Parlimen Seremban jadi kawasan Melayu, buka pertembungan baru melawan sentimen ‘kawasan tradisi’

oleh Teropong Undi

Pemuda UMNO Bahagian Seremban semalam telah membuat ketetapan untuk tidak lagi bekerjasama dengan MCA Negeri Sembilan dan Seremban. (rujukan link: Pemuda UMNO Seremban putus hubungan dengan MCA https://newswav.com/A2105_BK0HM0?s=A_9OuENBY)

Menurut laporan Sinar Harian itu, Pemuda UMNO Bahagian Seremban meminta MCA memberi laluan kepada parti itu untuk bertanding di kerusi Parlimen Seremban pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Ketuanya, Zool Amali Hussin berkata, MCA sudah bertanding di kerusi berkenaan selama tiga penggal, bagaimanapun tidak pernah sekali pun menang.

Perubahan demografi kawasan Parlimen Seremban telah memperlihatkan berlaku pertambahan jumlah pemilih Melayu sejak tahun 2013. Mengikut statistik pada tersebut, pecahan pemilih mengikut kaum utama adalah Melayu (44%), Cina (41%) dan India (14%).

Beberapa tahun sebelum PRU14, SPR telah melakukan ‘pembetulan lokaliti’ walaupun tidak boleh membuat persempadanan semula tetapi mengalihkan lokaliti dan daerah mengundi namun tidak mewujudkan kawasan dun atau parlimen baru. Ketika itu beberapa dun telah mengalami samada pengurangan atau pertambahan daerah mengundi. Hal itu berlaku di Dun Sikamat dan Ampangan yang berada dalam Parlimen Seremban.

Daerah mengundi Medan Rahang yang menjadi kawasan peti undi Dun Sikamat telah dimasukkan ke dalam Dun Ampangan, manakala daerah mengundi Taman Nyiur di Dun Ampangan telah dimasukkan ke Dun Senawang (kemudiannya dinamakan sebagai Dun Seremban Jaya) yang berada di Parlimen Rasah. Pergerakan ini antara penyumbang kepada pengurangan jumlah pemilih bukan Melayu di Parlimen Seremban tetapi telah meningkatkan bilangan pemilih bukan Melayu di Rasah.

Sejarah

Parlimen Seremban telah diwujudkan pada tahun 1955, kemudian pada tahun 1959 ia dipecah kepada dua kawasan parlimen iaitu Seremban Timor dan Seremban Barat. Namun pada tahun 1974, Seremban Timor dinamakan semula sebagai Parlimen Seremban dan kekal hingga kini.

Seremban menjadi kawasan dominan pemilih Cina dan ia menjadi medan pertempuran politik pilihanraya yang hebat antara MCA dan DAP sejak 1974. Kedua-dua parti silih berganti memenangi Seremban. Pertembungan klasik MCA-DAP di sini seakan perlawanan kongsi Cina untuk menguasai pengaruh kawasan. Maka tidak hairan kedua-dua parti menganggap Seremban adalah kawasan tradisi masing-masing selain Parlimen Rasah. Seremban menjadi penentu maruah politik MCA dan DAP di Negeri Sembilan juga Malaysia.

Bermula pada tahun 1974, DAP memenangi Seremban selama dua penggal (1974-1978, 1978-1982) yang diwakili oleh Dr Chen Man Hin, bekas aktivis Parti Buruh sebelum menyertai DAP pada tahun 1965. Kemudian pada PRU-6 tahun 1982, MCA memenanginya melalui Lee San Choon. Setahun kemudian beliau meletakkan jawatan sebagai MP Seremban yang menyebabkan berlaku PRK. Dr Chen Man Hin sekali lagi diberi tanggungjawab dan berjaya memenangi PRK Seremban. DAP kembali menguasai Seremban untuk tempoh dua penggal hingga tahun 1990.

Dr Chin Man Hin, bekas MP Seremban

PRU-8 tahun 1990 tidak memihak kepada DAP walaupun ketika itu berlaku anjakan besar politik nasional dengan kemunculan Gagasan Rakyat, sebuah pakatan parti lawan BN yang dikepalai oleh Semangat 46. MCA berjaya merampas semula Seremban dan menguasai Seremban selama empat penggal (1990-2008).

Tsunami politik 8 Mac 2008 telah mengubah landskap politik dan melumpuhkan kedudukan MCA di Seremban. DAP kembali memenangi Seremban dan kekal menguasai Seremban sehingga kini.

Situasi Semasa
Selepas PRU-13, sentimen ‘kawasan tradisi’ dua parti dominan Cina ini sudah tidak relevan kesan pertambahan pemilih Melayu. Statistik daftar pemilih pada PRU-14 menunjukkan peratusan pemilih Melayu naik menjadi 48.39 peratus, manakala pemilih Cina (36.75%), India (13.25%) dan Lain-lain (1.61%). Tsunami 9 Mei telah menganjak 30 peratus sokongan pemilih Melayu di Seremban dengan kemenangan 100 peratus Pakatan Harapan (PH) di sini. Kubu akhir Umno di Seremban iaitu Dun Lenggeng turut dirampas oleh PH melalui calon parti PAN. DAP kekal mempertahankan kemenangan di Dun Nilai, Lobak dan Temiang manakala PKR merampas Ampangan serta mempertahankan kemenangan di Sikamat.

Statistik terkini daftar pemilih suku keempat tahun 2020 menunjukkan peratusan baru dengan pemilih Melayu (50.37%), Cina (35.02%), India (12.95%), Orang Asal (0.67%) dan Lain-lain (0.64%).

Data terbaru ini telah dijadikan asas kuat oleh Pemuda UMNO Seremban membuat cadangan agar UMNO bertanding di Seremban mewakili BN dan bukan lagi MCA.

Tiga dun dominan Melayu di sini iaitu Lenggeng (76%), Sikamat (71%) dan Ampangan (74%), satu-satunya dun dominan Cina iaitu Lobak (75%). Dua dun yang asalnya dominan Cina sudah berubah status menjadi dun campuran iaitu Nilai dengan pecahan Melayu (39%), Cina (38%) dan India (21%) manakala Temiang pula dengan Melayu (37%), Cina (47%) dan India (14%).

Loke Siew Fook, MP Seremban

Jika atas kertas, perubahan peratusan ini mampu menjadi faktor anjakan kepada situasi penggundian PRU-15 akan datang. Tetapi faktor figura politik di Seremban iaitu Loke Siew Fook tidak boleh dipandang mudah. Beliau ibarat ‘kelahiran semula’ watak Dr Chin Man Hin versi baru. Loke seorang pemimpin berdedikasi dan antara ‘top table’ DAP kebangsaan selain menjawat kedudukan Pengerusi DAP Negeri Sembilan.

Beliau dikhabarkan akan mempertahankan kemenangan di Seremban dan tidak akan bertanding dun. Jika benar, kedudukan beliau sebagai Adun Chennah akan dilepaskan kepada muka baru pada PRU-15 nanti.

Kerusi parlimen ini bukan sahaja menjadi idaman MCA dan UMNO tetapi turut diintai oleh komponen Perikatan Nasional iaitu Bersatu dan Gerakan. Ketika yang sama juga, NGO pro-Perikatan Nasional iaitu Penggerak Komuniti Negara (PKN) dilihat mempunyai kecenderungan untuk meletakkan calon di sini.

Sudah pasti di peringkat MCA dan UMNO akan menampilkan pengerusi bahagian masing-masing sebagai calon di Seremban. Bekas calon MCA di Seremban pada PRU-14 iaitu Chong Sin Woon (dikenali sebagai Ah Chong) dikatakan masih berminat untuk kembali bertanding.

Dua parti berteraskan Islam iaitu Pas dan Berjasa pernah mencuba nasib bertanding di Seremban. Semasa PRU-13 lepas, Berjasa telah meletakkan calon, Abdul Halim Abdullah. Pertembungan lima penjuru waktu itu, Berjasa berupaya meraih lapan peratus undi. Pas pula masuk bertanding pada PRU-14 dengan menampilkan calon baru Shariffuddin Ahmad dan memperolehi sebanyak 11,506 undi (12.53%).

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: