Tak patriotik jika belanjawan untuk MKN & NADMA ditolak pembangkang.
Antara semangat patriotik dan prinsip politik kepartian, belanjawan untuk Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan NADMA di bawah Jabatan Perdana Menteri begitu penting bagi usaha-usaha kerajaan menanggani wabak Covid-19.
Persoalannya, apakah tergamak blok pembangkang menolak belanjawan tersebut semata-mata prinsip politik kepartian?
‘Pertempuran Politik’ wajar digantung seketika atau tempoh bertenang agar suatu kematangan demokrasi (yang disebut oleh politikus sebagai berjiwa besar) boleh dicapai atas semangat patriotik untuk bersama melawan dan menanggani wabak Covid-19.

Sekiranya blok pembangkang tekad mahu meneruskan prinsip politik kepartian, maka malang bakal menimpa kepada ribuan frontliner Covid-19 yang terdiri daripada kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia dan anggota-anggota keselamatan yang bertugas seperti tentera, polis, bomba. Prinsip politik kepartian mereka akan membunuh usaha-usaha jitu negara melawan Covid-19.
Itu belum lagi menyentuh hal-hal keselamatan dalam negeri khususnya kawalan sempadan negara baik di darat atau perairan. Tindakan menggagalkan belanjawan tersebut turut menjejaskan gerak kerja keselamatan dalam negeri.
Tuntutan semasa yang tinggi kepada isu menanggani wabak Covid-19, keselamatan sempadan negara dan bencana alam terutama musim tengkujuh yang sedang melanda negara memerlukan belanjawan berkaitan diluluskan.