Tiga ‘kuasa’ menyatupadukan manusia: makanan,muzik dan sukan

oleh Teropong Undi
Dunia sejagat bukan disatupadukan oleh kuasa politik sebenarnya. Politik adalah ‘alat bersifat taksub’ yang memaksa setiap kumpulan manusia akur kepada sesuatu kuasa atau fahaman. Namun ia lebih ‘memisahkan’ manusia kepada pecahan masyarakat atau bangsa mengikut acuan falsafah dan fahaman politik yang diistilah pelbagai kata samada demokrasi, liberal, konservatif, ultra-nasionalis, komunisme dan sosialis.

Sedar atau tidak sedar, setiap manusia mempunyai naluri sama iaitu perlu makan. Tak kira jenis kaum, kumpulan politik atau komuniti, makanan menjadi pilihan istimewa yang lentur dikongsi bersama.

Era kini jenama-jenama besar dan popular antarabangsa seperti Macdonald, KFC, Starbucks, A&W, Kenny Rogers dan Coffee Beans dinikmati oleh semua manusia dalam dunia. Belum wujud lagi peperangan atau pertelingkahan sempadan akibat perebutan makanan atau pemilikan hak ke atas sesuatu makanan secara serius.

Negara komunis seperti China dan Vietnam pun sudah membuka pasaran ekonomi kepada jenama-jenama makanan antarabangsa ini. Kuasa makanan menyatupadukan manusia di Republik Rakyat China dan Vietnam.

Orang kita di Malaysia disatupadukan oleh kuasa makanan yang diwarisi sejak lebih daripada 100 tahun. Nasi Lemak, Roti Canai, Mee Kari, Nasi Goreng, Mee Goreng, Nasi Kandar, Cendol, Teh Tarik, Milo Ais, Kopi O adalah ‘kuasa penyatuan’ antara masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum.

Istimewa kuasa makanan seperti Nasi Lemak memberi suatu identiti ‘Bangsa Malaysia’ dalam erti sebenar. Hanya orang Cina Malaysia sahaja yang mengerti nikmat rasa dan keterujaan nasi lemak. Cuba tanya orang Cina di Republik China, Taiwan atau Chinatown di serata dunia, kita akan mengenali ‘trademark’ Bangsa Malaysia apabila mereka memperkatakan nikmat rasa nasi lemak. Begitu juga situasi yang sama kepada rakan-rakan kita daripada orang India dan Serani. Semua kaum di negara ini lentur rasa berkongsi kuasa makanan.

Satu lagi kuasa menyatupadukan manusia adalah muzik. Seniman P.Ramlee, Sudirman, Alleycats, Search, Francisca Peter antara penyanyi dan artis yang disukai ramai rakyat Malaysia.

Muzik berupaya mendorong perbezaan jalur-jalur pemikiran, ras bangsa dan politik berkongsi alunan irama serta menikmati melodi sesebuah lagu. Sebagaimana makanan, muzik juga adalah ‘benda ciptaan tuhan’ yang melalui evolusi hebat sejak zaman berzaman.

Kuasa muzik menghadirkan ketenangan, melenturkan tegang emosi, memuncak semangat dan membangkitkan mood dalam diri manusia. Walaupun muzik berkembang pesat dengan pelbagai genre, ia dikongsi bersama oleh serata manusia. Samada muzik ‘neo-classical’, folk, samba, keroncong, joget, blues, jazz, rock, metal, punk dan hip-hop, semua lapisan masyarakat seluruh dunia mendengar dan menikmatinya.

Jenama muzik K-Pop walaupun kita tak faham sebutir patah kata bahasa Korea, lantunan dan getaran muzik K-Pop itu menjadi ‘wabak’ penyatuan manusia sejagat.

Lagu ‘Isabela’ yang dipersembahkan oleh band Search pernah menjadi elemen penyatuan masyarakat di Malaysia, Singapura, Brunai dan Indonesia. Bahkan di Malaysia, orang Cina meminati lagu ini.

Kumpulan Raihan juga berjaya mencuit masyarakat negara ini yang bukan Islam mendengar lagu-lagu mereka.

Politik sendiri menggunakan muzik sebagai identiti organisasi, maka wujudlah lagu organisasi dan lagu bertema patriotik.

Sukan walaupun ada yang dikaitkan dengan kecenderungan sesuatu kaum, namun setiap sukan bukan milik mutlak mengikut ras bangsa.

Sepaktakraw walaupun berasal dari Tanah Melayu, yang dirintis oleh anak tempatan dari Pulau Pinang ia kini adalah permainan bertaraf antarabangsa yang diangkat sebagai sukan utama di dunia. Sepaktakraw sudah dimainkan oleh negara-negara di benua Eropah, Afrika dan Amerika.

Bola sepak paling gah dalam kuasa penyatuan manusia. ‘Perseteruan’ antara peminat Liverpool dan Manchester United adalah yang paling klasik serta menarik. Ia bukan sekadar berlaku di England tetapi juga di Malaysia.

Tak kira anda penyokong Pakatan Harapan atau Perikatan Nasional atau anda seorang Melayu, Cina atau India, sentimen pasukan bola sepak ini membunuh sempadan politik. Manusia yang berbeza latarbelakang boleh bersatu atas nama pasukan bola sepak. Kehebatan kuasa penyatuan bola sepak sangat luarbiasa sehingga berlaku rusuhan penonton di stadium bola sepak yang seringkali mengelirukan kumpulan politik.

Harimau Malaya 1980

Malaysia sejak era merdeka lagi, mempunyai kuasa penyatuan melalui sukan bola sepak. Ia sangat berjaya memadam perbezaan kaum dan politik. Masyarakat bersatu atas dasar patriotik kerana sukan bola sepak. Kita tidak mentakrif pemain-pemain Harimau Malaya dengan istilah ‘anak cina’, ‘budak india’ atau ‘mat melayu’. Kita bangga menyebut nama mereka sebagai pemain bola sepak kebangsaan.

Santokh Singh, Mokhtar Dahari, Soh Chin Aun, K.Gopal, Brendan Gan, Serbegeth Singh, Ghani Minhat, Matlan Marjan terpahat dalam ingatan setiap generasi warga Malaysia.

Sudah tiba masanya dalam dekad kedua abad ke-21 ini, pemerintah harus mengeksploit tiga kuasa ini secara betul bagi membentuk negara bangsa. Selain pengukuhan semangat Rukun Negara sebagai asas penerapan semangat kenegaraan, kuasa melalui makanan, muzik dan sukan sangat diperlukan oleh politik.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: