Zuraida Kamaruddin pilihan tepat terajui Pengarah Pilihanraya PN Selangor
12 Februari, SHAH ALAM: Perikatan Nasional Selangor telah pun mengumumkan barisan kepimpinan Badan Perhubungan Negeri bagi memperkasakan organisasi gabungan ini di Selangor.
Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin telah dilantik sebagai Pengarah Pilihanraya Perikatan Nasional Selangor, adalah sebagai pilihan tepat berdasarkan pengalaman politik beliau mengurus dan mengendalikan gerakan, strategi dan taktikal pilihan raya yang berkesan.
Keupayaan beliau menyusun gerakan akar umbi semasa bersama PKR di peringkat nasional, kawasan parlimen Ampang dan memperkasa sayap wanita antara faktor penting melayakkan beliau diangkat sebagai pengarah pilihanraya.
Keupayaan Datuk Hajah Zuraida sekali terbukti melalui penubuhan NGO Penggerak Komuniti Negara (PKN) di seluruh negara selepas beliau bersama Perikatan Nasional tahun lalu, yang mempunyai 200 ribu ahli berdaftar. Selain berperanan sebagai badan sosial, PKN telah diperkasakan dengan peranan untuk persediaan gerak kerja pilihanraya.

Perikatan Nasional Selangor dianggotai oleh Bersatu dan PAS dipengerusikan Dato’ Seri Azmin Ali. Turut dilantik dalam kepimpinan Badan Perhubungan Negeri adalah Pesuruhjaya Pas Selangor, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi dan Pengerusi Bersatu Selangor, Dato’ Abdul Rashid Asari sebagai Naib Pengerusi
Gandingan Azmin Ali dan Zuraida Kamaruddin ini dilihat sebagai gabungan terkuat memacu Perikatan Nasional Selangor bagi menghadapi pilihanraya umum akan datang. _PPI