PKR Sarawak jadi parti kerdil, MP Julau sedia bekerjasama dengan PN

oleh Teropong Undi. Perkembangan semasa politik PKR Sarawak kian menarik dengan kenyataan terbaru Pengerusi PKR Sarawak, Larry Sng yang juga MP Julau menyatakan kesediaan bekerjasama dengan Perikatan Nasional.

Beliau juga telah meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PKR Sarawak, suatu jawatan yang diidamkan beliau sejak menyertai PKR selepas memenangi Julau pada PRU-14 lepas.

Larry Sng seorang politikus yang kontroversi, gerakan politik beliau dicatur pandu oleh bapanya Sng Chee Hua seorang jutawan Sarawak yang rapat dengan pimpinan utama negara termasuk Anwar Ibrahim.

Ramai yang tidak mengikuti sejarah politik bapa Larry, Sng Chee Hua yang dipanggil oleh orang-orang PKR dengan nama ‘Dato Sng’. Beliau ini pernah menjadi Adun Pelagus selama dua penggal (1991-1996, 1996-2001) sebelum Larry menyambung legasi bapanya di Pelagus juga dua penggal (tahun 2001-2006, 2006-2011). Jangan lupa juga, Dato Sng mantan MP Julau Penggal Ke-9 (1995-1999). Maka tidak hairan kemudiannya Larry diletakkan sebagai calon Julau pada PRU-14 lalu.

Kedudukan Parlimen Julau, Sarawak

Itulah sejarah politik keluarga Sng, yang mendominasi politik Dayak walaupun mereka adalah orang Cina Sarawak.

Sebagaimana bapanya, gerakan politik Larry mengikut langkah yang diatur Dato Sng. Kedua-dua mereka pernah bersama PBDS, salah satu parti pembangkang terkuat di Sarawak selepas SNAP yang muncul pada tahun 1986 dulu. Selepas itu PBDS menyertai BN.

Faktor politik ini yang dipandang dan dijadikan pedoman Anwar Ibrahim menggunakan pengalaman politik Sng Chee Hua bagi ‘bantuan’ gerakan PKR di Sarawak sejak era Reformasi lagi. Namun PKR era 1999 hingga tahun 2006, hanyalah parti kerdil yang tiada sebarang tokoh kaliber dan tenggelam dengan asakan BN Sarawak didominasi oleh parti Pesaka Peribumi Bersatu (PBB).

Segalanya berubah apabila Baru Bian menyertai PKR pada penghujung tahun 2008, beliau asalnya adalah ahli parti SNAP (Sarawak National Party) salah satu parti politik terawal di Sarawak. Secara ringkas, PKR Sarawak mulai ‘gagah’ dan dianggap sebagai pesaing utama BN Sarawak ketika era Baru Bian.

Semasa Baru mengepalai PKR Sarawak, parti ini telah memenangi tiga dun iaitu Krian, Batu Lintang dan Ba’kelalan. Sebelum itu, PKR pernah memenangi dun Padungan pada PRN Sarawak tahun 2006.

Antara tahun 2011 hingga 2018, PKR Sarawak telah mempunyai beberapa nama politikus selain Baru Bian seperti Ali Biju, See Chee How, Willie Mongie, Vernon Kedit, Bill Kayong, Norhanem Moksen dan beberapa lagi tokoh Dayak. Kemunculan lapisan pimpinan PKR waktu itu telah menambah nilai politik PKR sebagai parti nasional.

Akan tetapi setelah Anwar menjadi presiden PKR, kekuatan politik PKR mulai goyah. Ada pandangan seorang dua anak Sarawak ahli PKR yang radikal menyebut ‘penyingkiran’ kelompok Kartel (blok Azmin Ali) daripada parti bakal memperkuatkan PKR. Nyata pandangan radikal itu meleset. Selepas Baru Bian dan kumpulan pimpinannya memilih untuk keluar daripada PKR, parti ini telah kehilangan besar kekuatannya.

Baru Bian tidak menyertai Azmin Ali masuk ke dalam Bersatu tetapi memilih untuk menyertai Parti Sarawak Bersatu (PSB). Adun Batu Lintang, See Chee How turut sama menyertai PSB, sebuah parti tempatan yang dilihat bakal menghadirkan saingan kuat pada PRN Sarawak tahun depan.

Boleh dikatakan sebahagian besar politikus pro-Baru Bian telah menyertai PSB. Ini ‘petaka politik’ yang melanda PKR Sarawak. Apakah nasib PKR Sarawak akan meyamai rakan mereka di Sabah?

PRN Sabah ke-16 lepas telah menunjukkan ‘pengajaran’ bermakna kepada Anwar dan PKR Sabah. Warisan Sabah menyedarkan Anwar bahawa PKR bukan parti besar di Sabah. Warisan Sabah membuktikan parti itu ada ‘cangkuk politik’ walaupun baru ditubuhkan pada 2016 tetapi mampu mengombak kemenangan bergaya berbanding PKR yang hanya mampu memenangi tujuh dun sahaja pada PRN-14 pada tahun 2013.

PKR Sarawak sudah melalui fasa sama denga PKR Sabah. Walaupun Larry Sng boleh dikategorikan sebagai politikus oportunis, tetapi beliau sudah menyedari pengaruh Anwar sudah merundum sejak kegagalan ‘Meridien Move’ termasuk gerakan menggagalkan Belanjawan 2021. Jika dari sudut strategik, ini masa terbaik Larry mengundurkan diri daripada memikul beban PKR Sarawak. Adalah lebih baik beliau mengikut cara politik individual yang dijalankan semasa menjadi Adun Pelagus dua penggal dulu.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: