Penduduk Sambut Baik Cadangan Mengindahkan Tapak Highland Tower
13 Disember, AMPANG: Penduduk-penduduk Taman Sri Ukay dan Hill View memberi respon positif terhadap cadangan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan YB Hajah Zuraida Kamaruddin untuk melestarikan tapak runtuhan Highlands Tower.
“Kami selaku penduduk Taman Sri Ukay/Hill View menyambut baik cadangan yang dikemukakan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan YB Zuraida Kamaruddin berhubung hasratnya untuk mengindahkan semula kawasan tragedi Highland Tower selain menjadikannya tapak bersejarah bagi memperingati tragedi yang mengorbankan 48 penghuni kondominium berkenaan pada 11 Dis 1993.” kata Presiden Persatuan Penduduk Taman Sri Ukay/Hill View, Dato’ Siti Hendon Binti Haji Chek semalam.
“Ia merupakan satu kesyukuran buat kami memandangkan kawasan itu sebelum ini menjadi sarang penagih dadah serta mengundang masalah sosial setempat.” Tambah beliau lagi.
“Jika sebelum ini kami hidup dalam keadaan kurang selesa, dengan berita ini sekurang-kurangnya kami mampu menarik nafas lega jika struktur bangunan itu akan diroboh dan dijadikan kawasan yang indah.” Jelas Dato’ Siti Hendon.
Menurut Dato’ Siti Hendon, langkah YB Zuraida itu juga mampu mengubah stigma masyarakat terhadap Highland Tower kerana kawasan itu tidak lagi berada dalam menakutkan.
Beliau turut meminta pihak lain tidak meretorikkan perkara ini dan berharap perobohan dilakukan secepat mungkin, supaya kerja-kerja mengindahkan kawasan ini dapat dilakukan.
Dato’Siti Hendon mewakili penduduk-penduduk setempat turut menzahirkan rasa terima kasih yang amat dalam buat Hajah Zuraida Kamaruddin kerana memahami perasaan penduduk dikawasan ini. PPI
