PKR hilang dinamik politik kerana Anwar

oleh Teropong Undi

Agak keras dengan memperkatakan bahawa PKR hilang dinamik politik kerana kesilapan Anwar Ibrahim sendiri. Ia hakikat politik yang terjadi selepas PRU-14 dan setelah Anwar menjadi presiden PKR.

Masuk tahun ke-20 kewujudan, PKR menang bergaya pada PRU-14 dan menjadi parti terbesar dalam Dewan Rakyat. Ketika itu PKR menang 47 kerusi parlimen, kemudian menjadi 50 MP setelah tiga MP bebas iaitu Puncak Borneo, Lubok Antu dan Julau menyertai PKR. Semasa itu juga Barisan Nasional hilang ‘kekuatan angka’ daripada 79 kerusi dimenangi, menyusut kini 43 setelah beberapa parti komponen dari Borneo iaitu PBB, PRS, SUPP, PDP, PBS dan UPKO keluar daripada gagasan ini.

Kekuatan PKR ini tidak bertahan lama selepas Anwar menang tanpa bertanding sebagai Presiden PKR dan menjadi MP Port Dickson pada penghujung tahun 2018. Lebih menarik ketika PRK Port Dickson berlangsung, hampir keseluruhan jentera PKR dikerah walaupun PKR sedang melalui proses pemilihan parti. Kisah ‘Kajang Move’ diulangi oleh Anwar semasa pemilihan parti 2018, ‘PD Move’ dilaksanakan semata-mata Anwar mahu segera menjadi MP dan mengambil alih jawatan PM daripada Dr Mahathir Mohamad.

PKR adalah parti politik pelbagai kaum paling berjaya di Malaysia berbanding DAP, Gerakan dan PPP kerana kejayaan mewujudkan semangat ‘Bangsa Malaysia’, dengan komposisi munasabah kaum negara ini. Ia tidak terlalu ‘chinese centric’ seperti DAP dan Gerakan atau terlalu ‘indian centric’ seperti PPP. PKR sudah ada wajah ‘parti masa depan Bangsa Malaysia’.

Akan tetapi dinamik yang gigih dibina sejak era Reformasi itu dibinasakan oleh Anwar Ibrahim tak sampai dua tahun. 20 tahun kesepakatan, muafakat, perpaduan dan toleransi politik dalaman yang dibina musnah pada penghujung tahun 2019. Isyarat yang Anwar tonjolkan semasa ucaptama Kongres Nasional PKR 2019 dengan ucapan sindiran melabel Azmin dan kumpulan pimpinan PKR yang menyokong Azmin sebagai ‘Si Kitol’ telah mencetuskan perang saudara dalam PKR.

Anwar dilihat terlalu angkuh dan lupa diri kesan daripada pengucapan politik berbisa semasa Kongres Nasional tersebut. Dia sudah merasakan bahawa Azmin dan konco-konco kartelnya harus dinyahkan daripada PKR.

Sebelum itu lagi, sepanjang tiga bulan pemilihan PKR berlangsung bibit-bibit perpecahan ketara apabila Anwar secara terang berpihak kepada Rafizi Ramli melawan Azmin Ali dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden PKR. Perpecahan mengikut proksi politik ketika itu amat dasyhat berbanding pemilihan 2010 dan 2014. Sepatutnya Anwar harus berperanan sebagai penyatu kedua-dua proksi agar kesatuan dan keharmonian akar umbi diperkukuhkan.

Kelebihan PKR sebagai parti terbesar Dewan Rakyat pecah berderai apabila muncul ‘Sheraton Move’ pada awal tahun 2020. PKR memecat Azmin dan Zuraida Kamaruddin pada 26 Febuari 2020, dengan harapan dapat membunuh langkah Azmin dan kumpulan kartelnya. Anwar membayangkan kesan yang sama bakal menimpa Azmin-Zuraida seperti Khalid Ibrahim, mantan MB Selangor (2008-2014) yang dipecat pada 2014 atas alasan ‘ingkar’ kepada parti. Khalid Ibrahim terus tenggelam selepas dipecat hingga kini.

Tetapi ini masalah Anwar, dia tersilap langkah dek mendengar nasihat salah pengampu-pengampu politik di keliling dia. Pemecatan Azmin dan Zuraida telah menumpulkan kekuatan PKR. Dulu semasa Khalid Ibrahim dipecat, masih ada Azmin dan Zuraida mempertahankan PKR dan Anwar. Tetapi kini Anwar sudah tidak ada ‘killer figura’ untuk mempertahankan PKR. Nak harapkan Shamsul Iskandar, Saifuddin Nasution, Dollah Sani atau Johari Abdul, kesemua ini adalah watak-watak penakut. Mereka tidak seperti Azmin dan Zuraida. Mereka juga tidak ada sokongan akar umbi, kalau tak percaya suruh mereka keluar PKR, tidak akan ada kumpulan penyokong seluruh negara akan mengikuti mereka.

Sampai hari ini terbukti semasa sidang Dewan Rakyat baru-baru ini terserlah ‘ketakutan politik’ PKR yang memainkan isu Penggerak Komuniti Tempatan (PeKT) dengan NGO Penggerak Komuniti Negara (PKN). MP-MP PKR gigih menyerang tetapi gagal membezakan antara jawatan lantikan kementerian dan pertubuhan bukan kerajaan. Ini sangat memalukan buat PKR. Jelas sekali PKR sudah hilang ‘political hook’ dalam mendepani isu yang relevan.

Retorik Anwar mempunyai majoriti sokongan MP Dewan Rakyat sudah menjadi bahan lawak politik. Sampai ke saat ini, Anwar gagal membuktikan dia ada sokongan tersebut. Malah baru-baru ini juga heboh tersebar screenshot perbualan whatapps pimpinan utama AMK Malaysia yang mengecam Anwar Ibrahim dan terang-terangan menyatakan kekecewaan terhadap Anwar akibat ‘Meridien Move’ yang ternyata gagal.

Mungkin sudah tiba saat Anwar Ibrahim muhasabah diri dan berundur daripada politik. Hanya kumpulan penyokong fanatik Anwar mendewakan dia. Seolah-olah tanpa Anwar, negara ini akan ditimpa musibah ekonomi dan sosiopolitik. Hakikat terbukti bahawa Anwar sendiri gagal memimpin PKR sehingga ranap berpecah belah dan yang tinggal hanya pengampu-pengampu politik.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: