Setahun penubuhan Perikatan Nasional, diasak mendepani cabaran semasa.

Genap setahun apabila Pakatan Harapan tumbang pada 23 Februari 2020 sebagai parti pemerintah kerajaan Persekutuan. Suatu peristiwa politik penting dalam sejarah Malaysia, buat kali pertama pemerintahan bertukar tangan melalui gerakan politik radikal.

Politik Malaysia telah mencatat sejarah luarbiasa apabila Barisan Nasional yang berkuasa sejak tahun 1972 (sebelum itu Perikatan sejak 1957) ditewaskan pada 9 Mei 2018 melalui Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

Perspektif pemimpin dan penyokong Pakatan Harapan (PH) akan kekal beranggapan bahawa Langkah Sheraton pada 23 Februari tahun lepas adalah ‘pengkhianatan mandat rakyat’. Beberapa ahli parlimen PH yang sedang selesa menikmati kuasa tiba-tiba hilang kuasa dan kedudukan dalam kerajaan akibat perletakan jawatan Dr Mahathir Mohamad sebagai PM.

Lebih memedihkan PH, Bersatu dan 10 ahli parlimen PKR pro-Azmin bertindak keluar daripada gabungan tersebut.

Sebelum pengumuman rasmi kedua-dua pihak ini, PKR telah memecat keanggotaan Azmin Ali dan Zuraida Kamaruddin. Tindakan PKR ini dibaca sebagai ’10 langkah kedepan’ dengan tujuan ‘membunuh’ pelan Langkah Sheraton yang mereka percayai didalangi oleh kedua-dua ahli parlimen ini. Tetapi pelik tidak seorang pun anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR menyedari pelan Bersatu yang juga mengumumkan keputusan keluar daripada PH. Sebahagian besar MPP PKR mengandaikan dengan memecat Azmin dan Zuraida, PH masih bertahan sebagai pemerintah.

Cerita lain di sebalik terjadinya Langkah Sheraton, ada khabar daripada orang lama PKR bahawa Presiden parti itu memberi semacam amaran kononnya meminta menyampaikan pesanan ‘apa akan jadi kepada nasib Azmin dan Zuraida, apabila presiden menjadi PM nanti?’.

Mungkin pesanan belakang tabir itu telah sampai ke pengetahuan Azmin dan Zuraida. Hal seperti ini mungkin sinis, sindir atau mainan kata tetapi buat pemain politik ‘meja utama’ ia isyarat serius.

Kegelojohan segelintir kelompok pengampu Anwar yang gigih menekan (ditakrifkan Anwar sebagai budak-budak nakal kepada Dr Mahathir) untuk memaksa menyegerakan serahan kuasa kepada Anwar Ibrahim begitu ketara sejak PRK Tanjung Piai lagi. Dr Mahathir begitu licik menyusun gerakan yang kadangkala tak terfikir oleh orang-orang biasa.

Pertembungan klasik Mahathir-Anwar yang berlaku sejak 1996-1998 kembali bersambung pada penghujung 2018-2020. Anda boleh lihat corak dan plot-plot kejadian yang hampir serupa diulang terjadi. Keputusan pertembungan politik ini tetap dimenangi oleh Dr Mahathir.

Persoalan menarik kembali dibangkitkan; jika Projek 16 September 2008 dulu berjaya, adakah gerakan itu suatu langkah ‘halal’ politik atau mengkhianati mandat rakyat? Ini yang wajar direnung dan muhasabah oleh penyokong-penyokong PH.

Kecaman serupa akan dilontar oleh pimpinan dan penyokong-penyokong BN bahawa projek tukar kerajaan itu adalah langkah tebuk atap atau pintu belakang.

Kedua-dua pihak politik tidak bermasalah untuk melaksanakan gerakan tersebut kerana ia tidak melanggar demokrasi kerana aturan demokrasi membenarkan ia berlaku.

Perikatan Nasional harus bergerak ke depan bagi menanggani cabaran-cabaran baru politik semasa. Jika PH masih kekal menggunakan naratif  ‘kerajaan pengkhianat’ ia sebenarnya memberi kelebihan psikologi kepada Perikatan Nasional. Pelaksanaan dasar dan inisiatif-insiatif kepada ekonomi, sosial dan kehidupan rakyat perlu berterusan dengan diurus secara cekap. Kecekapan urustadbir ini yang bakal memberi tekanan psikologi kepada PH untuk menyaingi politik semasa.

Wabak Covid-19 yang dianggap malapetaka kehidupan manusia sejagat, banyak memberi kelebihan politik kepada Perikatan Nasional. Peperangan melawan wabak ini akan membuka peluang terbaik kepada semua pihak politik jika dimanfaat sebaik mungkin.

Politik cara lama kurun ke-20 mungkin memerlukan anjakan baharu. Rakyat sudah muak melihat politik ‘kecaman’ gaya klasik untuk mencari populariti dan perhatian. Asalkan tiap usaha kerajaan, ‘wajib’ dikecam bidas oleh pembangkang. Rentak politik begitu lama kelamaan akan mirip seperti budak-budak sekolah bergaduh dengan ejek mengejek.

Jika pendaftaran pemilih automatik umur minima 18 tahun dilaksanakan, ia akan membentuk suatu lagi perspektif politik baharu. Mungkin situasi politik Malaysia akan mirip politik Indonesia yang had umur minima pemilih adalah 17 tahun. Bilangan jumlah pemilih akan meningkat dan segmen pemilih turut berubah.

Segmen pemilih umur 18-20 tahun ini akan membentuk cabaran baharu buat politik Malaysia.

Pertembungan politik orang tua seperti Dr Mahathir, Anwar, Lim Kit Siang atau Kuli harus ditamatkan. Ruang sedia ada harus diserahkan kepada generasi dewasa matang era kini.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: