri kreatif mendaftarkan pertumbuhan sebanyak 10.7 peratus, lebih tiga kali pertumbuhan penggajian kebangsaan iaitu 3.3 peratus. Kajian ini turut mendedahkan bahawa industri kreatif menyaksikan kadar pertumbuhan tahunan sebanyak 11.1 peratus, melampaui kadar pertumbuhan negara sebanyak 6.6 peratus.

Angka-angka ini menunjukkan peranan penting yang dimainkan oleh Industri Kreatif dalam menyumbang kepada ekonomi negara. Tidak menghairankan Kerajaan Malaysia telah mengumumkan tahun 2009 sebagai tahun Kreatif dan Inovatif.

Serentak dengan itu pada 23 Oktober 2009, Perdana Menteri Malaysia semasa membentangkan bajet negara telah memperuntukkan sejumlah RM 200 juta untuk Dana Industri Kreatif bagi membiayai aktiviti seperti pengeluaran filem dan drama, muzik, animasi, pengiklanan dan pembangunan kandungan tempatan dan seterusnya melonjakkan pembangunan Industri Kreatif Negara.

Bertolak dari situ lebih banyak kolej dan universiti awam dan swasta menawarkan program pengajian berkaitan Industri Kreatif malahan ada yang menubuhkan jabatan dan Fakulti Industri Kreatif.

Bagi memperkasakan industri kretif negara pada 2020, KKMM dikepalai Menterinya, Saifuddin Abdullah telah mengadakan 10 sesi perundingan dengan para pemegang taruh bagi mengenalpasti garis-garis haluannya dan sebahagian hasil rundingan telahpun dilaksanakan.

Antara langkah utama KKMM ialah Langkah utama ialah menubuhkan Pasukan Petugas Industri Kreatif Negara (PPIKN) dengan kerjasama Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Hajah Nancy, PPIKN ini dianggotai para pemegang taruh daripada kerajaan, industri dan masyarakat sivil.

Peranannya ialah memajukan ekosistem industri kreatif negara yang holistik, futuris dan bertaraf antarabangsa. Ini termasuklah menubuhkan sebuah platform pusat atau payung peringkat kebangsaan. Industri kreatif mesti menjadi agenda nasional.

Inisiatif ini penting dalam usaha memperkasakan industri Kreatif yang dikenalpasti Profesor Emeritus Datuk Dr Mazlan Othman terdiri daripada empat kompenan;

• Warisan iaitu ‘ekspresi budaya tradisional’ (seni kraf, perayaan-perayaan, sambutan-sambutan) dan ‘tempat-tempat kebudayaan’ (monumen bersejarah, muzium, perpustakaan, arkib);

• Seni iaitu ‘seni visual’ (lukisan, arca, antik, fotografi) dan ‘seni persembahan’ (muzik live, teater, tarian, opera, puppetry, sarkas);

• Media iaitu ‘penerbitan dan percetakan’ (buku, surat khabar, penerbitan-penerbitan lain), ‘audio-visual’ (filem, televisyen, radio) dan ‘media baru’ (kandungan digital, software, permainan video, animasi); dan

• Kreatif Fungsional iaitu ‘rekacipta’ (hiasan dalaman, grafik, fesyen, barang kemas, permainan/toys) dan ‘perkhidmatan kreatif’ (arkitek, pengiklanan, penyelidikan, perkhidmatan kebudayaan, perkhidmatan digital).

Satu daripada Teras Strategik KKMM ialah ‘Memangkin Industri Kandungan Kreatif yang Berdaya Saing dan Bertaraf Global’ dengan menentukan beberapa objektif spesifik. Contohnya, filem tempatan memenangi Anugerah Oscar dan muzik tempatan memenangi Anugerah Grammy. Juga agar Malaysia meningkat dalam beberapa ranking antarabangsa seperti International Box-Office Revenue Ranking.

Usaha memperkasakan ekosistem industri kreatif sudah semestinya melibatkan untung nasib para penggiat seni. Dalam hal ini, KKMM telah memberi fokus kepada isu-isu mendesak seperti latihan, biasiswa, perlindungan peluang pekerjaan buat lulusan seni budaya, kandungan tempatan, pendaftaran dan dokumen individu (SOCSO, KWSP, LHDN), akreditasi, keusahawanan, pinjaman bank, insentif cukai, cukai hiburan, penyemakan undang-undang sedia ada, hak cipta, pendigitalan, teknologi kini dan trajektori masa depan.

Kesungguhan KKMM ini dapat dilihat ketika ramai penggiat seni berhadapan dengan masalah akibat pandemik covid19, maka, kerajaan telah menyenaraikan golongan karyawan, artis dan penyanyi sebagai penerima bantuan Pakej PRIHATIN.

Bagi membantu para penyanyi, beberapa program dalam talian dianjurkan, contohnya “Nyanyi dari Rumah” oleh RTM dan Bahagian Pembangunan Kandungan KKMM menganjurkan “Muzik dari Rumah” di youtube dan laman web Muzik Malaysia.

Bagi membolehkan penggiat seni bekerja-semula semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), kerajaan telah membenarkan penggambaran filem, drama, dokumentari dan pengiklanan selepas Hari Raya Aidilfitri. Kini, perbincangan sedang diadakan untuk acara live pula.

Justeru, usaha memperkasakan industri kreatif di Malaysia sangat wajar, apatah lagi dengan tindakan proaktif dari kerajaan memungkinkan kita untuk merebut pasaran antarabangsa. Tidak mustahil, Yuna antara artis yang membuktikan kenyataan ini. Jimmy Choo juga berjaya sebagai pereka fesyen bertaraf dunia.

Sumber : PenggerakDaily

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

<span>%d</span> bloggers like this: