Genap setahun negara dibadai COVID-19, warga KKM tetap komited perangi pandemik

KUALA LUMPUR, 25 Jan — Genap setahun negara dilanda badai COVID-19, warga Kementerian Kesihatan (KKM) tetap komited dan bekerja tanpa putus asa dalam memerangi pandemik yang boleh membawa maut itu.

Dalam satu hantaran di laman Facebooknya, KKM menyatakan kerja tetap diteruskan seperti biasa oleh semua pengurusan tertingginya dan juga barisan hadapan KKM yang berjuang di hospital, Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC), CAC (Pusat Penilaian COVID-19) dan klinik seluruh negara.

Hantaran itu turut menyatakan Mesyuarat Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC Kebangsaan hari ini secara maya diadakan hari ini melibatkan semua Pengarah Kesihatan Negeri di seluruh negara.

“Fokusnya adalah melihat kepada strategi dalam menangani COVID-19 dan memperkukuhkan 213 COVID-19 Assessment Center, CAC di seluruh negara,” menurut hantaran itu.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba dan timbalannya Datuk Dr Noor Azmi Ghazali serta Penasihat Khas kepada Perdana Menteri Malaysia mengenai Kesihatan Awam Tan Sri Dr Jemilah Mahmood adalah antara yang menghadiri mesyuarat itu.

KKM mengimbau kembali kes pertama wabak itu yang dilaporkan di Malaysia membabitkan tiga warga China yang masuk ke Malaysia melalui Johor dari Singapura.

“Mereka yang terlibat dalam tiga kes pertama positif di Malaysia itu adalah ahli keluarga rapat kepada seorang lelaki berusia 66 tahun dan anak lelakinya yang berasal dari Wuhan, China, yang direkodkan sebagai dua kes pertama positif virus itu di Singapura. Mereka kemudiannya dirawat di Hospital Sungai Buloh.

“Hari ini, kes di Malaysia sudah mencapai 183,801 kes keseluruhan, sejumlah 678 orang telah meninggal dunia dan seramai 141,446 (77 peratus) orang telah sembuh daripada virus ini.

Pasukan COVID-19 Hospital Sungai Buloh juga mendapat pengiktirafan apabila menerima Anugerah Kesihatan Global (GHA) 2020, selain beberapa anugerah lain yang diterima KKM dalam menguruskan COVID-19, katanya.

“Doakan agar semua barisan hadapan KKM diberikan kekuatan dalam menghadapi musuh yang tidak nampak ini. Salam takziah buat mereka yang kehilangan anggota keluarga akibat virus COVID-19 ini. Semoga Tuhan terus melindungi negara tercinta kita ini,” menurut hantaran itu.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam catatan Facebooknya menyatakan kesedihannya kerana sudah setahun Malaysia berdepan pandemik berkenaan.

“Ini menyedihkan saya hari ini, kita telah bertahan selama satu tahun bertempur melawan COVID-19 di negara kita. Pengakhirannya yang tidak diketahui. Namun, walaupun kepenatan mental dan fizikal, kita semua perlu terus bertugas. Semua orang, tidak kira siapa anda, mesti memikul tanggungjawab ini untuk menyelamatkan negara kita bersama.

“Tinggal di rumah jika anda tidak mempunyai masalah mendesak di luar. Bersama-sama kita memutuskan rantaian penularan COVID-19. Kita mesti bersatu dan bersama-sama kita terus berjuang,” katanya.

Dr Noor Hisham juga menasihati orang ramai agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP), memakai pelitup muka dengan betul, mencuci tangan dan menjaga penjarakan fizikal kerana setiap individu harus memikul tanggungjawab untuk menyelamatkan negara.

— BERNAMA

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: