PENGGUNAAN DANA KWAN⠀

oleh Tengku Zafrul Aziz

Semasa taklimat saya mengenai kedudukan ekonomi dan kewangan negara, wartawan ada bertanya beberapa soalan mengenai Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN). Saya pasti soalan-soalan ini juga timbul di dalam fikiran rakyat. Ini pencerahan saya:⠀⠀
⠀⠀
MAKLUMAT ASAS MENGENAI KWAN⠀⠀

✅ Kumpulan Wang Amanah Negara atau KWAN telah ditubuhkan melalui Akta Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) 1988. ⠀⠀
✅ Sehingga 31 Disember 2020, aset bersih KWAN adalah berjumlah RM19.5 bilion, merangkumi sumbangan PETRONAS (RM10.4 bil) dan pulangan pelaburan terkumpul (RM9.1 bil).⠀⠀
✅ Seksyen 6, Akta 339 membenarkan dana KWAN digunakan selepas tamatnya tempoh 10 tahun dari tahun pertama Akta berkuatkuasa (1988) bagi membiayai projek pembangunan; dan pinjaman mudah (soft loan) kepada Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri.⠀⠀
✅ Tujuan KWAN ditubuhkan adalah untuk memastikan penggunaan optimum hasil sumber-sumber asli negara demi manfaat negara dan generasi akan datang. Kitalah merupakan masa depan yang dimaksudkan semasa dana ini ditubuhkan. ⠀⠀
✅ Pindaan undang-undang ke atas Akta KWAN 1988 melalui Ordinan Darurat baru-baru ini membolehkan dana KWAN digunakan HANYA UNTUK PEMEROLEHAN VAKSIN dan apa-apa perbelanjaan yang dilakukan berhubung dengan vaksin bagi apa-apa wabak penyakit berjangkit. ⠀⠀
✅ Anggaran RM5 bilion bagi perolehan vaksin hanyalah menggunakan jumlah pulangan pelaburan (investment returns) yang dijana tetapi jumlah pokok RM10.4 bilion masih kekal dan tidak digunakan. ⠀⠀
⠀⠀
PERNAHKAH DANA DARI KWAN DIGUNAKAN?⠀⠀

✅ Pada tahun 1998, sejumlah RM42 juta telah digunakan untuk Projek Paya lndah Wetlands.⠀⠀
⠀⠀
MENGAPA KITA PERLU GUNAKAN DANA KWAN?
⠀⠀
✅ Krisis yang kita hadapi ini bukanlah krisis ekonomi seperti tahun 1998 dan 2008. Ia adalah krisis kesihatan dan ekonomi secara serentak. ⠀⠀
✅ Vaksinasi adalah kunci utama kepada pemulihan ekonomi dan tiada lagi langkah terbaik untuk melindungi rakyat dengan memastikan imunisasi kelompok melalui vaksinasi.⠀⠀
✅ Objektif KWAN apabila ditubuhkan 33 tahun dahulu adalah untuk melindungi “generasi masa depan”. Siapa lagi “generasi masa depan” itu jika bukan kita, di saat mengharungi cabaran COVID-19 yang mungkin krisis paling getir dan serius di dalam sejarah negara kita? Program vaksinasi yang berkesan perlu diutamakan bagi menjamin kesejahteraan rakyat dan negara.⠀⠀
✅ Jika tidak digunakan sekarang, bilakah masa yang lebih sesuai untuk menggunakan Dana KWAN? Tambahan pula, Dana KWAN pernah digunakan sebelum ini pada tahun 1998 untuk pembangunan Projek Paya lndah Wetland. Jika ia boleh digunakan untuk projek pembangunan Paya Indah Wetlands, bukankah keperluan untuk menggunakannya bagi program vaksinasi yang dapat menjamin masa depan generasi akan datang lebih mendesak? ⠀⠀
⠀⠀
MENGAPA KWAN? BUKANKAH KERAJAAN BOLEH MEMINJAM DENGAN KADAR YANG RENDAH?⠀

✅ Kerajaan telah mewarisi hutang, pinjaman dan liabiliti Kerajaan melebihi RM1 trillion, termasuk jaminan pinjaman tanpa sumber pembayaran balik seperti hutang 1MDB, 1MDB Energy, SRC International dan sebagainya.⠀⠀
✅ Kerajaan juga mewaisi liabiliti lain seperti hutang Private Finance Initiative (PFI) RM48 bilion ekoran pendekatan terdahulu untuk melaksanakan perbelanjaan secara off-budget tanpa diperuntukkan dalam belanjawan tahunan. Atas prinsip ketelusan, Kerajaan sekarang tidak akan mengulangi amalan perbelanjaan secara off-budget ini.⠀⠀
✅ Komitmen pembayaran balik liabiliti tersebut dianggarkan > RM20 bilion setahun untuk 5 tahun akan datang, atau sekurang-kurangnya RM100 bilion! RM100 bilion ini cukup untuk membayar kos vaksin sebanyak 20 kali ganda, atau lebih 8 kali ganda bantuan langsung untuk B40, berkali-kali ganda Geran Khas Prihatin dan subsidi upah, dan sokongan lebih padu kepada petugas barisan hadapan kita!⠀⠀
✅ Jadi, Kerajaan bukan hanya menghadapi ruang fiskal terhad dalam menangani krisis COVID-19, tetapi kita juga perlu memenuhi obligasi hutang legasi yang tidak produktif serta tanggungan yang dibuat secara off-budget sebelum ini. ⠀⠀
✅ Tambahan pula, kita tidak sepatutnya membebankan generasi hadapan dengan beban hutang yang berlebihan dan tidak wajar. Kerajaan bertanggungjawab menjaga generasi masa kini, untuk memastikan generasi akan datang dapat mengecapi kemakmuran. ⠀⠀
⠀⠀
ADAKAH KERAJAAN AKAN MENAMBAH SEMULA PENGGUNAAN DARI DANA KWAN INI? SIAPA AKAN MEMANTAU PENGGUNAAN DANA INI?
⠀⠀
✅ Kerajaan komited untuk menambah semula Dana KWAN apabila krisis ini berakhir dan kewangan Kerajaan kembali kukuh. Penggunaan dana KWAN dalam bentuk geran juga penting untuk memastikan defisit fiskal kekal di bawah sasaran 6.0% pada penghujung 2021. ⠀⠀
✅ Sekiranya kos vaksin sebanyak RM5 bilion tidak digunakan daripada dana KWAN, keperluan meminjam Kerajaan adalah jauh lebih tinggi dan sasaran defisit mungkin akan meningkat.⠀⠀
✅ KWAN di kawal selia oleh 5 anggota lembaga pemegang amanah yang membuat semua keputusan dasar sebelum dikemukakan kepada Kerajaan. Lembaga pemegang amanah ini merangkumi wakil Kerajaan dan swasta/professional. KWAN juga diaudit setiap tahun oleh Jabatan Audit Negara. Oleh itu, elemen semak dan imbang kekal terjamin walaupun terdapat pindaan spesifik dan terhad ke atas penggunaan dana KWAN.⠀⠀

Yakinlah bahawa Kerajaan sentiasa berusaha melakukan yang terbaik untuk rakyat.⠀⠀
⠀⠀
Tengku Zafrul Aziz⠀⠀
Menteri Kewangan⠀⠀
27 April 2021

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: