Pelan Pemulihan Negara boleh kembalikan penghidupan harian biasa PM Muhyiddin

KUALA LUMPUR, 15 Jun Perdana Menteri mengumumkan Pelan Pemulihan Negara yang diyakini dapat mengembalikan penghidupan harian biasa menjelang akhir tahun termasuk mengadakan semula sesi persidangan Parlimen pada September atau Oktober.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pelan itu adalah satu strategi peralihan keluar dari kemelut pandemik COVID-19 merangkumi empat fasa yang akan melibatkan pelan peralihan fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara berperingkat.

Beliau berkata demikian ketika mengumumkan Pelan Pemulihan Negara: Peralihan Fasa PKP secara berperingkat yang disiarkan secara langsung di stesen-stesen televisyen petang ini.

Muhyiddin berkata setiap fasa berpaksikan kepada data yang bersandarkan tiga indikator ambang utama ataupun threshold untuk beralih dari satu fasa ke fasa seterusnya.

Indikator pertama ialah keadaan penularan COVID-19 dalam komuniti berdasarkan bilangan kes jangkitan harian, indikator kedua ialah keupayaan sistem kesihatan awam berdasarkan kadar penggunaan katil di Unit Rawatan Rapi (1CU) dan indikator ketiga adalah tahap populasi yang dilindungi berdasarkan peratusan yang lengkap menerima dua dos suntikan vaksin.

Fasa pertama pada Jun, iaitu pelaksanaan PKP menyeluruh yang sedang dilaksanakan dalam keadaan bilangan kes adalah tinggi, sistem kesihatan awam pada tahap kritikal dan kadar pencapaian vaksinasi yang masih rendah.

Fasa kedua (Julai Ogos) akan menyusul setelah purata kes harian COVID-19 menurun di bawah 4,000 kes, sistem kesihatan awam tidak lagi berada di peringkat kritikal termasuk kadar penggunaan katil di ICU pulih ke paras sederhana dan 10 peratus populasi telah menerima dua dos suntikan vaksin.

Seperti fasa pertama, aktiviti sosial dan kawalan pergerakan di bawah fasa kedua akan terus dikawal dengan ketat dengan aktiviti ekonomi dibuka secara berperingkat dengan membenarkan kapasiti pekerja sehingga 80 peratus di premis.

Perdana Menteri berkata pendekatan senarai positif diteruskan iaitu hanya sektor yang tersenarai dibenar beroperasi manakala yang tidak tersenarai masih ditutup.

Muhyiddin berkata pada masa sama senarai positif daripada fasa pertama akan juga menambahkan beberapa sektor manakala aktiviti sosial dan rentas negeri masih tidak dibenarkan. Muhyiddin berkata antara aktiviti dibenarkan semasa fasa kedua ialah pembuatan seperti simen untuk memastikan kelangsungan pembinaan yang dibenarkan serta aktiviti peruncitan seperti barangan elektronik dan komputer bagi menyokong mereka yang bekerja dari rumah.

Bagaimanapun, beliau berkata masih terdapat aktiviti pembuatan, pembinaan, peruncitan dan perkhidmatan yang tidak disenaraikan dan kekal tidak beroperasi seperti pembuatan tekstil dan kedai perabot.

Bagi fasa ketiga (September – Oktober), perdana menteri berkata semua aktiviti ekonomi dibenarkan beroperasi kecuali aktiviti yang berisiko tinggi untuk jangkitan COVID-19 yang masih ditutup.

Beliau berkata fasa itu boleh digerakkan sekiranya Malaysia berjaya mencapai nilai ambang iaitu purata kes harian menurun ke paras bawah 2,000 kes, sistem kesihatan awam berada pada tahap selesa dengan penurunan kadar penggunaan katil di ke paras mencukupi dan 40 peratus populasi negara ini telah menerima dua dos suntikan vaksin.

Nilai ambang itu dijangka dapat dicapai paling awal pada akhir Ogos ini, katanya

Sumber : BERNAMA

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: