2020 Cipta Anjakan Politik Luarbiasa Malaysia

oleh Teropong Undi
Sepatutnya tahun 2020 menjadi titik anjakan kepada Wawasan 2020 yang diasaskan oleh Dr Mahathir Mohamad pada awal dekad 1990an dulu. Generasi muda waktu itu yang kini sudah berusia antara 36-48 tahun setiap hari perhimpunan sekolah didendangkan dengan lagu Wawasan 2020 nyanyian penyanyi Roy.

Ucapan Dr Mahathir semasa memperkenalkan Wawasan 2020 antara petikannya, “with the greater creativity, with the greater effectively” benar-benar mempengaruhi kejadian tahun 2020 yang pelaksanaan itu patut berlaku ke atas ekonomi tetapi ia terjadi kepada politik.

Generasi sekolah era pengenalan Wawasan 2020 hari ini paling terkesan dengan ‘gambaran’ anjakan kemajuan yang pernah dibayangkan dahulu, memang ada pembangunan infrastruktur termasuk kemajuan teknologi komunikasi tetapi kejutan politik itu sangat luarbiasa.

Sheraton Move
Peristiwa politik yang paling signifikan dalam catatan siasah negara selepas Kemerdekaan 31 Ogos 1957, lebih dasyhat berbanding Tragedi 13 Mei 1969 dan paling menggemparkan daripada Tsunami Politik 8 Mac 2008. Itu perumpamaan munasabah atau logika kepada kejadian tersebut.

Ketika Anwar Ibrahim dan regim media pro beliau sedang gigih melancarkan ‘perang media’ bagi mendesak Dr Mahathir meletak jawatan serta menyegerakan serahan kuasa, tercetus kesedaran dan muafakat politik luarbiasa pada 23 Febuari 2020. Hal ini mirip ulangan kisah ‘Kajang Move’ yang dijadikan langkah drastik Anwar Ibrahim untuk menduduki kedudukan MB Selangor pada tahun 2014. Ketika 2014 itu, Anwar terperangkap dengan langkah itu yang menyebabkan beliau disumbat ke dalam Penjara Sungai Buloh.

Titik penting ‘Sheraton Move’ adalah pada tarikh 24 Febuari 2020 selepas semua proksi politik yang terlibat bermesyuarat secara sulit sehari sebelum itu. Istilah ‘Perikatan Nasional’ mulai diperkenalkan dan disebut sebagai gabungan politik baharu untuk menjadi parti pemerintah kerajaan Persekutuan.

Tiga peristiwa penting terjadi pada tarikh 24 Febuari itu iaitu PKR memecat keanggotaan Azmin Ali dan Zuraida Kamaruddin, pengumuman Bersatu keluar daripada Pakatan Harapan oleh Presidennya Muhyiddin Yassin dan pengumuman Azmin Ali bersama 10 MP PKR keluar daripada PKR. Pengumuman serentak tepat jam 2 petang hari tersebut telah menyebabkan Pakatan Harapan hilang majoriti dan kerajaan PH tumbang.

Kesimpulan daripada kejadian-kejadian yang berlaku selepas 24 Febuari, Yang DiPertuan Agong telah memilih Muhyiddin Yassin sebagai PM kelapan dan mengangkat sumpah secara rasmi pada 1 Mac 2020.

Kemunculan Perikatan Nasional
Rentetan daripada ‘Sheraton Move’, gabungan baharu yang menjadi parti pemerintah kerajaan dinamai sebagai Perikatan Nasional. Koalisi ini mempunyai sokongan 117 MP yang terdiri daripada Bersatu (36), Umno (39), MCA (2), MIC (1), GPS (18), PAS (18), PBS (1), PBRS (1) dan Star (1).

Sembilan bulan Perikatan Nasional berkuasa, pelbagai anjakan radikal politik dilalui. Kedudukan angka yang dimiliki semasa awal pembentukan kini telah menyusut kepada 112 setelah Dr Mahathir bersama lima MP Bersatu keluar parti dan membentuk parti Pejuang. Tetapi waktu sama juga, MP Lubok Antu telah menyertai Perikatan Nasional setelah keluar PKR.

Perikatan Nasional bentuk kerajaan negeri
Ibarat teori domino, beberapa kerajaan negeri PH tumbang di Johor, Melaka, Perak dan Kedah. Anwar Ibrahim semasa memperkatakan Projek 16 September, beliau pernah membayangkan perubahan kerajaan Persekutuan akan mempengaruhi situasi peringkat negeri.

Teori politik itu menjadi realiti apabila Perikatan Nasional menguasai kerajaan Persekutuan, negeri terawal menerima bahang anjakan adalah Johor, Melaka dan Perak. Ketiga-tiga negeri ini telah menerima anjakan politik seawal bulan Mac 2020.

Walaupun Kedah menyusul lewat beberapa bulan, tetapi kejatuhan kerajaan PH Kedah begitu terkesan buat Pakatan Harapan. Ketika sebahagian besar pimpinan dan penyokong PKR mendesak agar anggota-anggota parti yang pro-Azmin dipecat atau keluar daripada parti, dua Adun PKR Kedah telah membuat langkah drastik mengumumkan keluar PKR pada 12 Mei 2020. Robert Ling Kui dan Azman Nasrudin meninggalkan PKR. Kemudiannya mereka menyertai Bersatu.

Pengumuman mereka berdua itu telah menyebabkan kerajaan Kedah yang diketuai oleh Mukhriz Mahathir tumbang. Malang buat Mukhriz kerana ulangan peristiwa hilang kuasa semasa dalam penggal berlaku kali kedua.

Catatan menarik yang boleh diimbas sepanjang 2020 adalah;

1. Mukhriz Mahathir hilang kuasa semasa penggal berlangsung buat kali kedua selepas kali pertama tahun 2015 semasa beliau menjadi MB Kedah ketika era BN.

2. Ahmad Faizal Azumu menjadi MB Perak dalam dua era berbeza dalam tempoh sepenggal iaitu kali pertama semasa PH berkuasa (2018-2020) dan era Perikatan sebelum dijatuhkan pada Disember 2020.

3. Johor menjadi negeri yang menukar MB paling banyak dalam tempoh dua tahun iaitu semasa menang PRU-14, kemudian pada tahun 2019 dan Febuari 2020.

PRN Sabah anjakan moral Perikatan Nasional
Usaha ‘peralihan kuasa’ di Sabah memberi kesan luarbiasa kepada negeri tersebut. Gerakan yang diketuai oleh Musa Aman bagi melakukan peralihan kuasa digagalkan melalui pengisytiharan pembubaran DUN Sabah.

Gerakan pada penghujung Ogos 2020 memberi tekanan kuat kepada Shafie Afdal bagi mempertahankan kuasa pemerintahan Warisan-UPKO. Secara ringkas, SPR telah mengumumkan tarikh pilihan raya negeri Sabah pada 26 September 2020.

Buat pertama kali sejak persempadanan baru yang diluluskan oleh DUN Sabah pada penggal ke-14 lalu (2013-2018), 71 dun bakal ditandingi berbanding 60 dun sebelum itu.

Dua perkara penting tercatat selepas PRN Sabah itu ialah Perikatan Nasional berjaya mengukuhkan kerjasama politik dengan BN dan beberapa parti tempatan melalui pembentukan Gagasan Rakyat Sabah (GRS). Lebih penting Perikatan Nasional Sabah memperlihatkan ikatan rakan komponen dalam pembahagian kerusi antara Bersatu Sabah, Star dan SAPP, manakala PAS menunjukkan tahap politik tertinggi untuk memberi laluan rakan komponen bertanding. PAS telah menerima jawatan Adun Lantikan dan buat pertama kali PAS mempunyai wakil di DUN Sabah sejak tahun 1995.

Kedua, walaupun tewas kerana tidak cukup angka untuk membentuk kerajaan negeri, Warisan membuktikan parti itu mempunyai sokongan kuat dengan kemenangan melebihi jumlah dun yang dimenangi semasa PRU-14 lepas. Shafie Afdal turut membuktikan kata-kata Warisan relevan di Sabah dan PKR sudah hilang karisma politik sebagai parti utama di negeri itu.

Kemenangan Perikatan Nasional di Sabah menjadi moral politik positif buat Muhyiddin Yassin. Gagasan politik ini mempunyai keupayaan memimpin kerajaan Persekutuan.

Belanjawan 2021 Diluluskan
Ia pertembungan politik menarik di peringkat pembuat dasar. Pakatan Harapan giat menjalankan propaganda di media sosial bahawa Perikatan Nasional adalah kerajaan yang lemah kerana memiliki majoriti mudah dan tidak stabil. Hampir setiap hari sebelum pembentangan Belanjawan 2021, Pakatan Harapan telah membayangkan bahawa Muhyiddin Yassin akan hilang majoriti melalui undian belah bahagi meluluskan Belanjawan 2021.

Namun setelah sesi pembentangan Belanjawan, ia telah diluluskan secara suara majoriti oleh Dewan Rakyat. Begitu juga semasa sesi perbahasan Belanjawan peringkat jawatankuasa (kementerian) Perikatan Nasional menang setiap perbahasan samada melalui undian belah bahagi atau secara suara majoriti.

Kejayaan Belanjawan 2021 diluluskan pada peringkat dasar dan jawatankuasa, memberi impak yang positif kepada Perikatan Nasional. Ia secara langsung mewujudkan perspektif baik di mata rakyat. Hanya penyokong-penyokong PH yang terus menerus memainkan sentimen negatif.

Manakala Pakatan Harapan berhadapan dengan krisis keyakinan di kalangan penyokong sendiri. Kegagalan menafikan Belanjawan adalah kegagalan besar buat PH walaupun Perikatan Nasional mempunyai majoriti mudah. Adakah pimpinan utama PH akan terus bergantung dengan retorik Anwar untuk memandu arah tuju politik seterusnya?

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: