Polemik Sejarah Negeri Sembilan Mengenai Raja Melewar dan Raja Adil, bakal beri anjakan baru.

oleh Mohd Khairil Hisham

Jika ditelusuri sejarah Negeri Sembilan, kita akan temui dua orang putera raja dari Pagaruyung yang sering menjadi perbezaan pendapat dalam pelbagai penulisan sama ada tempatan mahu pun luar negara. Percanggahan fakta dalam penulisan-penulisan tersebut membuatkan kronologi sejarah kedua-dua putera raja tersebut menimbulkan banyak kekeliruan.

Secara tidak langsung, ia mewujudkan polemik dalam pensejarahan Negeri Sembilan. Keadaan ini bertambah rumit apabila tidak usaha merungkai semula setiap polemik.

Kedua-dua putera raja tersebut lebih dikenali dengan gelaran Raja Melewar dan Raja Adil.

Raja Melewar ditabalkan menjadi Yang DiPertuan Besar di Seri Menanti dengan gelaran Sultan Mahmud Syah ibni Sultan Abdul Jalil. Beberapa penulis seperti Newbold, Winstedt, Tan Sri Samad Idris berpendapat Raja Melewar ditabalkan pada tahun 1773.

Raja Melewar adalah anak kepada Raja Masabumi. Raja Masabumi juga dikenali dengan gelaran Tuanku Raja Bayang. Catitan Dagh Register menyatakan bahawa Raja Melewar berperang dan berjaya mengalahkan Raja Khatib sehingga Raja Khatib berundur ke Naning. Kemudian dicatitkan pihak Belanda di Melaka telah menghantar Raja Khatib ke Siak pada 31 Mac 1728 (Drakard dalam Kingdom of Words).

Peristiwa kekalahan Raja Khatib ini juga dicatitkan oleh beberapa sejarawan seperti Norhalim Ibrahim, Khoo Khay Kim dan Andaya. Ini jelas membuktikan bahawa Raja Melewar telah tiba lebih awal dari tahun 1728 dan dikerjankan di Rembau oleh Penghulu-Penghulu Luak.

Martin Lister dalam bukunya Negeri Sembilan – Their Origin and Constituition mencatitkan enam pembesar dari Luak-Luak di Negeri Sembilan telah ke Johor kemudian ke Pagaruyung untuk menjemput putera raja. Dalam perjalanan mereka bertemu Raja Khatib tetapi kemudian utusan Pagaruyung telah membawa mereka bertemu Raja Pagaruyung yang telah memilih Raja Melewar untuk diutus ke Rembau.

Walaupun tidak dinyatakan tahun peristiwa, catitan mengenai peristiwa jelas menunjukkan Raja Khatib dan Raja Melewar itu ditemui oleh pembesar-pembesar Luak dalam tahun yang sama.

Dicatitkan juga dalam Kingdom of Word Raja Khatib diutus oleh Raja Kecil terlebih dahulu dari Raja Melewar untuk mengekalkan pengaruh Raja Kecil di Luak-Luak bawah naungan Johor.

Dari keterangan di atas dapat dirumuskan bahawa fakta menunjukkan Raja Melewar ditabalkan sebagai Yang DiPertuan Besar di Rembau sekitar tahun 1728 lebih sesuai berbanding tahun 1773 berdasarkan tahun peristiwa penglibatan Raja Kecil di Siak. Raja Kecil mangkat pada tahun 1746.

Manakala Raja Adil pula telah dilantik sebagai Raja Rembau pada sekitar tahun 1740an oleh Sultan Johor dan berfungsi sebagai wakil Sultan Johor di Luak bawah naungannya. Ini adalah berikutan dengan tindakan orang-orang Rembau yang mengusir Raja Melewar yang ketika itu bersemayam di Astana Raja akibat dari perselisihan. Raja Adil bersemayam di Pedas sehingga tahun 1761 sebelum berpindah ke Jelebu.

Sejarah Raja Adil banyak dicatitkan dalam jurnal Belanda iaitu Corpus Diplomaticum Neerlando Indicum. Sebagai contoh perjanjian-perjanjian dan surat-surat yang ditandatangani pada tahun 1759, 1764, 1779 dan 1785.

Ini adalah kerana Raja Adil terlibat dalam peperangan dengan pihak Belanda di Melaka bersama-sama Daeng Kemboja, Raja Haji, Sultan Ibrahim dan Penghulu Rembau

Malah, Raja Adil turut terlibat ketika peperangan di Telok Ketapang. Pasukan Raja Adil berjaya mengalahkan tentera Belanda dan sampai di Semabok. Raja Adil terpaksa berundur apabila pasukan Raja Haji tewas dan Raja Haji terkorban.

Sumber gambar: FB Mohd Khairil Hisham
Sumber gambar: FB Mohd Khairil Hisham
Sumber gambar: Mohd Khairil Hisham

Peristiwa ini digambarkan oleh Van Bram sebagai peperangan yang sangat penting bagi menentukan kedudukan Belanda di Melaka. Van Bram menyatakan sekiranya pasukan bantuan Belanda dari Betawi lambat tiba, pasti Melaka akan jatuh ke tangan orang Melayu semula.

Tuhfat al Nafis serta Peringatan Sejarah Negeri Johor juga mencatitkan peristiwa persumpahan ‘cecah darah’ antara Raja Adil dengan Daeng Kemboja sebelum sama-sama berperang menentang Belanda pada tahun 1756. Raja Adil disebut sebagai Yang DiPertuan Pedas dalam catitan tersebut. Newbold mencatitkan Raja Adil telah dilantik sebagai Yang DiPertuan Besar setelah Raja Melewar mangkat tetapi tidak menyatakan tahun kemangkatannya.

Cerita tradisi Rembau yang dicatat oleh Norhalim Ibrahim menyatakan Raja Melewar telah mati di bunuh di Astana Raja oleh seorang Pendekar bernama Si Antan Besi. Dikatakan pembunuhan itu berlaku setelah Raja Melewar dan seorang panglimanya pulang ke Rembau dari Seri Menanti tanpa menyatakan tahun peristiwa.

Mengenai pertabalan Raja Melewar, Winstedt menulis bahawa Raja Melewar telah ditabalkan pada tahun 1773 tetapi cap mohornya bertarikh 5 tahun kemudian iaitu tahun 1778.

Penulisan Winstedt bercanggah dengan catitan Belanda seperti Corpus Diplomaticum menerangkan bahawa Raja Adil telah dilantik sebagai Yang DiPertuan Besar di Seri Menanti setelah kemangkatan Raja Melewar tetapi tidak diiktiraf oleh kebanyakan Penghulu-Penghulu Luak.

Pengiktirafan dari Penghulu-Penghulu Luak hanya diperolehi oleh Raja Adil selepas lebih 10 tahun berada di Seri Menanti. Pengiktirafan diperolehi setelah perjanjian yang dipanggil sebagai ‘Acceptance Agreement’ ditanda tangani dengan pihak Belanda pada 19 Februari 1785. Sesuai dengan perjanjian itu, baharulah Raja Adil diiktiraf dengan gelaran Sultan Ahmad Syah Ibni Raja Baijang.

‘Raja Baijang’ dalam sebutan Belanda difahamkan sebagai Raja Bayang yaitu seperti gelaran ayahanda Raja Melewar. PJ Begbie mencatitkan bahawa Raja Adil adalah putera kedua dari Pagaruyung. Manakala, A. Caldecott menyatakan Raja Adil adalah saudara tedekat atau adinda Raja Melewar.

Penulisan ini selari dengan cerita orang tua-tua di Rembau mengenai dua orang Raja Melewar. Mereka memanggil Raja Melewar I dan Raja Melewar II.

——-

Pengkajian sejarah harus berkembang mengikut masa dan zaman. Ini adalah kerana maklumat atau dokumen-dokumen lebih mudah berbanding dahulu. Sebagai contoh, Dr. Norhalim sentiasa menulis dalam penulisannya bahawa kajian beliau merupakan kajian asas atau awal. Kajian lanjutan perlu dilakukan oleh generasi akan datang.

Merujuk kepada surat yang dihantar kepada saya, sejarah boleh dijadikan sebagai pembangunan modal insan.

Persoalannya di manakah pembangunan modal insan yang dibanggakan di Negeri Sembilan?

MOHD KHAIRIL HISHAM

Mohd Khairil Hisham merupakan pengkaji sejarah, warisan dan kebudayaan Negeri Sembilan.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: