Tiga maut insiden kren tumbang di lebuh raya SUKE
PETALING JAYA, 22 Mac — Tiga individu maut dalam insiden kren tumbang di Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (Suke) dekat Puncak Banyan, Kuala Lumpur.
Setakat ini, seorang individu yang merupakan orang awam turut dipercayai mengalami kecederaan susulan kemalangan tersebut.
Seramai 25 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cheras, BBP Tun Razak dan BBP Hang Tuah dikejarkan ke lokasi kemalangan sebaik menerima panggilan kecemasan jam 8.45 pagi.
“Mangsa terlibat merupakan pemandu kereta Bezza tersebut susulan kenderaannya dihempap besi kren berkenaan dan mengalami kecederaan parah.
“Manakala tiga orang mangsa lagi merupakan pekerja projek pembinaan tersebut.
“Dipercayai dua mangsa telah jatuh setinggi 120 kaki dan telah disahkan meninggal dunia,” memetik kenyataan dikeluarkan bomba.
Susulan kemalangan tersebut, laluan lebuh raya berhampiran lokasi kejadian ditutup buat sementara waktu bagi melakukan kerja menyelamat.