Kerana perjanjian sempadan 1880, Port Dickson jadi milik Negeri Sembilan

Menurut catatan sejarah, sebahagian besar kawasan dalam Daerah Port Dickson kini dahulunya berada dalam kedaulatan negeri Selangor iaitu sebelum tahun 1880 masehi.

Sebelum dinamai sebagai Port Dickson, daerah ini dikenali sebagai Lukut. Setelah pembentukan Persekutuan Negeri Sembilan baharu pada 8 Ogos 1895, lima daerah pentadbiran telah dibentuk oleh British iaitu Seremban (Sungai Ujong), Jelebu, Kuala Pilah, Tampin dan Pantai Laut (Port Dickson). Selepas merdeka, Daerah Pantai Laut (Coast) dinamakan sebagai Port Dickson yang kekal hingga kini.

Perluasan kuasa Kesultanan Selangor pada penghujung kurun ke-19 masehi telah melebar ke Lukut, Labu, Rekoh hingga ke Sungai Raya di Linggi.

Peta Selangor & Sungai Ujong 1875. Kedudukan Lukut semasa tahun 1875

Akibat perluasan kuasa tersebut, telah berlaku pertikaian sempadan antara Selangor dan Sungai Ujong.

Menurut sumber Arkib Negara, sekitar tahun 1863, Raja Abdullah Bin Raja Jaafar dan Dato’ Kelana Sendeng telah berunding mengenai pertelingkahan sempadan negeri Selangor dan Sungai Ujong. Turut hadir dalam perundingan itu ialah Residen Melaka, Kapten Playfair, yang bersahabat baik dengan Dato’ Kelana Sendeng.

Masalah sempadan di antara negeri Selangor dengan Sungai Ujong berpunca bila orang-orang Bugis mulai bertapak dan berpengaruh di Selangor di awal abad ke-18.

Peta Selangor, Sungai Ujong, Melaka, Johore dan Pahang pada tahun 1875

Kedudukan Sungai Sepang pada asalnya adalah di dalam Negeri Sembilan tetapi telah menjadi wilayah Selangor semasa orang-orang Bugis memperluaskan kuasa hingga ke Sungai Linggi. Sungai Linggi merupakan kawasan Dato’ Kelana Sendeng. Beliau bertanggungjawab terhadap kutipan hasil cukai bijih di kawasan itu.

Semasa tahun 1862, Dato’ Kelana Sendeng telah menyampaikan bantahannya kepada Sultan Abdul Samad kerana Negeri Selangor mengambil Sungai Linggi dan Tanjung Tuan. Ekoran daripada ini maka dalam tahun 1863, Raja Abdullah sebagai wakil negeri Selangor telah berunding dengan Dato’ Kelana Sendeng untuk menyelesaikan pertelingkahan sempadan tersebut.

Dalam rundingan itu Raja Abdullah dengan berat hati terpaksa menyerahkan kawasan Lukut dan Sungai Linggi kepada Sungai Ujong secara lisan. Sungguhpun begitu pembesar-pembesar negeri Selangor masih terus memerintah Lukut dan Sungai Linggi.

Ringkasan kisah, setelah beberapa tahun bertelingkah akhirnya Residen Selangor, B. Douglas, Residen Sungai Ujong P.J. Murray, Sultan Abdul Samad dan Dato’ Kelana telah dapat menyelesaikan masalah sempadan kedua-dua negeri itu melalui satu perjanjian pada 10 Februari 1878, satu perjanjian mengenai sempadan Negeri Selangor dan Sungai Ujung dibuat di antara Yang Dipertuan Negeri Selangor – Paduka Sri Sultan Abdul Samad dengan Dato’ Kelana Sungai Ujung – Tunku Syed Abdul Rahman.

Bagaimanapun, perjanjian itu telah dibantah oleh Raja Bot yang memerintah Lukut kerana beliau tidak diajak berunding mahupun diminta pendapatnya dalam rundingan mengenai perjanjian itu. Raja Bot membantah keras mengenai keputusan memasukkan Lukut dalam perintah Sungai Ujung kerana daerah itu adalah kepunyaan ayahandanya, Raja Jumaat.

Surat persetujuan penyerahan Lukut kepada Sungai Ujong telah dicapai setelah satu rundingan di antara Paduka Sri Sultan Abdul Samad Selangor, Dato’ Kelana Sungai Ujong – Tunku Syed ‘Abdu’l Rahman bin Syed Ahmad al-Qadri [Waris Hilir], Tunku Klana Petra Sri Jaya, Raja Bot Bin Raja Jumaat [ Raja Lukut ] dan Raja Daud bin Raja Sulaiman Ibni Almarhum Sultan Muhammad Shah [ Penghulu of Sungai Raya dan Ulu Langkat ] yang telah diadakan di Singapura pada 30 Julai 1880.

Melalui persetujuan yang ditandatangani ini bersama ini penyelesaian hal Lukut yang telah dimasukkan ke dalam Luak Sungai Ujong. Melalui surat persetujuan ini berakhirlah pemerintahan Raja Bot dan ayahya Raja Juma’at ke atas Lukut yang memakan masa 32 tahun.

Raja Bot bin Raja Jumaat, Raja Terakhir Lukut

Melalui perjanjian ini juga Raja Bot dan keluarga beliau menerima wang berjumlah RM 27,000. Pertikaian berkenaan daerah Lukut bermula apabila pada tahun 1862 Y.A.M. Dato’ Sending [Waris Hulu], Dato’ Shah Bandar, Dato’ Klana Petra Sri Jaya, yang menjadi Dato’ Kelana Sungai Ujong telah menuntut daerah Lukut dan mengatakan Lukut sebahagian daripada Luak Sungai Ujong.

Rentetan daripada ini rundingan-rundingan telah diadakan di antara pihak Selangor dan Sungai Ujong akhirnya pada hari ini 30 Julai 1880 penyelesaian telah dicapai berkaitan dengan masalah Lukut.

Inilah sejarah yang menyebabkan Port Dickson menjadi wilayah dalam Negeri Sembilan. Peninggalan kedaulatan Selangor masih wujud di Lukut iaitu Kompleks Makam Diraja Lukut dan Kota Lukut yang kedua-duanya berada di Pekan Lukut.

British telah membuka perbandaran baru pada tahun 1885 iaitu Pekan Port Dickson sebagai pusat pentadbiran, pelabuhan dan pusat ekonomi.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: