Didik masyarakat hargai makanan dan elak pembaziran

Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) meneruskan pelaksanaan Kempen Hargai Makanan, Elak Pembaziran pada tahun ini untuk terus mengurangkan pembaziran makanan di tapak pelupusan sampah.

Kempen yang masuk tahun keenam itu digerakkan bagi mengelakkan kesan pencemaran dan pemanasan global.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Ismail Abd Muttalib berkata, lambakan sisa makanan di tapak pelupusan menyumbang kepada pencemaran alam sekitar serta pemanasan global akibat pembebasan gas metana yang terhasil daripada penguraian sisa makanan.

“Gas metana atau gas rumah hijau membawa kesan ke atas pemanasan bumi sebanyak 34 kali lebih bahaya berbanding gas karbon dioksida.

“Janaan sisa pepejal di Malaysia sehari ialah 38,120 tan dan daripada jumlah itu sebanyak 44.5 peratus ialah sisa makanan yang bersamaan dengan 17,000 tan sehari,” katanya.

Ismail memberitahu, keseluruhan sisa makanan yang dibuang itu boleh memuatkan tujuh buah kolam renang Sukan Olimpik.

Tegas beliau, daripada jumlah berkenaan juga, sebanyak 4,080 tan merupakan makanan yang masih elok seperti makanan yang dibazirkan dan makanan luput tercemar tetapi dibuang ke tapak pelupusan.

“Jumlah ini cukup untuk memberi makan kepada tiga juta orang sehari.

“Sebanyak 76 peratus atau 12,290 tan daripada keseluruhan sisa makanan adalah sisa makanan tidak boleh dielak seperti sisa dapur dan baki makanan,” katanya.

Beliau menjelaskan, secara purata setiap keluarga di Malaysia (purata isi rumah empat orang) membazirkan sebanyak 500 hingga 800 gram makanan setiap hari menyebabkan berlaku kerugian sebanyak RM210 sebulan dan RM2,500 setahun.

Katanya, jenis sisa makanan yang paling banyak dibazirkan ialah nasi dan roti.Berikutan itu, Ismail meminta masyarakat bijak mengurus penyediaan makanan seharian supaya setiap hidangan makanan dapat dihabiskan.

“Menerusi kempen juga kita berkongsi enam strategi untuk mengelakkan pembaziran makanan iaitu dengan membuat senarai pembelian dan hidangan, menyimpan secara betul dan tersusun mengikut tarikh luput serta menggunakan bahan yang mudah rosak atau hampir tarikh luput terlebih dahulu.

“Orang ramai digalakkan menggunakan semula lebihan makanan dalam resipi baharu, menderma dan bersedekah serta masak dalam kuantiti secukupnya,” katanya.

Tambah Ismail, berdasarkan data pada 2019, kadar sisa pepejal merekodkan peningkatan sebanyak 15 peratus namun menurun sebanyak tujuh peratus tahun lalu.

Penurunan itu ekoran ketiadaan bazar Ramadan berikutan penularan wabak Covid-19 serta arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh kerajaan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp, Ismail Mokhtar berkata, menyedari pembaziran banyak berlaku berpunca dari bazar Ramadan, pihaknya melakukan kelainan dalam kempen kali ini dengan menyasarkan bazar Ramadan.

“Menerusi Kempen Hargai Makanan, Elak Pembaziran tahun ini kita pergi ke bazar Ramadan di negeri-negeri yang menerima pakai Akta 672 melibatkan lebih 500 bazar Ramadan.

“Kita sebarkan kesedaran supaya tidak terus berlaku pembaziran dan pada masa sama kita laksanakan kempen jangan guna beg plastik untuk kelestarian alam sekitar,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut bekerjasama dengan industri perhotelan dalam merancakkan lagi Kempen Hargai Makanan, Elak Pembaziran.

Katanya, SWCorp turut menjalankan Program My Save Food bersama hotel dan industri dengan mengumpul makanan yang masih selamat dimakan untuk diedarkan kepada golongan memerlukan dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO).

Inisiatif ini kita lakukan dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

“Melalui usaha itu, pihak hotel melantik operator berlesen untuk menguruskan sisa makanan yang akan dihantar ke ladang-ladang ternakan untuk dijadikan makanan haiwan,” katanya.

Jelasnya, sejak Kempen Hargai Makananan, Elak Pembaziran dilaksanakan pada 2015, pihaknya melihat impak positif dengan pengurangan sisa makanan setiap tahun.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai membudayakan kempen itu bukan sahaja dalam tempoh perayaan tetapi dijadikan amalan dalam kehidupan seharian.

“Amalan berlebih-lebihan dalam penyediaan dan pembaziran makanan perlu dielakkan agar ia tidak berakhir di tapak pelupusan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara bersih, indah dan sejahtera,” katanya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: