Perak seri dengan JDT di Ipoh

JOHOR Darul Ta’zim (JDT) terpaksa berpuas hati dengan satu mata pada perlawanan kelima Liga Super 2021 selepas mencatat keputusan 2-2 di Stadium Perak di sini pada Ahad.

Sementara itu, Perak FC pula terus longlai di laman sendiri apabila masih belum mencipta kemenangan di Stadium Perak dalam tiga perlawanan awal musim ini.

Perlawanan pada babak pertama menyaksikan kedua-dua pasukan mencari rentak mengatur serangan ke kubu lawan masing-masing.

Pasukan pelawat mencipta peluang pada minit ke-16 untuk menjaringkan gol menerusi Natxo Insa hampir menjaringkan gol namun dinafikan penjaga gol Perak FC, Muhammad Hafizul Hakim yang pantas mengeluarkan bola.

Selang lima minit kemudian, pemain JDT, Natxo Insa dilayangkan kad kuning pertama perlawanan oleh pengadil perlawanan, Noor Azriel Baharudin kerana mengasari pemain Perak FC, Careca.

Tidak lama selepas itu, Kapten JDT, Mohamad Aidil Zafuan Abd Razak pula dilayangkan kad kuning selepas menjatuhkan Mohamad Izzuddin Mohd Roslan.

JDT kemudiannya mengatur gerak untuk cuba mencipta peluang dengan mengasak kubu pertahanan Perak FC namun jentera yang diketuai Shahrul Mohd Saad berjaya menyerap tekanan.

Pemain Perak FC, Careca pula menerima layangan kad kuning selepas melakukan terjahan lewat ke atas Mohamad Aidil Zafuan pada minit ke-29.

Pasukan pelawat kemudiannya berpeluang mendahului permainan menerusi sepakan percuma cantik Leandro Velazquez namun berjaya diselamatkan Muhammad Hafizul Hakim yang menampan bola keluar.

Ketika JDT berusaha menembusi benteng pertahanan Perak FC, pasukan tuan rumah mencuri peluang dengan mengatur gerak ke arah kubu lawan.

Hasilnya, pada minit ke-34, Perak FC berjaya menjaringkan gol menerusi Guilherme de Paula hasil hantaran lintang Mohamad Izzuddin menjadikan kedudukan 1-0.

Jaringan tersebut sekaligus menutup mulut pengkritik de Paula selepas pemain naturalisasi negara itu berjaya menamatkan kemarau gol dalam empat perlawanan sebelum ini.

Ketika tempoh babak pertama hampir berakhir, pemain Perak FC, Kenny Pallraj dilayangkan kad kuning kerana mengasari pemain lawan sekaligus menghadiahkan sepakan percuma kepada JDT.

Penjaga gawang Perak FC, Muhammad Hafizul Hakim sekali lagi menjadi wira apabila berjaya menumbuk keluar sepakan percuma Leandro Velazquez sekaligus menafikan peluang JDT menyamakan kedudukan.

Kedudukan 1-0 yang memihak kepada tuan rumah kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

bersambung babak kedua, JDT membuat pertukaran pemain pertama dengan membawa masuk Mohammadou Sumareh menggantikan Muhammad Ramadhan Saifullah.

Percaturan pengendali JDT, Benjamin Mora itu tampak berjaya menjadikan permainan semakin rancak dengan JDT menguasai perlawanan dengan beberapa percubaan.

Bagaimanapun, ketangkasan penjaga gol Perak FC, Muhammad Hafizul Hakim menyelamatkan gawang Perak FC dari dirobek pemain JDT.

Disebalik keghairahan mencari gol itu, JDT sekali lagi dihukum oleh penyerang pasukan tuan rumah, de Paula yang menambah koleksi jaringan peribadinya bagi membolehkan Perak FC mendahului 2-0.

Ketika permainan memasuki minit ke-70, pemain JDT yang baharu masuk, Mohammadou Sumareh dikeluarkan dan diganti dengan Muhammad Akhyar Abdul Rashid.

Hasilnya pada minit ke-75, Muhammad Akhyar berjaya membolosi gawang menerusi rembatan kencang menewaskan Muhammad Hafizul Hakim sekaligus merapatkan jurang 2-1.

Melihat kepada peluang itu, JDT membuat beberapa pertukaran pemain bagi mengatur strategi baharu untuk menambah jaringan.

DIsebabkan itu, pemain Perak FC terpaksa bekerja keras mempertahankan kubu mereka daripada terus dibolosi Harimau Selatan.

Pasukan JDT kemudian memperoleh sepakan penalti apabila Muhammad Rafiuddin Roddin menjatuhkan pemain JDT di dalam kotak penalti.

Peluang itu dimanfaatkan Leandro Velazquez menyamakan kedudukan pada waktu kecederaan yang gagal diselamatkan penjaga gawang Perak.

Tamat perlawanan Perak FC terpaksa berpuas hati dengan satu mata di Stadium Perak pada minit akhir perlawanan dengan JDT yang masih kekal menerajui liga. _SH ONLINE

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: