Pengurusan sisa pepejal negara perlu perubahan drastik

BACHOK, 31 Dis — Isu pengurusan sisa pepejal di Malaysia memerlukan perubahan drastik kerana ia dlihat masih belum menemui jalan penyelesaian meskipun pelbagai usaha telah diambil oleh kerajaan untuk menanganinya.

Pensyarah Fakulti Biokejuruteraan dan Teknologi (FBKT), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Prof Madya Dr Wan Mohd Faizal Wan Ishak berkata ia boleh dilihat menerusi laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2019 Siri 1 yang mendedahkan isu ketidakpatuhan terhadap Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi pengoperasian tapak pelupusan dan Loji Rawatan Leachate (LTP).

Beliau berkata pelupusan sisa pepejal di tapak pelupusan dan loji insinerator di bawah seliaan Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) didapati kurang cekap dan kurang berkesan menyebabkan risiko pencemaran kepada alam sekitar.

“Faktor utama berlakunya masalah.. adalah berikutan daripada empat loji insinerator yang telah diluluskan pembinaannya, tiga dilaporkan mengalami masalah kelambatan pemasangan, yang menyebabkan sisa pepejal yang sepatutnya diproses oleh mereka terpaksa dihantar ke tempat lain,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Katanya peralatan yang digunakan juga adalah teknologi yang diimport dari luar negara, menyebabkan berlaku kelewatan penghantaran dan kos yang berubah, yang menjadi alasan biasa pihak kontraktor.

Wan Mohd Faizal berkata proses pereputan yang lambat akan menghasilkan bau busuk melampau dan sekali gus ia menyebabkan kawasan sekitar akan dijauhi oleh penduduk yang secara tidak langsung boleh menyebabkan nilai tanah atau perumahan di situ akan jatuh secara mendadak.

“Teknologi insenerator memerlukan perbelanjaaan awal yang begitu tinggi, malah komposisi air yang tinggi dalam sisa pepejal ini, seperti di Malaysia, menyebabkan tenaga yang tinggi diperlukan untuk mengoperasikannya,” katanya.

Beliau seterusnya mencadangkan pelbagai kaedah yang boleh digunakan untuk pengurusan sisa pepejal selain ia dapat memberikan pulangan yang lumayan sekiranya diproses dengan baik.

Bagaimanapun menurutnya teknologi seperti itu masih belum boleh dibangunkan secara menyeluruh di Malaysia menyebabkan pergantungan kepada negara luar, dan kos untuk mengoperasikan sistem ini juga tinggi.

“Oleh itu, pihak FBKT mencadangkan supaya kaedah pengurusan sisa pepejal negara perlu melakukan perubahan secara total menerusi kelebihan bioteknologi bagi memproses sisa pepejal yang boleh dilakukan sama ada berskala besar atau kecil, dan tidak memerlukan perbelanjaan yang begitu besar.

“Malah, kaedah ini boleh dibangunkan oleh FBKT UMK dengan menggunakan kepakaran tempatan yang sesuai dijadikan projek komuniti dengan kos yang rendah,” katanya.

— BERNAMA

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: