Contohi semangat keusahawanan wanita Pantai Timur

SEMASA Covid-19 melanda negara bermula pada penghujung 2019 dan awal 2020, antara perkara yang paling saya risaukan adalah, adakah golongan wanita di Malaysia, khususnya wanita Muslim akan berupaya untuk menghadapi cabaran ini?

Cabaran yang ditempuhi oleh golongan wanita adalah berbeza dengan golongan lelaki, kerana dari aspek sosial dan ekonomi, wanita mempunyai tanggungjawab dan daya upaya yang berlainan, tetapi ini tidak bermakna golongan wanita tidak mampu untuk menempuh cabaran ini dengan kejayaan.

Menurut satu laporan yang dikeluarkan oleh Empower.org, sebuah organisasi kajian antarabanga yang berlandaskan pemberdayaan wanita, fokus utama yang perlu diberikan bagi membantu golongan wanita semasa dunia berhadapan dengan ancaman virus Covid-19 adalah dari sudut pemberdayaan ekonomi.

Hal ini amat penting untuk dibincangkan kerana, akibat daripada penularan wabak Covid-19, kesan kewangan dan ekonomi akan menyebabkan golongan wanita tercicir daripada pembangunan secara keseluruhannya.

Wanita Muslim, yang mempunyai jumlah dalam lingkungan 7 juta orang di negara ini mampu memberikan impak positif kepada pembangunan ekonomi negara terutamanya dalam bidang keusahawanan dan perniagaan.

Apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan kali pertama pada 18 Mac 2020, kita melihat banyak operasi perniagaan yang terkesan, sekali gus menyebabkan ekonomi negara merudum. Perkara ini amat membimbangkan kerana di dalam industri peruncitan dan perkhidmatan makan minum (Food & Beverages) wanita merupakan tonggak utama perusahaan-perusahaan ini. Jika operasi perniagaan terganggu, maka pendapatan golongan wanita yang terlibat sebagai pemilik perniagaan dan pekerja sudah semestinya akan merosot.

Namun begitu, bermula pada Julai 2020, peningkatan aktiviti perniagaan secara online dapat dilihat dan diterajui oleh golongan wanita. Seolah-olah terdapat satu kesedaran sosial dari kalangan wanita di Malaysia, yang menyebabkan mereka telah menggerakkan revolusi untuk menceburkan diri dalam aktiviti perniagaan secara online secara beramai-ramai, walaupun hal ini tidak dirancang.

Inisiatif perniagaan dari rumah ini memudahkan para peniaga baharu untuk menjana pendapatan, namun masih lagi mampu melaksanakan tanggungjawab mereka di dalam keluarga. Produk-produk Homemade yang dipasarkan secara dalam talian ini, mendapat permintaan yang tinggi, terutamanya bagi produk makanan dan pakaian. Mereka juga menggunakan rangkaian media sosial untuk memasarkan produk dengan cepat, mudah dan efektif.

Bagi wanita yang sudah berkeluarga, manfaat lain yang dapat dirasai oleh golongan usahawan wanita yang beroperasi dari rumah ini adalah, mereka berupaya untuk mendapat lebih masa bersama anak-anak, mengasuh dan mendidik mereka, di samping menjana pendapatan yang lumayan. Ini merupakan impian yang dikongsi oleh ramai ibu di negara ini.

Jika sebelum ini anak-anak dihantar ke rumah pengasuh, taska, tadika atau sekolah sepanjang hari dan hanya bertemu ibu mereka selepas pukul 5 atau 6 petang sahaja, kini, ibu mereka sentiasa bersama mereka. Ini merupakan satu perkara yang amat positif, kerana asuhan dan didikan daripada ibu sendiri adalah asuhan terbaik bagi perkembangan setiap anak-anak.

Anjakan ini merupakan satu perkara yang perlu dipuji dan dorongan berterusan harus diberikan. Dalam mendepani cabaran Norma Baharu (New Normal) golongan wanita di Malaysia ternyata tidak gentar dengan cabaran dan terus menjana pendapatan, yang mungkin lebih lumayan daripada kerjaya mereka sebelum terjadinya penularan Wabak Covid-19.

Baru-baru ini saya telah membaca sebuah kertas kajian yang bertajuk Keusahawanan Wanita Di Kelantan Berteraskan Model Ekonomi Baharu: Hala Tuju dan Cabaran, yang telah membincangkan peranan wanita di Kelantan dalam pembangunan ekonomi, terutamanya dalam bidang peruncitan.

Kertas kajian yang disediakan oleh Anis Solehin Hussain @ Othman dan Sharifah Rohayah Sheikh Dawood dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ini melihat bagaimana bantuan dari kerajaan digunakan secara menyeluruh oleh para usahawan wanita di Kelantan bagi membangunkan perniagaan mereka.

Daya usaha yang mereka tampilkan membolehkan perniagaan mereka berkembang pesat dan berupaya untuk meningkatkan bukan sahaja kepada ekonomi keluarga, tetapi juga mampu menjana pembangunan masyarakat dengan peluang-peluang perniagaan yang wujud daripada aktiviti keusahawanan mereka.

Sungguhpun begitu, ramai di antara mereka yang memilih untuk tidak berhutang sama ada daripada agensi kerajaan ataupun pihak institusi kewangan kerana tidak ingin terikat dengan dengan apa-apa syarat.

Di sini dapat kita lihat falsafah perniagaan yang amat baik telah diterapkan di dalam operasi perniagaan yang diusahakan oleh golongan wanita di Pantai Timur. Strategi perniagaan yang mereka laksanakan bukanlah untuk menjadi kaya atau mengaut untung lumayan dalam masa yang singkat, tetapi lebih kepada kelestarian (sustainability) operasi perniagaan mereka.

Perkara ini seharusnya menjadi pedoman dan panduan kepada para usahawan wanita di seluruh negara yang baru menceburkan diri di dalam arena keusahawanan. Langkah pertama untuk menubuhkan operasi perniagaan sendiri telah berjaya mereka laksanakan, kini mereka perlu memastikan keupayaan untuk perniagaan yang telah mereka bina ini bertahan dan berkembang maju.

Di dalam Kluster Ke-6 Dasar Komuniti Negara (DKN) yang telah dilancarkan dan diterapkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, penekanan mengenai sektor keusahawanan dalam komuniti ini adalah antara fokus utama dalam usaha untuk meningkatkan keupayaan ekonomi keluarga, masyarakat dan negara.

Kita melihat kurangnya penglibatan umat Islam di Malaysia, lebih-lebih lagi bagi golongan wanita Muslim dalam sektor perniagaan dan keusahawanan merupakan satu perkara yang boleh diatasi, terutamanya apabila peluang dan ruang diberikan kepada mereka untuk menceburkan diri dalam bidang tersebut.

Mungkin disebabkan situasi yang kita sedang hadapi pada ketika ini, akan menjadi pencetus kepada budaya keusahawanan wanita yang bakal merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi negara pasca pandemik Covid-19.

Sepertimana yang sudah bertahun lamanya berlaku di negeri-negeri Pantai Timur, mungkin penglibatan wanita di dalam bidang ekonomi sehingga mampu menguasai sektor ini akan menular ke serata pelusuk negara. Yang mana, wanita-wanita di negeri-negeri lain akan mempelopori bidang keusahawanan sekali gus dapat membantu diri sendiri, keluarga dan masyarakat untuk keluar dari masalah kewangan dan mendapat kehidupan yang lebih baik.

Semangat keusahawanan wanita Muslim dari Pantai Timur perlu kita jadikan contoh, kerana ternyata dengan daya usaha tersendiri, wanita di Malaysia mampu untuk mengubah hala tuju dan jalan kehidupan mereka ke arah yang lebih positif.

YB DATUK HAJAH ZURAIDA KAMARUDDIN
Menteri Perumahan & Kerajaan Tempatan – HARAKAHDAILY 15/2/2021

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: