Demokrasi Malaysia Kian Dinamik, Tiada Parti Dominan

Usaha permuafakatan antara tiga parti dominasi Melayu iaitu Bersatu, Pas dan Umno mengukuhkan kerjasama politik dilihat sebagai suatu usaha strategik memusatkan sejumlah sokongan majoriti rakyat.

Umno walaupun memperlihatkan ‘keegoan’ sebagai ‘big brother’ melalui beberapa kenyataan pemuka-pemuka akar umbi dan sayap, hakikatnya kelompok ‘high table’ Umno menyedari parti ini bukan lagi mendominasi lapangan politik berikutan anjakan radikal politik melalui PRU-14 lepas.

Umno sendiri semasa PRU-14 hanya memenangi 57 kerusi parlimen, hilang 32 kerusi parlimen yang pernah dimenangi semasa PRU-13 pada tahun 2013 dulu. Jumlah itu jauh untuk mencapai angka sepertiga iaitu 74 daripada 222 kerusi keseluruhan Dewan Rakyat. Kemudian angka itu merosot kepada 38 MP setelah sebahagian besar MP Umno menyertai Bersatu. Akibatnya kedudukan Umno sudah sama rata dengan Bersatu (31), PKR (38) dan DAP (42).

Maka langkah permuafakatan itu akan menjadikan kedudukan parti-parti dominan Melayu adalah 87 MP yang melebihi jumlah sepertiga Dewan Rakyat. Kerjasama ini amat diperlukan oleh Umno, Pas dan Bersatu bagi mengukuhkan sokongan dan kedudukan sebelum PRU-15 khusus di Semenanjung Malaysia.

Penubuhan Perikatan Nasional yang telah diluluskan pendaftaran pada 7 Ogos lalu, satu langkah bijak politik yang menggabungkan Bersatu, Pas, Star Sabah dan SAPP ketika ‘keengganan’ Umno bersama sebelum itu. Koalisi baru ini secara ke depan perlu bagi sebuah jenama baru parti pemerintah yang tidak dikait secara terus dengan Barisan Nasional. Kajiselidik oleh beberapa agensi juga menunjukkan tahap sokongan rakyat kepada Perikatan Nasional juga berada pada paras menyakinkan berbanding BN.

Dinamik politik yang terjadi selepas PRU-14 lepas, harus diperhalusi oleh setiap parti. Perlawanan politik kini sudah berada di ‘padang yang sama rata’ iaitu masing-masing ada peluang kemenangan. Ia bukan lagi era dominasi 1970an, 1980an dan 1990an.

Setiap parti ada peratusan undi asas masing-masing. Cuma yang bakal membezakan peluang kemenangan adalah kebijaksanaan politik yang bakal dibawa oleh mana-mana gabungan politik.

PRN Sabah yang lalu adalah ujikaji politik pertama antara Perikatan Nasional dan BN. Walaupun Umno-BN bertanding lebih daripada 30 kerusi dun, mereka tidak lagi mencapai tahap kemenangan selesa seperti PRN yang lepas. Itu sudah membuktikan Umno bukan lagi parti dominan sebagaimana era 1990an hingga 2013 di Sabah. Tiap parti politik ada pusingan era, era permulaan, era gemilang dan era kejatuhan.

Sentimen Umno untuk terus menerus menjadi parti dominan itu wajar meneliti banyak faktor. Hakikat parti itu melalui fasa merundum perlu diambilkira oleh kebanyakan lapisan pimpinan. Tuhan telah memberi Umno peluang kedua untuk kembali bertapak tetapi perlu ada muhasabah diri agar tidak terbawa-bawa keegoan politik era lalu.

Dua parti yang melalui ujian radikal selepas PRU-14 iaitu Umno dan PKR. Situasi Umno telah diulas, PKR buat pertama kali memenangi pilihan raya umum yang sukses pada 9 Mei 2018 menjadikan parti ini sebagai parti terbesar dalam Dewan Rakyat selepas dua tiga bulan PRU-14. PKR suatu ketika mempunyai 50 MP adalah pencapaian terbaik dalam sejarah pilihanraya sejak 1999.

Namun perbalahan dalaman telah memecahbelahkan PKR, daripada menjadi parti terbesar menjadi parti yang sama kekuatan dengan Umno. DAP pula mengambil alih kedudukan parti terbesar dalam Dewan Rakyat kini setelah PKR menyusut kepada 38 MP.

Inilah dinamik politik demokrasi Malaysia. PKR menikmati kedudukan dan status parti terbesar dalam Dewan Rakyat kurang daripada 20 bulan sepanjang PH menjadi pemerintah kerajaan Persekutuan. BN juga melalui pengalaman serupa yang lebih awal daripada 81 MP kemudian menyusut hingga 42 kini akibat dinamik politik demokrasi. Bekas komponen BN seperti PBB, SUPP, PDP, PRS, UPKO dan PBS keluar daripada gagasan ini.

Demokrasi Malaysia kini lebih terbuka dan persaingan mencapai kemenangan kuasa menjadi menarik.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: