Kluster Mahkamah Umno mencipta ketidakstabilan politik semasa Malaysia

Heboh, kecoh dan bergegar PWTC dengan suara-suara perwakilan dan beberapa pemuka Umno menggasak Bersatu dan Perikatan Nasional sepanjang dua hari persidangan Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2020. Itulah topik besar PAU kali ini.

Ahmad Maslan, setiausaha agung Umno yang lantang mengatakan Perikatan Nasional adalah kerajaan paling tidak stabil di dunia.

Namun apakah dia sedar dengan naratif yang dilebongkan kepada media? Ahmad Maslan dan beberapa pemuka Umno Kluster Mahkamah yang menyebabkan berlaku ketidakstabilan politik Malaysia. Sebagaimana diketahui umum, Nazri Aziz, Ahmad Jazlan dan Tengku Razaleigh paling awal mengumumkan tidak menyokong Muhyiddin Yassin dan Perikatan Nasional.

Sesuatu yang segelintir kelompok pemuka Umno terlupa, bahawa rakyat menolak Umno pada PRU-14 lalu adalah kerana isu rasuah. Rakyat mahukan pimpinan yang bersih untuk mentadbir negara. Najib Razak sendiri dianggap liabiliti kepada Umno oleh pimpinan parti itu sendiri.

Kesempatan situasi itu telah digunakan oleh Anwar Ibrahim untuk masuk jarum bagi agenda menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional dan menggerakkan usaha meletakkan diri dia sebagai PM Malaysia. Ini lagi satu bukan rahsia tersembunyi. Rakyat terbanyak sudah tahu kehendak politik Anwar.

Tengku Razaleigh pun bukan seorang yang setia dalam perjuangan jika dia mahu mengeji Bersatu dan Azmin sebagai kumpulan pengkhianat. Dia sendiri pernah berpisah dengan Umno dan menubuhkan Semangat 46. Tetapi gelombang politik dia ketika itu sekadar menjadi fenomena sepenggal. Masuk PRU kedua buat Semangat 46, parti itu merundum dan terus tutup kedai. Serta merta Tengku Razaleigh kembali ke pangkuan Umno. Dia harus sedar hakikat bahawa era kini bukan lagi zaman untuk dia kembali ‘merajai’ padang politik. Dia bukan licik seperti Dr Mahathir.

Sewaktu peristiwa Umno diharamkan pada tahun 1988, Tengku Razaleigh (Kuli) dan Dr Mahathir telah membuka padang politik baharu yang menutup padang politik lama era 1972. Namun dari segi taktikal atas padang baharu, Dr Mahathir berjaya mengatasi anjakan politik Kuli walaupun Pas berjaya menawan Kelantan. Politik padang baharu Dr Mahathir merajai arena selama 30 tahun (1988-2018).

Padang politik ciptaan Dr Mahathir ini gagah bertahan untuk 20 tahun sebelum merundum 10 tahun selepas itu. Dr Mahathir sendiri kembali dua tahun sebelum PRU14 untuk ‘meruntuhkan’ padang politik yang diciptanya dan sememang berhasil menumbangkan Barisan Nasional pada 9 Mei 2018. Anwar sendiri gagal meruntuhkannya walaupun dua kali percubaan (2008 & 2013).

Politik padang baharu tahun 2018 itu melalui jalan singkat, hanya bertahan 22 bulan. Ia umpama ‘jalan pembuka’ kepada padang politik yang lebih dinamik dan berdaya saing. Langkah Sheraton cukup dikenang sebagai ‘pembunuh politik’ buat Pakatan Harapan sebagai pemerintah kerajaan Persekutuan.

Barisan Nasional menjadi sebahagian daripada blok politik yang mendokong Perikatan Nasional selain Gabungan Parti Sarawak (GPS), Pas, Star, PBS dan PBRS.

Umno harus ingat bahawa mereka tewas semasa PRU-14 dan hanya memenangi 54 kerusi parlimen berbanding PRU-13 tahun 2013 dulu dengan 88 kerusi parlimen. Kejatuhan itu merundum luarbiasa bukan setakat hilang 10 tetapi 34 kerusi parlimen. Kali pertama dalam sejarah pilihanraya Umno sejak 1959, parti ini gagal meraih kemenangan sepertiga kerusi parlimen (74 daripada 222). Secara langsung Ummo bukan lagi ‘big-brother’ politik Malaysia. Tarafnya sudah setara PKR dan DAP. Sebelum berlaku lompatan besar-besaran, Umno mempunyai 54 MP, PKR (50) dan DAP (46).

Keadaan itu berubah drastik menjadi 39 MP selepas sebahagian besar MP Umno menyertai Bersatu dan Warisan. Apakah situasi ini boleh menjadikan Umno sebagai ‘induk’ seperti diungkapkan oleh Timbalan Presiden Umno, Tok Mat Hasan? Jawapan hakikatnya adalah tidak, Umno harus ikut arus semasa dan kekal mendokong Perikatan Nasional.

Namun jiwa ‘big-brother’ yang terpasak di sanubari tiap pemuka Umno melupakan hakikat politik semasa mereka. Padang politik baharu yang dicipta rintis oleh Azmin dan Muhyiddin sangat dinamik lagi kental. Pemuka Umno Kluster Mahkamah mendakwa Muhyiddin Yassin sudah hilang sokongan tetapi Muhyiddin dan Azmin kekal tenang kerana mereka berdua memegang kunci permainan padang politik baharu ini.

Bukan Zahid atau Najib atau Anwar yang memegang tempo permainan di padang politik baharu ini. Ketiga-tiga mereka ini yang sedang mengikut tempo dan rentak politik yang dilepas ke gelanggang oleh Muhyiddin dan Azmin.

Kejayaan Perikatan Nasional menjadikan kerajaan negeri Sarawak sebagai ‘rakan dagangan’ Petronas bagi tujuan hasil minyak di laut Sarawak sudah menggembirakan rakan sekutu Perikatan Nasional itu. Sejak tahun 1963, tuntutan Sarawak ke atas hak hasil bumi minyak ini akhirnya mendapat perhatian Perikatan Nasional. Sabah juga dikatakan sedang berusaha ke arah yang sama. Secara strategik, setiakawan antara Persekutuan dengan Sarawak dan Sabah kembali ditautkan.

Langkah yang dimulakan oleh Kuli, Nazri Aziz dan Ahmad Jazlan gagal menjangkiti MP-MP Umno yang lain.

PAU 2020 telah melontarkan hal agar semua MP yang berada dalam jawatan kerajaan dan GLC untuk meletakkan jawatan segera. Soalnya, sejauhmana keberanian Umno untuk meruntuhkan Perikatan Nasional sebagaimana mereka lakukan di Perak?

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: